Opinion

1Malaysia dah binasa

Tindakan Tabung Haji mengumumkan untuk menjual tanah projek Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam dilakukan kerana takut dengan kemarahan orang-orang Melayu yang menyelamatkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum pada 2008 dan 2013.

Sejak sebuah blog mendedahkan Tabung Haji membayar sejumlah RM772 juta untuk membeli 2 plot tanah seluas 0.63 hektar daripada 1MDB berbanding harga rendah dibeli syarikat itu daripada Putrajaya, maklumat mengenainya tersebar dengan meluas menimbulkan kegelisahan orang-orang Melayu yang majoritinya menyimpan wang di badan pengendali ibadah haji itu.

Pembelian tanah itu dilihat sebagai “bailout” kepada 1MDB dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mendedahkan harga jualan RM188.5 juta (1 plot) itu lebih kurang sama dengan nilai pembayaran faedah pinjaman perlu diselesaikan syarikat bermasalah itu.

Tiga “orang-orang penting” Tabung Haji pula didedahkan mempunyai peranan secara langsung dalam 1MDB.

Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata semalam, mereka dinasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjual tanah di TRX bagi menghormati “sensitiviti” pendeposit tetapi mempertahankan pembelian itu, dengan berkata mereka mendapat pulangan tahunan sebanyak 9% daripada transaksi tersebut.

Azeez berkata Najib menasihatkannya melupuskan tanah itu supaya nama Tabung Haji yang ditubuhkan bagi membantu orang Islam melaksanakan rukun haji, “tidak tercemar” kerana terlibat dalam transaksi perniagaan dengan 1MDB.

Tanah itu akan dijual kepada pembeli dengan keuntungan sekurang-kurangnya RM5 juta untuk Tabung Haji dan akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa minggu, kata Azeez.

"Isu ini sudah menular sampai pemandu teksi tanya sama ada TH 'bailout' 1MDB. Jadi, kami nak jaga sensitiviti makcik yang di Baling, pemandu-pemandu teksi yang menyimpan duit untuk pergi haji," katanya.

Seorang teman apabila mengulas perkara ini mempersoalkan: “Takkan modal RM100 juta untung RM5 juta sahaja? Sepatutnya berniaga modal RM1 juta untung RM5 juta. Ni kalau modal RM100 juta, sepatutnya untung lebih besar lagi.”

Mampukah Najib bertahan?

Seorang demi seorang pemimpin kanan Umno dilihat meninggalkan Najib. Tiada siapa lagi yang berani mempertahankan 1MDB secara terbuka kerana takut turut “karam” bersamanya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini secara terbuka mengkritik cara kontroversi 1MDB ditangani, dengan berkata isu itu sangat serius dan bakal menjadi parah.

Timbalan presiden Umno itu berkata, isu hutang 1MDB merupakan faktor utama kekalahan BN di Permatang Pauh Rabu lalu.

"Saya tidak tahu apa nak cakap apa. Rakyat mahu tahu, bukan sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Rakyat mahu tahu mengapa tidak ada seorang pun didakwa, mengapa lembaga 1MDB tidak dipecat, dan status CEO serta perdana menteri sebagai penasihat," kata Muhyiddin kepada pemberita yang mengikutnya ke Milan, Itali.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal juga sudah secara terbuka mengkritik secara terbuka 1MDB yang mana Najib merupakan pengerusi lembaga penasihat syarikat itu.

Begitu juga dengan Pemuda Umno yang mempertikaikan secara terbuka transaksi pembelian tanah TRX oleh Tabung Haji daripada 1MDB.

Dr Mahathir yang sebelum ini lantang mengkritik pentadbiran Najib terutamanya dalam isu 1MDB sudah tidak lagi “berseorangan”. Ramai pemimpin kanan Umno kini sudah bersamanya.

Kini Najib yang juga merupakan presiden Umno pula dilihat “berseorangan” menjelang sambutan ulang tahun ke-69 parti Melayu terbesar itu esok.

Apakah Najib akan berundur untuk mengambil tanggungjawab terhadap skandal-skandal yang berlaku dalam pentadbirannya?

Atau Najib akan terus “berdegil” dan menunggu sehingga usaha digerakkan untuk memaksanya berundur?

Paling dekat usaha untuk mengundurkan Najib boleh dilakukan semasa sidang Dewan Rakyat akan datang pada bulan ini.

Usul undi tidak percaya kepada perdana menteri boleh dibentangkan dan anggota Dewan Rakyat daripada seluruh negara perlu mengundi menentukan masa depannya.

Mahukah Najib menunggu sehingga tahap itu? – 10 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments