Opinion

Umno bertindak siapa sabotaj parti PRU 13

17 SEPT — Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Umno memberi amaran akan bertindak terhadap mana-mana anggota parti yang mensabotaj calon BN dalam PRU 13 nanti.

Ia sebagai ingatan dan amaran kepada siapa yang melanggar ketentuan parti tentang calonnya.

Amaran itu tidak dinyatakan pun tidak mengapa, kerana parti yang ada disiplin mesti mengambil tindakan bila-bila masa saja apabila ada perlanggaran. Tanpa notis dan fikir panjang apabila ada sabotaj begitu, secara otomatis selepas saja pilihanraya maka tindakan mesti diambil. Dan setiap anggota parti tahu hal itu.

Maka apa perlunya Muhyiddin membuat amaran itu? Sekadar hendak mengingatkan saja supaya jangan buat begitu. Dan ia dibuat kerana kejadian itu selalu berlaku. Ada amaran atau tidak ada amaran, mana-mana ahli yang rasa tidak puas hati, mereka tidak teragak-agak melakukan apa saja bagi mengajar parti dan pemimpinnya.

Ahli-ahli parti itu tidak diajar jika mereka melakukan sabotaj mereka akan berdosa. Kalau berdosa pun orang langgar, apa lagi kalau tiada dosa dan tiada pahala.

Tindakan itu hanya ditakuti oleh ahli parti kalau BN terus menang dan mereka hilang banyak peluang. Apabila sudah tidak jadi ahli parti, maka susah dapat projek. Semua projek diberi kepada orang lain dulu.

Itu saja yang mereka takut.

Tetapi kalau Umno itu mereka rasa akan kalah, tiada apa yang dapat menghalang ahli-ahli melakukan sabotaj.

Apa yang pemimpin Umno dapat buat kiranya parti itu kalah? Sebelum pemimpin parti bertindak terhadap mereka, ahli-ahli parti sendiri bertindak terhadap pemimpin.

Kejadian yang berlaku dalam PRU 12 apabila BN gagal mengekal mejorti dua pertiga. BN masih menang. Kebanyakan calon Umno menang. Ia tidak kalah semua. Ia cuma tidak dapat majoriti secukupnya di Parlimen dan empat kerajaan negeri lagi jatuh.

Umno bertindak terhadap Presiden partinya sekalipun ketua parti itu masih boleh jadi Perdana Menteri dan masih boleh memimpin.

Bagaimana kalau Umno jadi seperti MCA dan Gerakan, habis calonnya kalah?

Ahli-ahli Umno yang siang saja jadi Umno dan malam boleh sedia jadi apa parti saja ketika itu tidak semestinya kekal dalam Umno. Mereka yang sentiasa menang tidak selesa lagi berada dalam kumpulan orang kalah. Terutama yang melakukan sabotaj. Sebelum Umno bertindak terhadap mereka, mereka mengumumkan diri bersama parti yang menang.

Seperti kejadian di Perak ketika menghadapi PRU 2008. Menteri Besar Tajul Rosli dikatakan berjanji macam-macam kepada kroni parti yang boleh mengeluarkan duit banyak dalam pilihanraya. Banyaklah pulangannya selepas menang.

Tetapi parti itu kalah. Yang dijanjikan tidak dapat ditepati. Itulah sebabnya ADUN Bota murtad Umno sekejap. Beberapa orang lagi bercadang untuk murtad. Itulah sebabnya Tajul Rosli dikatakan sedia melepaskan pimpinaan Umno Perak. Ia adalah gambaran iman ahli pada parti itu.

Gara-gara itu Najib bertindak terhadap ketua partinya dan mengambil langkah menggulingkan kerajaan Pakatan Perak yang sah. Raja pula tidak ada masalah. Orang-orang Umno yang bercadang hendak lari pun tak jadi lari. ADUN Bota pun beriman balik dengan Umno. Yang Tajul janji dapat ditepati bila Perak diambil balik.

Tetapi kalau dalam PRU 13 ini Umno hilang kuasa, maka amaran Muhyiddin untuk bertindak kepada sang sabotaj akan jadi amaran yang tiada bisa lagi. Muhyiddin dan Hishammuddin Husein pun tidak diketahui berapa hari lagi hendak tinggal dalam Umno?

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments