Opinion

Beza kepimpinan Jokowi dan Najib

Sebaik saja mendarat di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta Isnin lalu, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) baru saja mengumumkan pengurangan subsidi minyak di Istana Merdeka yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Dalam perjalanan ke hotel penginapan di Cikini, Jakarta Pusat, jalan mulai sesak akibat demonstrasi yang diadakan bagi membantah kenaikan harga minyak dan kenderaan beratur untuk memenuhkan tangki mereka sebelum harga baru dikuatkuasakan.

Berkuatkuasa 12 tengah malam pada 18 November, 2014, harga minyak Premium (RON88) naik Rp 2,000 (55 sen) menjadi Rp 8,500 (RM2.35) seliter.

Harga minyak solar (diesel) turut naik menjadi Rp 7,500 (RM2.07) seliter dari sebelumnya Rp 5,500 (RM1.52) seliter.

Demonstrasi yang diadakan tidak begitu besar (mengikut standard Indonesia) dan masih terkawal walaupun terdapat peserta membakar tayar.

Selain Jakarta, terdapat juga bantahan di beberapa daerah lain tetapi belum mencapai tahap membimbangkan.

Televisyen seperti TV One, Kompas TV dan lain-lain menyiarkan reaksi langsung masyarakat terhadap tindakan pemerintah Indonesia mengurangkan subsidi minyak serta menunjukkan bagaimana stesen minyak sesak akibat pengguna yang mahu memenuhkan tangki mereka dengan harga minyak lama.

Stesen televisyen turut mewawancara pengguna yang marah-marah dengan tindakan pemerintah Indonesia mengurangkan subsidi bahan api.

Tempo Online melaporkan, Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla sebagai berkata, pada mulanya, pengumuman pengurangan subsidi minyak itu seharusnya dilakukan menteri berkaitan.

Tetapi pada minit-minit terakhir diputuskan biar Jokowi sendiri yang mengumumkan keputusan tidak popular itu.

"Hal itu menunjukkan risiko apa pun akan ditanggung presiden. Kami bersedia untuk tidak popular dengan keputusan ini," katanya seperti dilaporkan Tempo Online.

Keesokan harinya semasa bersarapan di hotel, televisyen menyiarkan reaksi pemimpin pembangkang yang tidak bersetuju dengan tindakan Kabinet Jokowi itu.

Pemimpin pembangkang berhujah mengapa mereka tidak bersetuju dengan tindakan pemerintah itu dengan bebas dan disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Di akhbar-akhbar utama juga begitu. Pandangan yang menyokong dan menentang pengurangan subsidi minyak memenuhi dada-dada akhbar dan masyarakat boleh menilai sendiri hujah tersebut.

Sebaik saja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Jumaat lalu, media melaporkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek baru mengeluarkan kenyataan tiada lagi subsidi petrol RON95 dan diesel bermula 1 Disember.

Menurut Hasan, kerajaan memutuskan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal berbanding Mekanisme Harga Automatic (APM) yang dilaksanakan sejak 1983.

Bayangkanlah keputusan besar kerajaan seperti ini hanya diumumkan Hasan yang sebelum ini seringkali menjadi kontroversi dengan kenyataan-kenyataan "bijaknya".

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak berani mengumumkan sendiri keputusan besar kerajaan seperti ini.

Jangan kita harapkan pula bantahan masyarakat akan disiarkan televisyen. Jangan kita harapkan pemimpin pembangkang yang membantah keputusan ini akan diberikan peluang berhujah mengapa Malaysia masih memerlukan subsidi bagi RON95 dan diesel.

Berita-berita sebegini hanya dapat dibaca dan ditonton di media atas talian.

Sebagai balasannya, media atas talian ini yang hanya melaporkan apa yang berlaku dituduh sebagai pro pembangkang dan akan dihalang membuat liputan di acara kerajaan dan Perhimpunan Agung Umno.

Inilah bezanya di antara Jokowi dan Najib. Jokowi berani mengumumkan sendiri keputusan tidak popular pemerintahannya berbanding Najib yang bersembunyi di sebalik Hasan.

Jokowi menunjukkan kepada rakyat Indonesia apa ertinya seorang “pemimpin”.

Sayangnya semenjak menjadi perdana menteri pada 2009, Najib masih belum lagi menunjukkan “kepimpinannya”.  – 23 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments