Opinion

Deklarasi Rakyat akan gagal jika hanya harapkan Dr Mahathir

Sudah hampir 2 minggu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mencipta sejarah menggabungkan pemimpin Umno, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersatu bagi menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Selepas Deklarasi Rakyat dilancarkan, tidak kelihatan atau kedengaran momentum untuk menggerakkannya bagi menyampaikan mesej kepada rakyat di bawah.

Mungkin juga ini merupakan strategi untuk “menggelirukan pihak lawan” memandangkan pentadbiran Najib kini memberikan reaksi keras terhadap mana-mana penentangan.

Akan tetapi, bagi penyokong pergerakan ini, mereka ternanti-nanti apakah yang sedang berlaku dan kemakah hala tuju Gerakan Selamatkan Malaysia ini.

 Ini kerana di media sosial, Gerakan Selamatkan Malaysia kelihatan bersikap seperti “sebuah kerajaan” yang tenang sahaja membiarkan penentang-penentang mereka menyerang.

Penentang Gerakan Selamatkan Malaysia sama ada menyokong Najib atau tidak kelihatan lebih agresif “menghina” Deklarasi Rakyat.

Sedangkan, yang menyokong Dr Mahathir tidak kurang hebatnya seperti bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, aktivis Hishamuddin Rais, Maria Chin Abdullah dan ramai lagi.

Walaupun ramai “pemain berpengalaman” dalam Gerakan Selamatkan Malaysia, mereka mungkin terlupa sesebuah momentum dan mood sesuatu pergerakan itu harus “dicipta” dan ianya tidak akan terjadi dengan sendirinya.

Atau sebenarnya mereka hanya mengharapkan Dr Mahathir melakukan semua perkara? Mereka mungkin terlupa bekas perdana menteri itu sudah berusia 91 tahun!

Tindak balas Najib

Sudah tentu Najib, Umno dan Barisan Nasional (BN) panik. Tidak mungkin mereka akan biarkan Gerakan Selamatkan Malaysia bergerak mudah.

Mana tidaknya pada Pilihan Raya Umum ke 12 (2008), disebabkan Dr Mahathir menentang perdana menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Badawi, BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan negeri-negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Dan pada ketika itu, Dr Mahathir tidak mempunyai sebarang kerjasama rasmi bersama pembangkang.

Bayangkan jika terdapat kerjasama rasmi Dr Mahthir dan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang ketika sentimen pengundi bukan Melayu masih anti BN? Sedikit perubahan kepada trend pengundian Melayu akan menyebabkan BN jatuh.

Ini menyebabkan Dr Mahathir disingkirkan sebagai penasihat syarikat petroleum negara, Petronas pada Jumaat.

Putrajaya mengatakan penyingkiran Dr Mahathir dilakukan kerana beliau bekerjasama dengan pembangkang untuk menjatuhkan Najib yang dipilih rakyat secara demokratik.

Ramai menjangkakan Najib tidak hanya akan berhenti di situ.

Penyingkiran Dr Mahathir daripada Petronas juga merupakan amaran kepada penentang-penentang Najib dalam Umno.

Lebih banyak akan dilakukan Najib dan pasukannya untuk menghancurkan legasi Dr Mahathir yang dibina selama 22 tahun semasa menjadi perdana menteri dahulu.

Selepas Mukhriz disingkirkan sebagai menteri besar Kedah, tidak mustahil anak-anak Dr Mahathir yang lain akan turut diganggu tidak lama lagi.

Polis juga sudah memberi amaran mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membuat ucapan dianggap menghasut pada perhimpunan Selamatkan Malaysia pada 27 Mac ini, di mana seruan supaya Najib meletakkan jawatan dijangka akan terus dilaungkan.

Kediktatoran Najib semakin terserlah. Media bebas disekat dan lebih banyak “pencabulan demokrasi” dijangka akan berlaku tidak lama lagi.

Lebih menyedihkan, pada ketika ini, hanya Dr Mahathir yang berumur 91 tahun kelihatan benar-benar melawan. – 13 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments