Opinion

Terengganu sayang Kassim

Reaksi menteri agama betapa Kassim Ahmad tergelincir daripada Islam hanya keputusan pihak berkuasa Islam Negeri Terengganu.

Negeri lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menteri yang  menjaga agama tidak buat seperti Terengganu, mungkin mereka setuju dan mengira memadai dengan keputusan Terangganu, status akidah Kassim adalah begitu.

Apa pun dengan ulasan menteri itu, keputusan negeri Terengganu itu bukanlah keputusan mengenainya oleh negeri-negeri lain. Apa sikap negeri lain kita tunggu sajalah.

Rasanya tiada siapa akan mencabar keputusan Terengganu itu melainkan simpatisannya yang autoriti pengetahuan Islam tidak diketahui. Di mana meraka mengaji dan siapa gurunya?

Maka keputusan Terengganu itu adalah positif kepada semua.

Mungkin ia ada perasaan tertentu terhadap Kassim, tetapi kita wajar melihatnya tidak dibuat atas rasa prejudis terhadap ahli fikir itu.

Apa jua yang Terengganu buat adalah kerana sayangnya kepada semua khususnya kepada Kassim sendiri.

Sebagaimana salah satu sifat Allah itu adalah Maha Penyayang, maka sekalian hambaNya yang beriman juga adalah penyayang kepada semua.

Semua dipercayai mengira Majlis Agama Islam Terengganu membuat keputusan yang tepat, cuma yang lain tidak seberani Terengganu. Apa yang dibuatnya adalah petunjuk, panduan dan pengajaran untuk semua supaya masing-masing berada pada landasan akidah dan ajaran Islam yang betul.

Agar orang lain tidak terikut dengan fikiran Kassim dan untuk Kassim serta keluarganya supaya meninggalkan sangkaan dan pendirian itu dan berada pada landasan Islam dan ajaran Nabi SAW yang disepakati sekalian ulama, baik yang bekerja dengan Raja-Raja dan kerajaan mahu pun bebas daripada sebarang ikatan dengan kerajaan.

Tidaklah semua kita ini orang Islam yang lebih baik daripada orang Islam lain, tetapi kepada semua yang percaya kepada rukun iman yang enam itu adalah berada pada landasan betul.

Adakah kesemuanya ke syurga atau sebaliknya, hanya Tuhan yang tahu. Hanya harapan semua, semua dikasihi Allah dan Rasul.

Keptusan yang Terangganu buat itu dituju khas kepada Kassim supaya dia berada semula pada landasan yang dipegang semua. Tiada siapa dapat ubah fikiran Kassim melainkan Allah sendiri.

Nabi Muhammad SAW itu adalah sebaik-baik kejadian selain Allah, bahkan baginda sendiri yang begitu dekat dengan Tuhan tidak dapat memberi hidayat kepada bapa saudaranya, Abu Talib.

Terengganu paling berani dibandingkan dengan yang lain menyatakan kepercayaan Kassim itu adalah murtad. Layanan orang Islam kepadanya baik hidup dan mati adalah seperti sekalian yang tidak beriman. Selagi tidak diketahu taubatnya, maka payahlah kematian dilayan seperti orang Islam lain.

Yang lain tidak buat keputusan itu ,tidak mahu berterus-terang dengan Kassim secara rasmi. Terengganu dengan keberanian dan rasa kasihnya kepada Kassim memutuskan kedudukan sebenar tentang keislamannya, supaya terselamat daripada kesilapannya.

Tiada siapa yang rugi jika Kassim tidak berubah. Kerajaan Terengganu tidak rugi apa-apa kalau Kassim kekal dengan pendiriannya, tetapi besar pahala mereka jika dengan keputusan itu Kassim mengubah pendirian semasa tuanya.

Maka apa yang Terengganu buat itu adalah kerana sayangnya kepada Kassim. Paling sayang kepadanya. Yang lain tunjukkan sayang bersungguh seperti Terengganu. –  10 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments