Sejak ruang demokrasi dibuka lebih luas dengan adanya media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube, telefon pintar yang memberikan kemudahan aplikasi WhatsApp, WeChat dan Viber, kita semakin mengenali masyarakat Malaysia.
Pelbagai isu yang timbul dan diperdebatkan sejak akhir-akhir ini menunjukkan majoriti masyarakat Malaysia masih belum matang dan kadangkala terlihat kebodohannya.
Lihat bagaimana majoriti pengguna Facebook Melayu-Islam memberikan respon terhadap program “I Want to Touch a Dog” baru-baru ini.
Penganjur program Syed Azmi Alhabshi yang berniat baik untuk mendidik masyarakat Islam bandar tentang anjing dan pandangan agama mengenai anjing, menerima ancaman bunuh.
Peguamnya Syahredzan Johan berkata, pada satu ketika Syed Azmi menerima 2,000 pesanan di akaun WhatsApp telefon bimbitnya, juga ugutan menerusi panggilan telefon dan media sosial.
Pada sidang media pertamanya semalam selepas menerima cercaan akibat penganjuran program “I Want to Touch a Dog”, Syed Azmi mengatakan beliau tidak berniat untuk memesongkan atau merosakkan akidah umat Islam.
"Saya mengaku terdapat beberapa kelemahan dalam program itu. Saya ingin memohon maaf dan saya tiada niat menyusahkan sesiapa," katanya pada sidang media yang sesak di Kelab Golf Seri Selangor di Sri Damansara semalam.
Perkara ini tidak akan menjadi kecoh jika majoriti umat Islam Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan dan tidak mudah dipengaruhi ustaz-ustaz “cari makan” yang sebenarnya merosakkan “akidah” mereka.
Sekalipun tidak bersetuju – dan anda berhak untuk tidak bersetuju – dengan program “I Want to Touch a Dog”, tidak perlulah sampai memberikan ancaman bunuh. Berdebatlah secara sihat.
Salah seorang ustaz “cari makan” yang mengaku dirinya sebagai pendakwah Islam tidak berkata apa-apa apabila pengguna media sosial melemparkan cercaan dan ancaman bunuh kepada Syed Azmi di status Facebooknya.
Malahan status Facebook ustaz ini sendiri dalam memberikan respon kepada program anjuran Syed Azmi tidak menampakkan kebijaksanaannya dan “nilai-nilai Islam” dalam dirinya.
Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberikan sedikit pencerahan tentang amaran Al-Quran berhubung golongan ulama pengampu dan menyembunyikan kebenaran yang dianggap seperti anjing menjelirkan lidah.
“Pelbagai fatwa mengampu dikeluarkan. Jika pihak yang diampu membuat salah, mereka mencari dalil menjustifikasikannya.
“Jika musuh pihak yang diampu membuat salah, dia mencari puluhan dalil yang memasukkan mereka ke dalam neraka.
“Jika pihak yang diampu itu betul, berlebih-lebihan mereka memuji dengan segala dalil agama. Jika musuh pihak yang diampu betul, mereka cuba mencari dalil agama untuk melihat kelemahan dari sudut yang lain,” kata Asri yang juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia.
Hijrah
Sempena sambutan Maal Hijrah tahun ini, selain daripada berkira tentang dosa dan pahala, adalah lebih baik kita merenung kembali diri kita sendiri.
Apakah kita sudah berhijrah daripada kebodohan atau masih berada di tahap sama?
Tahukah anda umat Islam di Malaysia merupakan yang paling lemah akidahnya di dunia ini?
Faktanya adalah Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia ini yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam kerana takut akidah umat Islam akan terpesong.
Perkara ini dilakukan walaupun ramai ulama dan cendekiawan Islam di Malaysia mengetahui kalimah Allah itu sudah lama digunakan sebelum kedatangan Islam.
Mengapa perkara ini dapat dilakukan? Kerana majoriti umat Islam di Malaysia masih lagi bodoh dan tidak sedar kalimah Allah diharamkan kepada bukan Islam kerana politik semata-mata.
Salah satu cara untuk membebaskan diri daripada kebodohan adalah dengan lebih banyak membaca. Dengan kepesatan teknologi hari ini, untuk membaca, anda sudah tidak perlu lagi membeli buku.
Melalui telefon pintar yang begitu popular di kalangan rakyat Malaysia hari ini, pelbagai bahan bacaan yang baik boleh diakses secara percuma.
Bebaskanlah diri kita daripada kebodohan. Ini satu-satunya cara untuk mencapai kebahagiaan abadi. – 26 Oktober, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments