Tahun 2015 bermula dengan kejam apabila serangan dilakukan terhadap pejabat Charlie Hebdo - akhbar mingguan satira berbahasa Perancis dan mengakibatkan 12 terbunuh termasuk seorang polis beragama Islam.
Pihak berkuasa Perancis mendakwa 3 lelaki yang dikenal pasti sebagai suspek melakukan serangan itu mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) dan Al-Qaeda.
Charlie Hebdo sebelum ini dikatakan pernah menyiarkan jenaka terhadap agama seperti Yahudi, Kristian dan Islam.
Dan berkemungkinan besar serangan berdarah tersebut disebabkan penghinaan yang dilakukan terhadap Nabi Muhammad dalam kartun-kartun mereka.
Tetapi halalkah serangan ganas dan pembunuhan itu atas nama Nabi Muhammad?
Walaupun Charlie Hebdo pernah juga menghina agama Yahudi dan Kristian, mengapa kita tidak pernah dengar pengganas Yahudi dan Kristian menyerang pejabat akhbar satira tersebut?
Di manakah silapnya Islam jika benar penyerang Charlie Hebdo itu daripada Isis atau Al-Qaeda?
Dalam sirah Islam yang kita baca sebelum ini, Nabi Muhammad sendiri tidak pernah bertindak balas terhadap orang yang menghinanya bahkan yang menzaliminya.
Silap dakwah?
Di Malaysia ketika kempen anti Bashar Al-Assad berleluasa, masjid dan surau menghadirkan “ustaz-ustaz” untuk berceramah tentang kononnya kekejaman yang dilakukan presiden Syria itu di seluruh negara.
Selain daripada para ustaz yang didatangkan dari Syria, “mullah-mullah” muda Malaysia yang pulang selepas tamat pengajian di Timur Tengah turut sama membakar semangat anak-anak muda untuk berjihad.
Walaupun tidak pernah memahami geo politik Timur Tengah, “mullah-mullah” muda ini bercakap seolah-olah mereka ini terlibat sama dengan perang terhadap pemerintah pimpinan Bashar di Syria.
Kesannya hari ini, pihak berkuasa Malaysia berdepan dengan rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Isis.
Hampir setiap hari kita membaca berita tentang penahanan rakyat Malaysia yang dikatakan terlibat dengan kumpulan pengganas tersebut.
Berbalik kepada kes pembunuhan kejam di pejabat Charlie Hebdo, mengapa keganasan dan pembunuhan yang dilakukan sedangkan semua agama di dunia ini mengajarkan cinta dan kasih sayang?
Walaupun penghinaan terhadap sesuatu agama itu tidak seharusnya dilakukan, keganasan dan pembunuhan sebagai balasan terhadap tindakan itu tidak seharusnya diraikan kerana ianya bertentangan dengan ajaran agama itu sendiri.
Memang benar media barat kebanyakannya tidak pernah berlaku adil terhadap pembunuhan rakyat Palestin oleh regim Zionis Israel.
Tetapi meraikan pembunuhan Charlie Hebdo menyebabkan kita tiada bezanya dengan regim Zionis Israel.
Seperti dikatakan pemimpin Hezbollah Hasan Nasrallah, ekstremis Islam yang berideologi “takfiri” lebih menghina Nabi Muhammad berbanding kartun satira tersebut.
“Kelakuan kumpulan takfiri yang mengaku mengikut ajaran Islam memutarbelitkan Islam, Al-Quran dan negara-negara Islam lebih daripada musuh Islam yang menghina nabi melalui filem.. atau melukis kartun tentang nabi,” kata Hasan seperti dilaporkan akhbar Labenon Daily Star.
Takziah diucapkan kepada semua keluarga mangsa pembunuhan Charlie Hebdo.
Semoga keganasan seperti ini tidak berulang dan pembunuhan atas nama agama dihentikan.
Bagi yang beragama, kembalilah kepada cinta dan kasih sayang yang diajarkan agama masing-masing.
Bagi yang tidak beragama pula, kehidupan beragama itu dijamin hak asasi manusia sepertimana hak bagi yang tidak beragama.
Biarlah semuanya hidup aman dengan kepercayaan masing-masing. – 11 Januari, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments