Opinion

Akhirnya Burhanuddin Helmy diiktiraf

Selepas 46 tahun meninggal dunia, akhirnya Datuk Seri Dr Burhanuddin Muhammad Nor yang lebih mesra dengan gelaran Burhanuddin Helmy diiktiraf.

Selama ini namanya hanya boleh dilihat di sebuah jalan di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, tetapi selepas pengiktirafan yang diberikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada Jumaat, Dr Burhanuddin akan kembali menjadi perbincangan.

Dr Burhanuddin dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak yang membawa gelaran Datuk Seri.

Selain Dr Burhanuddin, Sultan Nazrin turut memberi anugerah secara Anumerta kepada 5 penerima, termasuk mendiang timbalan pendakwa raya Anthony Kevin Morais, sempena hari keputeraan baginda, yang membawa gelaran Datuk.

Anugerah secara Anumerta diberikan kepada seseorang yang sudah  meninggal dunia.

Penerima lain ialah Datuk Sir Onn Jaafar dan Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz, yang menerima Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM); Aminuddin Baki (Darjah Seri Paduka Mahkota Perak - SPMP); dan Tan Sri Koo Chong Kong (Darjah Seri Panglima Taming Sari - SPTS).

Dalam ucapannya sempena sambutan pertama keputeraannya selepas bergelar Sultan Perak, Sultan Nazrin bertitah sifat menghargai jasa tokoh-tokoh terdahulu hendaklah dijadikan budaya kepada warga bangsa.

“Dalam semangat mahu menghargai jasa bakti tokoh-tokoh terdahulu, beta menetapkan, sempena istiadat sulung sambutan rasmi ulang tahun hari keputeraan ini, untuk mengurniakan anugerah secara Anumerta kepada beberapa orang tokoh terdahulu dan kepada individu-individu yang mengorbankan nyawa mereka ketika melaksanakan tugas negara bangsa,” titah baginda pada Jumaat.

“Datuk Seri” hanyalah gelaran, tetapi paling penting ialah Institusi Raja yang menjadi tunjang kepada rakyat Malaysia mula memberikan pengiktirafan kepada orang seperti Dr Burhanuddin.

Penulisan sejarah harus jujur

Ketika menulis sebuah lagu bertajuk “Burhanuddin Al Helmy” 10 tahun lalu, kemarahan utama penulis ialah mengapa seorang tokoh sebesar Dr Burhanuddin tidak diberikan pengiktirafan.

Dengan harapan dengan lahirnya lagu itu, anak-anak muda akan mengkaji siapakah Dr Burhanuddin, apakah jasanya kepada negara dan gagasannya tentang negara bangsa.

Pada pandangan penulis, penting bagi rakyat Malaysia untuk mengetahui dalam memperjuangkan kemerdekaan negara, bukan hanya Umno, MCA dan MIC sahaja yang memainkan peranan.

Malahan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin Dr Burhanuddin ditubuhkan lebih awal daripada Umno dan melaungkan slogan “Merdeka”.

Walaupun akhirnya Umno yang berjaya mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah Inggeris melalui rundingan selepas semua parti progresif seperti PKMM diharamkan, peranan dan sumbangan gerakan kiri dalam mendapatkan kemerdekaan tidak boleh dinafikan.

Selain itu, Dr Burhanuddin juga pernah menjadi presiden atau yang dipertua PAS sebelum parti Islam itu dipimpin Tan Sri Asri Muda.

Dengan pengiktirafan yang diberikan Sultan Perak kepada Dr Burhanuddin, perbincangan mengenai peranan gerakan kiri dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air bolehlah dibuka semula.

Dan ia akan menjadi “arus perdana” dengan pengiktirafan yang diberikan Sultan Nazrin terhadap Dr Burhanuddin.

Ini kerana perpaduan nasional tidak akan dicapai di Malaysia selagi sejarah kemerdekaan sebenar tidak dibahaskan secara tuntas dan pengiktirafan tidak diberikan kepada yang sepatutnya. – 29 November, 2015. 

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments