Opinion

Di sebalik bom Jakarta, kesakitan Melayu-Islam

Tiada apa yang lebih mengejutkan apabila melihat gambar serangan tembak menembak dan bom berhampiran Gedung Sarinah di Jakarta Khamis lalu.

Mana tidaknya, Gedung Sarinah dan kawasan berhampiran dengannya adalah "meeting point" penulis bertemu rakannya di Indonesia jika berada di Jakarta.

Sehinggakan apabila penulis menghubungi seorang teman rapat di Jakarta, beliau berkata, "Tempat kamu itu pak."

Walaupun serangan kali ini tidaklah sehebat pengeboman Hotel JW Marriott di Jakarta pada 2003, ia tetap menyebabkan Indonesia menjadi tumpuan dunia.

Serangan itu juga menyebabkan negara jiran seperti Malaysia dan Thailand berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Semalam, polis Malaysia menahan seorang lelaki di Kuala Lumpur kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Sumber polis mengatakan lelaki itu merancang meletupkan pusat hiburan di kawasan awam di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur dikatakan berpotensi menjadi sasaran serangan Isis selepas apa yang berlaku di Turki dan Indonesia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengatakan semalam pasukannya di seluruh negara berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas kejadian di Jakarta pada Khamis.

"Kami ingin memaklumkan kepada umum semua anggota di seluruh negara dalam keadaan berjaga-jaga dan memerhati dengan teliti perkembangan ini untuk memastikan semua orang selamat," kata Khalid.

Benih ektremisme

Bercakap soal ekstremisme, terutama yang dikaitkan dengan ekstremisme Islam, "benihnya" bercambah subur di Malaysia.

Hari ini, sifat "pluralisme" semakin pudar di kalangan rakyat Malaysia terutama bagi kebanyakan orang Melayu yang beragama Islam.

Perbezaan tidak lagi dirayakan tetapi dianggap "dosa". Yang berbeza fahaman atau agama dianggap "halal" darahnya.

Kelemahan jati diri dan ilmu pengetahuan menyebabkan majoriti orang Melayu kini menjadi "Arab celup", tidak dapat membezakan budaya Arab dan Islam.

Pergilah ke Bangi atau sesetengah kawasan di Shah Alam, sudah pasti akan terlihat begitu ramainya orang Arab berkulit sawo matang.

Restoran Arab juga tumbuh subur di kawasan seperti ini. Perniagaan pakaian Arab begitu laku sehinggakan ramai peniaga menjadi jutawan!

Malah ramai beranggapan, berpenampilan seperti orang Arab akan menyebabkan mereka menjadi lebih Islam dan yang tidak berpenampilan sedemikian sebagai "tidak Islamik".

Akan tetapi yang menghairankan, golongan ini tidak pula mengangkat nilai Islam seperti menjaga kebersihan dan menentang amalan rasuah dalam kehidupan mereka.

Bagi mereka, yang paling penting ialah kelihatan seperti orang Arab, sudah pasti keislaman terjamin!

Sayangnya pemimpin negara juga membiarkan benih ekstremisme ini subur dalam majoriti masyarakat Melayu.

Sebab itulah hari ini perkara pelik dilakukan orang Melayu seperti membantah gereja menaikkan salib.

Nasib baiklah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih terus konsisten dengan pendiriannya dan bersuara.

"Kita hendak tunjuk kita ini lebih Islam dari mereka. Orang yang tidak pakai tudung pun Islam juga.

"Orang yang buat dosa juga Islam. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya kata orang itu tidak Islam.

"Adakah melayan penumpang dengan tudung menunjukkan kita lebih Islam?" soal Dr Mahathir mengenai "kesakitan" terbaru masyarakat Melayu.

Persoalannya, sampai bila kita hanya mahu mengharapkan orang seperti Dr Mahathir bersuara, mana hilangnya pemimpin dan bijak pandai kita yang lain?

Apakah kita hanya akan mula bertindak selepas Kuala Lumpur meletup? – 17 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments