Jarang sekali kita mendengar seseorang pemimpin politik mengambil positif kajian tentang kelemahan partinya.
Kebiasaannya mereka akan menafikan atau mempersoalkan kredibiliti badan yang melakukan kajian itu.
Tetapi tidak bagi Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Selepas media melaporkan kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mengenai sentimen kebencian Melayu semakin meningkat terhadap DAP, Lim secara terbuka menggesa pemimpin, ahli dan penyokong partinya melakukan sesuatu bagi menangkis persepsi buruk itu.
“Ia satu amaran bagi menimbulkan kesedaran kepada semua pemimpin dan ahli DAP, malah kepada penyokong juga, mengenai perlunya mengambil serius kempen memburukkan parti ini,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu, mengulas kajian IDE yang mendapati kempen retorik agama dan kaum dilakukan Umno dan PAS terhadap DAP dilihat berkesan di kalangan orang Melayu.
Dalam kajian melibatkan 1,716 responden di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Selangor pada 13-15 November 2015, IDE mendapati sentimen anti-DAP sangat tinggi di kalangan Melayu, khasnya luar bandar.
Bagi soalan "DAP adalah parti perkauman yang hanya memperjuangkan kepentingan orang Cina", 72% responden Melayu mengatakan "Ya", 12% berkata "Tidak" dan 16% lagi "Tidak pasti".
Sementara soalan apakah "DAP adalah parti yang anti-Melayu dan anti-Islam", 64% pengundi Melayu di Selangor berkata "Ya", 18% berkata "Tidak" dan 19% lagi "Tidak pasti".
Menurut IDE, kemarahan dan kebencian orang Melayu di Selangor terhadap DAP berlaku di kawasan pedalaman, terutamanya di kalangan penyokong PAS, tetapi kurang di kawasan dimenangi parti itu.
Timbalan Pengerusi IDE Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kebencian berkurangan di kawasan yang diwakili DAP menunjukkan ia boleh diselesaikan jika penerangan diberikan dan rakyat mendapat maklumat betul, bukan berdasarkan kempen dan propaganda.
"Kami dapati angka anti-DAP ini rendah di kawasan wakil rakyat Cina seperti Parlimen Serdang yang diwakili Dr Ong Kian Ming dan Subang Jaya diwakili Hannah Yeoh," kata Redzuan seperti dilaporkan The Malaysian Insider.
Masih banyak perlu dilakukan DAP
Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, tidak dapat dinafikan DAP melakukan sesuatu untuk mengubah imej mereka sebagai sebuah parti Cina.
Sebelum PRU12, DAP sudah mempunyai sejarah meletakkan calon Melayu dalam pilihan raya, tetapi peristiwa di Perak memberikan pengajaran besar kepada parti itu.
Walaupun memenangi majoriti kerusi DUN Perak di kalangan parti pembangkang, disebabkan tidak mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melayu, kerusi menteri besar Perak terpaksa diserahkan kepada PAS yang lebih sedikit jumlah kerusinya.
Maka DAP mula mendekati kaum Melayu dengan lebih agresif.
Ramai anak-anak muda Melayu direkrut dan dilatih untuk menjadi pemimpin DAP. Usaha ini semakin gigih selepas PRU13.
Namun sebenarnya, DAP perlu melakukan lebih daripada itu. Yang terbaik ialah dengan menunjukkan contoh di negeri diperintah mereka seperti di Pulau Pinang.
Sebagai kerajaan negeri, banyak yang boleh dilakukan untuk membuktikan DAP bukanlah parti menjaga kepentingan kaum Cina semata-mata.
Selain program pembangunan yang agresif, tidak dapat dinafikan pentingnya untuk kerajaan negeri Pulau Pinang mengadakan program membasmi kemiskinan, terutamanya di kalangan kaum Melayu di negeri itu.
Kerajaan DAP di Pulau Pinang perlu lebih serius melakukan program membasmi kemiskinan Melayu, bukan hanya dengan menaikkan elaun guru Kelas Agama Fardhu Ain (Kafa) semata-mata. Kerana bukan semua Melayu di Pulau Pinang itu merupakan guru Kafa.
Dan sudah tentulah program itu bukanlah jenis memberi “ikan” tetapi memberi “pancing” supaya kaum Melayu di negeri Pulau Pinang boleh berdikari.
Masih ada masa untuk melakukan sesuatu tetapi ia perlu dimulakan dengan segera sebelum ianya terlambat. – 10 Januari, 2016.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments