7 MAC — Pemangku Sultan Perak telah membuat teguran atas kecenderungan kumpulan-kumpulan tertentu dalam masyarakat kita untuk menyekat kumpulan yang tidak disukainya menemui masyarakat seperti yang digalakkan dalam amalan demokrasi.
Gangguan itu seperti menghalang sekumpulan penuntut hendak bercakap dengan penduduk Pekan di Pahang, mencegah rombongan yang mengaku membela nasib peneroka Felda untuk bercakap kepada masyarakat Felda, mengganggu tazkirah Ketua Pembangkang di surau di Alor Star, menceroboh majlis ceramah pihak yang tidak sealiran dengan kerajaan dan sebagainya.
Raja Muda itu dalam titah baginda mengenai perpaduan ummah di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini menegur kecenderungan seperti itu sebagai satu perkembangan yang tidak sihat yang perlu dicerah dan dielakkan.
Setiap perkara yang tidak sihat itu tentulah memberi kesan dan natijah yang tidak baik bagi negara dan masyarakat.
Titah baginda atas topik yang diberi adalah menyentuh perkara politik, teguran baginda pula adalah mengenai perkembangan berkaitan politik, golongan yang ditegur pula adalah pihak yang ada kepentingan politik, sasaran titah itu adalah golongan politik.
Secara tegasnya perkara yang baginda tegur itu adalah melibatkan golongan politik yang saling bertentangan iaitu pihak yang menyokong parti yang memerintah iaitu Umno dan Barisan Nasional dan mahu mempertahankannya, manakala lawannya ialah pihak pembangkang yang tampil untuk mendedahkan segala kepincanngan kerajaan.
Pertentangan seperti ini berlaku di mana-mana masyarakat politik di dunia apabila dunia ini didedahkan dengan alam demokrasi.
Sebelum dunia mengenal demokrasi, tiada pandangan kedua dalam politik dan pemerintahan. Raja berkuasa penuh dan kata-katanya adalah undang-undang, tidak boleh dibantah tidak kira ia zalim atau tidak. Raja dan kerajaan tidak boleh ditegur. Suka atau tidak suka mesti ditaati.
Apabila demokrasi diperkenalkan, maka pemerintah dan ketua pemerintah boleh ditegur, boleh ditentang. Teguran diterima sebagai perkembangan sihat malah ia dikira pelengkap kepada kepintaran kerajaan dan rakyat.
Bagi menjamin teguran terbuka tidak memudaratkan, maka didaulatkan undang-undang. Pengamal undang-undang mestilah adil dan bebas dari pengaruh orang-orang politik.
Raja Muda Perak yang bertitah itu tahu bahawa baginda berada dalam alam orang berpolitik tetapi kebijaksanaan istana tidak membabitkan diri dalam politik, sesuai dengan kehendak masa, istana bebas dari politik, menjadi hakim kepada rakyat yang bebas berpolitik.
Atas kepintaran masyarakat dunia demokras beraja, maka kerajaan yang dibentuk oleh orang politik diterima sebagai kerajaan yang menjalankan pemerintahan istana. Semua tindakan dibuat atas nama istana. Pembangkang bebas mengkritik kerajaan tanpa menyenggong istana. Istana yang tidak berpolitik bebas membuat teguran umum kepada semua golongan masyarakat baik yang ada mandat memerintah mahu pun pembangkang.
Teguran Raja Muda terhadap kecenderungan kumpulan tertentu menghalang pembangkang bercakap kepada rakyat adalah teguran bebas dan tepat ditujukan kepada pihak yang menyokong kerajaan. Kerja-kerja mencegah ini bukan kerja mereka. Ia kerja polis. Polis ada peraturan membenar atau mencegahnya.
Jika orang politik mengira tindakan bercakap kepada rakyat itu tidak ikut peraturan, maka ia mengadu kepada polis sama ada wajar dicegah atau tidak wajar dicegah. Polis pula tidak boleh bertindak berdasarkan pengaruh politik tetapi bertindak mengikut undang-undang diberi kepadanya.
Walaupun yang ditegur oleh Raja Muda itu adalah tentang amalan politik tetapi baginda tidak berpolitik dalam tegurannya. Kalau pembangkang menerus kerajaan, ia mungkin ada agenda politik. Demikian juga kalau kerajaan menyalahkan pembangkang ia juga mngkin berpolitik. Teguran Raja Muda tiada agenda politik.
Kebetulan yang ditegur itu adalah menyokong Umno dan kerajaannya. Baginda minta ia dibendung. Maka tanggungjawab pemimpin Umno membendung tindakan politik tidak sihat oleh penyokong supaya Umno bebas dari dilihat baling batu sembunyi tangan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments