Hari ini semakin ramai rakyat Malaysia yang mula mempersoalkan apabila harta milik kerajaan digunakan seseorang pemimpin atau keluarganya untuk kegunaan peribadi.
Pendidikan dan perkembangan teknologi seperti Internet menyebabkan ramai rakyat Malaysia menjadi lebih bijak dan pandai serta peduli kepada perkembangan semasa.
Dengan telefon pintar yang canggih dan mempunyai akses Internet sepanjang waktu memudahkan lagi pemantauan dilakukan orang ramai terhadap aset kerajaan seperti pesawat atau jet.
Ini kerana walaupun kita sudah berada di tahun 2015, masih ramai pemimpin negara atau negeri yang tidak dapat membezakan di antara harta milik kerajaan dengan harta peribadi.
Semasa pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang pada 8 Mac, 2013, pertama kali penulis mendengar tentang laman penjejak penerbangan www.Flightradar24.com.
Pada ketika itu laman sesawang tersebut digunakan secara meluas oleh pakar penerbangan dan orang ramai untuk menjejak lokasi terakhir pesawat yang hilang ketika sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal itu.
Hari ini siapa sangka www.Flightradar24.com akan digunakan untuk mengesan keberadaan jet rasmi kerajaan 9M-NAA.
Selepas heboh Datuk Seri Najib Razak bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ketika Malaysia dilanda banjir, perdana menteri bergegas pulang ke tanah air dengan menggunakan pesawat lain.
Tetapi pesawat asal digunakannya 9M-NAA terus terbang ke beberapa destinasi Indianapolis, Los Angeles, New York, London, Dubai dan pada 2 Januari mendarat di Bangkok, Thailand.
Ketika artikel ini ditulis, maklumat daripada www.Flightradar.com mendapati 9M-NAA masih berada di Bangkok.
Persoalan besar yang timbul sekarang adalah siapa yang menggunakan jet rasmi kerajaan ke destinasi seperti Indianapolis, Los Angeles, New York, London, Dubai dan Bangkok?
Secara kebetulan atau dirancang agensi berita nasional melaporkan semalam Najib berada di Bangkok pada hari sama 9M-NAA mendarat di ibu kota Thailand itu.
Menurut Bernama, Najib berada di Bangkok untuk mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Thailand Jeneral Prayuth Chan-ocha di untuk berbincang perkara berkaitan banjir.
Bernama melaporkan memetik laman Facebooknya, Najib turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada rakan sejawatannya itu atas sumbangan yang dihulurkan bagi membantu mangsa banjir di Malaysia.
Bagaimanapun presiden Umno itu masih perlu menjawab siapakah yang menggunakan 9M-NAA ke Indianapolis, Los Angeles, New York, London dan Dubai ketika beliau berada di Malaysia untuk turun padang melihat mangsa banjir?
Dan persoalan baru yang perlu dijawab Najib adalah apakah yang disumbangkan Thailand sehingga beliau perlu terbang ke Bangkok? Apakah beliau akan turut terbang ke negara lain yang membantu negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun untuk berterima kasih?
Memang benar Najib menjadi perdana menteri di zaman lebih sukar berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semasa pemerintahan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu, capaian Internet tidak selaju sekarang dan telefon pintar masih belum ada.
Hari ini semuanya serba laju dan semuanya sudah boleh dikesan dengan menggunakan telefon bimbit. Maka seharusnya pemimpin pada hari ini juga bergerak seiring dengan teknologi.
Dulu rakyat tidak tahu pun perbezaan di antara harta milik peribadi dan kerajaan. Malahan masih ramai generasi tua yang beranggapan Umno itu kerajaan dan kerajaan itu Umno.
Hari ini sudah berbeza, keberadaan jet rasmi kerajaan 9M-NAA turut dipantau.
Jika mahu selamat, para pemimpin negara perlu memulakan amalan pentadbiran baik atau “good governance”. Masih belum terlambat. – 4 Januari, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments