Seminggu selepas perhimpunan Bersih 4, Datuk Seri Najib Razak masih lagi perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad masih cuba menjatuhkannya, tetapi yang menarik ialah perdebatan mengenai “people’s power” atau “kuasa rakyat” sudah menjadi perbincangan “arus perdana”.
Jika Kuala Lumpur tidak “dikuningkan” minggu lalu, Najib tidak akan berkata pada Jumaat, kuasa rakyat untuk memilih kerajaan hanya boleh digunakan sewaktu pilihan raya.
Najib turut mencabar sesiapa yang tidak berpuas hati dengannya untuk bertanding di Pekan, Pahang pada pilihan raya umum akan datang.
Apabila Najib menimbulkan tentang perkara ini, ia membuktikan peristiwa kebangkitan rakyat menjatuhkan pemimpin seperti yang pernah berlaku kepada Suharto di Indonesia dan Ferdinand Marcos di Filipina sudah mula muncul dalam mimpi-mimpinya.
Apatah lagi apabila musuh utama Najib, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat mengatakan cara untuk menjatuhkan perdana menteri pada hari ini ialah melalui demonstrasi jalan raya.
Selepas perhimpunan Bersih 4, akhbar berbahasa Inggeris yang berpengaruh di Indonesia, The Jakarta Post meramalkan Najib sedang berada dalam saat-saat akhir sebelum terpaksa meletakkan jawatan.
Akhbar itu membuat perbandingan antara reaksi Najib dengan Suharto semasa demonstrasi "reformasi" di Jakarta yang memaksa diktator paling lama berkhidmat itu meletakkan jawatannya pada Mei 1998.
"Dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap perdana menteri semakin kuat dan beliau nampaknya gagal meyakinkan rakyat yang beliau tidak bersalah," kata akhbar itu.
"Seperti Suharto, Najib cuba meredakan kesan bantahan awam dengan mengatakan beliau tidak akan mendengar kepada penunjuk perasaan yang digambarkan sebagai 'berfikiran cetek dan semangat kebangsaan yang lemah”.
Akan tetapi sukar untuk Najib dijatuhkan melalui demonstrasi jalan raya kerana parti-parti pembangkang di Malaysia masih mahu menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang.
Mengapa Najib yakin mampu menang PRU14?
Penyakit utama parti-parti pembangkang di Malaysia ialah “hanya bersungguh-sungguh” bercakap mengenai “electoral reform” atau reformasi pilihan raya selepas kalah dalam pilihan raya.
Ini dapat dibuktikan dengan tindak-tanduk mereka selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Mereka berhimpun dengan marah-marah mengatakan “Umno mencuri” kemenangan kerana mereka mendapat undi majoriti walaupun Barisan Nasional (BN) mendapat majoriti kerusi di Dewan Rakyat.
Selain daripada tidak memahami sistem pilihan raya di Malaysia tidak mementingkan “undi majoriti”, parti pembangkang seperti DAP, PKR dan PAS tidak menyambut cadangan Najib untuk meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Parlimen sebaik saja dilantik menjadi perdana menteri selepas PRU13.
Sebaik saja mendapat mandat pertamanya selepas PRU13, Najib mengumumkan kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili ahli Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.
“Dengan langkah ini, diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap SPR akan dapat diperkukuhkan,” katanya.
Namun sehingga hari ini, SPR masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan masih belum berada di bawah Parlimen.
Mengapa ahli Parlimen pembangkang yang jumlahnya begitu ramai tidak melakukan sesuatu agar Najib melaksanakan janjinya itu?
Tidakkah ahli politik pembangkang faham selagi SPR tidak dibebaskan daripada JPM, selagi itulah badan pengendali pilihan raya itu tidak akan dilihat bebas dan tindak-tanduk mereka masih dikawal selia kerajaan?
Lebih menyedihkan lagi apabila badan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) turut tidak menyambut cadangan “progresif” daripada Najib itu.
Maka tidak hairanlah mengapa Najib begitu yakin untuk berdepan dengan pembangkang semasa PRU14. Apatah lagi dengan perpecahan PAS yang menyebabkan kelahiran sebuah parti baharu Amanah.
Jika pilihan raya mengejut diadakan hari ini ketika parti-parti pembangkang tidak bersatu seperti semasa PRU13 dulu, tidak mustahil Umno dan BN akan mendapat kembali majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat termasuk merampas Selangor.
Dan selepas itulah parti-parti pembangkang dan Bersih 2.0 akan kembali “menjerit” tentang pilihan raya di Malaysia yang tidak adil. – 6 September, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments