Baru-baru ini seorang teman bukan Islam membangkitkan tentang mengapa ketika solat tarawih, kenderaan-kenderaan diletakkan secara sesuka hati di luar masjid sehingga menyebabkan jalan sesak.
Dia merungut kerana terperangkap dalam kesesakan sehingga hampir berlanggar dengan seseorang yang kelam kabut meletakkan kenderaannya.
Boleh sahaja penulis menjawab dengan angkuh, “Negara ini majoriti Islam, awak ikut sahajalah.”
Tetapi sebenarnya penulis sendiri bersetuju dengan apa yang dibangkitkannya.
Mengapa ketika kita mengejar keredaan Allah di bulan Ramadan ini, kita perlu menyusahkan orang lain baik orang Islam sendiri mahupun bukan Islam?
Penulis sendiri melihat “kerakusan” umat Islam yang ingin mendapatkan “pahala” sebanyak mungkin memandu “seperti orang gila” untuk ke masjid bertarawih sehingga hampir berlanggar dengan pemandu lain.
Apakah ini yang diajarkan Islam?
Perilaku meletakkan kenderaan secara sesuka hati ini bukan sahaja berlaku pada bulan Ramadan, tetapi juga ketika menunaikan solat Jumaat.
Bukankah lebih baik kita rancang terlebih dahulu sebelum beribadat.
Contohnya jika kita mahu ke masjid, jiran kita juga begitu, mungkin kita boleh berkongsi kenderaan untuk mengurangkan jumlah kenderaan supaya tidak timbul masalah kesesakan.
Sudah tentu ada “cara” untuk menunjukkan “perangai” kita ini seiring dengan ibadat yang dilakukan.
Ketika berpuasa
Di siang hari pada bulan Ramadan lain pula ceritanya. Yang bekerja ramai menggunakan alasan berpuasa untuk tidak bekerja.
Beberapa tahun lalu penulis berkesempatan untuk berpuasa di sebuah negara Asia Selatan yang majoritinya beragama Islam.
Pada ketika itu penulis ditugaskan untuk mendapatkan visa bagi pemantau pilihan raya untuk transit ke sebuah lagi negara sebelum pulang ke negara masing-masing.
Apabila sampai di kedutaan penulis terkejut melihat ramai yang ingin membuat visa terpaksa beratur panjang menunggu kaunter buka.
Yang beratur termasuklah pekerja-pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kebanyakannya bukan Islam.
Apalah yang difikirkan mereka melihat "kerenah" orang Islam berpuasa.
Penterjemah memberitahu ini merupakan perkara biasa pada bulan Ramadan. Kebanyakan orang di negaranya “tidak mahu bekerja” kerana berpuasa.
Kalau bekerja pun hanya satu dua urusan sebelum mereka menutupnya.
Nasib baiklah beberapa hari sebelumnya penulis dibawa seorang teman untuk makan malam bersama duta di kedutaan itu.
Dengan satu panggilan kepada duta, dan beliau meminta telefon diserahkan kepada pekerja di kaunter, segala urusan menjadi cepat.
Ini tidak seharusnya terjadi. Begitu juga di negara kita.
Walaupun di Malaysia jauh lebih baik daripada umat Islam di negara Asia Selatan itu, seharusnya puasa bukan alasan untuk produktiviti kita terhenti.
Seharusnya orang berpuasa perlu menunjukkan mereka jauh lebih baik daripada orang yang tidak berpuasa.
Termasuk dalam produktiviti kerja. Jika menjadi lebih teruk dan buruk, mengapa perlu berpuasa?
Selamat menyambut Ramadan kepada semua umat Islam di Malaysia. Semoga tahun ini menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. – 21 Jun, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments