Peminat politik negara ternanti-nanti apa yang akan diputuskan dalam mesyuarat PAS pada 10 Ogos ini kerana ianya akan mendefinasikan hala tuju politik negara.
Apakah PAS akan menyokong keputusan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor?
Atau PAS bersetuju jawatan menteri besar Selangor merupakan hak PKR dan akur Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menggantikan Khalid?
Jika PAS mengambil pendirian untuk menyokong keputusan presiden mereka, ini bermakna parti Islam itu sudah bersedia untuk meninggalkan Pakatan Rakyat (PR), kerana PKR yang mendapat sokongan kuat DAP tidak akan berganjak dengan keputusan untuk menggantikan Khalid dengan Dr Wan Azizah.
Seperti yang dikatakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, tindakan salah satu parti komponen yang menidakkan persetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat PR boleh menyebabkan kredibiliti dan survival gabungan itu tergugat.
Dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri, ketua menteri Pulau Pinang itu berkata isu terbesar selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah apakah sistem dua parti di Malaysia akan terus kekal ekoran kemungkinan PR berpecah disebabkan kegagalan atau keengganan salah satu parti komponen untuk menghormati dan memegang janji kepada keputusan yang dicapai secara bersama.
Kenyataan Lim itu membayangkan DAP setia bersama PKR dalam isu untuk menyingkirkan Khalid sebagai menteri besar dan tidak senang dengan tindakan Hadi yang mengambil pendirian berbeza.
“Keputusan terakhir mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR sudah menetapkan Dr Wan Azizah sebagai calon PKR untuk menggantikan Khalid, dan tiada keputusan lain selepas itu,” kata seorang pemimpin tertinggi parti itu kepada penulis.
PKR dilihat komited dengan “Langkah Kajang” sejak beberapa bulan lalu dan Dr Wan Azizah tidak diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semata-mata untuk menjadikannya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Dalam erti kata lain, sekiranya PAS berkeras mahu Khalid dikekalkan, mereka boleh meninggalkan gabungan yang ditubuhkan bersama-sama PKR dan DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Sebaliknya, sekiranya pada 10 Ogos ini PAS membuat keputusan untuk menghormati keputusan PKR untuk menyingkirkan Khalid dengan Dr Wan Azizah sebagai pengganti, PR akan berjaya diselamatkan.
Namun keputusan itu akan memberikan implikasi besar terhadap Hadi kerana ianya akan dilihat secara tidak langsung sebagai “undi tidak percaya” kepimpinan PAS terhadap presiden mereka.
Semasa mengeluarkan kenyataan menyokong Khalid tiga hari sebelum sambutan Aidilfitri, Hadi berkata: "Insya-Allah itu sikap saya dan saya harap seluruh pimpinan PAS akan bersama dengan keputusan ini walaupun ada pandangan berbeza.
"Saya sudah dengar semua hujah, kumpulkan sebelum akhirnya saya dapati majoriti kalangan akar umbi PAS bersetuju Khalid dikekalkan atas konsep amanah yang ditunaikannya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di rumahnya di Rusila di Terengganu.
Sekiranya PAS memutuskan mengambil keputusan berbeza dengan pendirian Hadi dalam mesyuarat pada 10 Ogos, ertinya presiden parti Islam itu sudah tidak lagi mendapat sokongan majoriti.
Jika di negara maju, dalam keadaan sebegini, seseorang presiden parti itu akan berundur secara terhormat tanpa perlu digulingkan.
Namun Malaysia masih belum mempunyai budaya ini dan tidak mustahil Hadi akan terus kekal sebagai presiden PAS walaupun partinya mengambil pandangan berbeza.
Walaupun semalam PR mengeluarkan kenyataan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang tentang komitmen mereka untuk terus bersama gabungan pembangkang itu, keputusan sebenar hanya akan diketahui pada 10 Ogos.
PAS kini berada dalam persimpangan, sama ada memilih presiden mereka, atau selamatkan gabungan PR. – 3 Ogos, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments