Opinion

Di mata Najib, blogger pro-Umno serang Umno ‘bangang’

Antara yang menarik dalam ucapan penggulungan Datuk Seri Najib Razak semalam adalah apabila beliau mengatakan blogger pro-Umno yang menyerang kembali parti Melayu itu sebagai “bangang”.

Menurut presiden Umno itu, blogger-blogger ini seharusnya memfokuskan serangan kepada parti-parti pembangkang kerana mereka harus ingat siapa yang membiayai mereka.

“Bloggers kita ini cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang.

“Itu cara kita hendak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tidak masuk akal. Bangang,” katanya semasa berucap di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur semalam.

Selain menyerang kembali blogger-blogger yang mengkritik Umno ini, Najib sebenarnya secara tidak langsung memberikan pendedahan terbuka partinya membiayai kumpulan ini.

Sekian lama blogger-blogger pro-Umno ini menafikan mereka dibiayai (walaupun sudah menjadi rahsia terbuka) untuk mempertahankan kerajaan daripada serangan di media sosial, ucapan Najib semalam secara tidak langsung memberi “peluru” untuk golongan ini diserang di media sosial.

“Pecah tembelang....“Bloggers kita ini cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita hendak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tidak masuk akal. Bangang,” BANGANG... BANGANG... BANGANG... BANGANG... HA HA HA,” tulis pengguna Facebook bernama Kassim Baba.

Sementara pengguna Facebook Mat Indra pula menulis: “Hahaha blogger Umno cari makan rupanya... upah tak cukuplah tu Datuk Najib. Up lah sikit.”

“MasyaAllah londeh aib sendiri akhirnya! Ingatkan cerdik... kalau ye pun, PM jangan londeh dalam perhimpunan agong yang semua orang tengok! Mak aii... ingat lepas ni lagi ganas pula blogger serang balas! Hehehe,” tulis pengguna Facebook yang menggunakan nama Biaq Betoi.

Di Twitter @AbdMalekHusin menulis: “Bukan kita yang kata, Presiden Umno yang kata, "Blogger Umno bangang!" ♫ Beginilah nasib diriku yang malang... oh Tuhan ♫.”

“Sebelum tidur nak peringat sekali lagi ye 'Blogger pro-Umno ni BANGANG!!' - kata #NajibRazak . Selamat malam,” tulis @RoslanKz di Twitter.

Dari segi sejarahnya, Umno dan Barisan Nasional (BN) mula memfokuskan untuk mempunyai pasukan bloggers selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 kerana merasakan mereka hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat apabila meninggalkan dunia siber.

Selepas itu, selain mempunyai pasukan bloggers, pimpinan-pimpinan Umno dan BN juga mula membuka blog kerana kepercayaan mereka akan mendapat sedikit “saham” sokongan daripada pengguna Internet yang sebelum ini hanya dimanfaatkan pemimpin pembangkang.

Namun keputusan PRU13 menunjukkan sebaliknya, BN hilang majoriti lebih besar apabila hanya berjaya memenangi 133 kerusi Dewan Rakyat berbanding 140 kerusi pada PRU12.

Lebih parah lagi, buat pertama kalinya BN kehilangan undi popular kepada Pakatan Rakyat (PR).

Mempunyai pasukan bloggers yang besar tidak memberi kelebihan kepada BN. Apa lagi ketika PRU13, blog sudah tidak lagi relevan berbanding Facebook, Twitter dan YouTube.

Dan blogger upahan tidak mempunyai semangat juang tinggi berbanding yang berjuang kerana kepercayaan mereka. Blogger upahan tidak akan bekerja jika upah tidak turun.

Mungkin sudah sampai masanya Umno berhenti membuat pembaziran membayar bloggers yang tidak banyak membantu mereka memenangi pilihan raya.

Lebih baik Umno berubah mengikut peredaran zaman.

Umno mula ditinggalkan hari ini kerana golongan tua sudah mula pupus dan golongan muda semakin maju pemikiran mereka.

Mana-mana parti sekalipun jika tidak mengikut peredaran zaman sudah pasti akan ditinggalkan kerana dianggap “bangang” oleh masyarakat. – 30 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments