Opinion

Tugas pertama Zahid, KPN baru tangkap

5 JUN ― Seorang menteri baru dan mana-mana pemegang jawatan baru diperhatikan akan tindakan pertamanya mengambil jawatan.

Tunku Abdul Rahan Putra semasa menjadi Ketua Menteri Tanah Melayu tahun 1955 tindakan pertamanya memperkenalkan undang-undang pengayuh basikal tidak boleh berpayung.

Tindakan pertama Tun Dr Mahathir Mohamad mula jadi Perdana Menteri membebaskan tahanan ISA yang ditangkap Tun Hussein Onn seperti Tan Sri Abdullah Ahmad Kok Lanas. Lama kemudian baru dia tangkap orang. Ramai!

Tun Abdullah Badawi pula tindakan pertamanya jadi Menteri Dalam Negara, menyekat Harakah dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Kerja pertama Datuk Seri Najib Razak jadi Perdana Menteri, membenarkan semula Harakah terbit dua kali seminggu. Dia tidak kisah juallah Harakah di mana-mana dan kepada sesiapa.

Mari Datuk Seri Zahid Hamidi jadi Menteri Dalam Negara dan Ketua Polisnya yang baru, langkah sulung kedua-duanya tangkap pembangkang dan rampas Harakah, KeADILan dan Roket.

Sama ada kedua-duanya berpakat atau tidak, tetapi mereka memulakan kerja dengan menangkap orang yang pada mereka ada salahnya. Empat tahun Najib jadi Perdana Menteri dengan dua KPN, Tan Sri Musa Hasan dan Tan Sri Ismail Omar, tidak dipedulikannya kepada siapa Harakah dijual dan diedar. Tak perasan dia ada menangkap pembangkang.

Tak sampai sepuluh hari Zahid jadi Menteri Dalam Negeri, kurang seminggu dia ada KPN baru, ditangkapnya tiga aktivis pembangkang termasuk Tamrin Ghafar dan Tian Chua atas nama undang-undang. Ketika sama mereka rampas Harakah dan lain-lain kerana langgar undang-undang.

Begitu banyak jenayah dan pelangaran undang-undang yang menyebabkan kematian, hilang harta benda, melari anak dan membuang anak, mengedar dadah dan lain-lain, yang mereka dulukan menyerbu Harakah dari pengedarnya. Benda-benda yang lebih besar tidak didulukan, penjualan Harakah secara terbuka yang diutamakan.

Ditanya Zahid tentang kejadian itu, katanya dia tidak tahu kerana ia tindakan polis. Sama ada polis maklumkan tindakan mendulukan benda yang boleh dikemudiankan, tindakan polis itu dilihat mencerminkan dasar dan sikapnya. Tanggungjawab dan akauntibiliti tetap kepadanya.

Polis ada kuasa tangkap sesiapa; sendiket dadah, tipu dan lain-lain tetapi polis tentu maklumkan kepada menteri terhadap tindakan yang melibatkan politik. Silap polis tangkap perompak dan penyamun tidak banyak melibatkan sikap menteri, tetapi tindakan tepat menangkap orang politik tetap menyentuh kebijaksanaan menteri.

Jika tangkapan keatas Tamrin dan Tian Chua itu menyebabkan kerajaan dan menteri boleh dicerca, maka menterilah yang lebih banyak dicerca. Dr Mahathir boleh salahkan Tan Sri Rahim Nor kerana mempelupuh Anwar Ibrahim sampai pengsan, walaupun Rahim Nor pikul akibatnya, tetapi tetap Mahathir dipersoal atas kekejaman Rahim itu.

Saya tidak mahu menyamakan Zahid dengan Dr Mahathir dan KPN baru dengan Rahim Nor, tetapi mereka telah memulakan tugasnya penuh kontroversi. Payah hendak membela mereka terutama semasa kerajaan, pemimpinnya dan polis dipertikai oleh banyak pihak.

Kedua mereka akan mengambil masa untuk menjadi pemimpin dan pegawai mesra rakyat kerena memerka memilih tindakan yang tidak popular sebagai tindakan pertama. Dr Mahathir dan Tun Hanif Omar sebagai KPN banyak tangkap orang di bawah ISA terutama peristiwa Operasi Lalang dan Memali. Tetapi dia memulakan tugas PM dengan membebas tahanan ISA yang membabitkan dakwaan komunis.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments