Opinion

Doa untuk Najib

Semalam Datuk Seri Najib Razak menyertai ribuan umat Islam di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur untuk menyertai majlis “Doa Untuk Malaysia” anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Ketua Pengarah Jasa Datuk Puad Zarkashi memberitahu Bernama, objektif penganjuran program itu kerana negara kerap diuji bencana, antara lainnya, serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 serta tragedi pesawat MH17, serta musibah banjir yang melanda beberapa negeri hujung tahun lepas.

Semua bencana ini berlaku sejak Najib mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Secara tidak langsung sebenarnya, program di ibu kota malam tadi lebih kepada “Doa Untuk Najib” berbanding “Doa Untuk Malaysia”.

Semuanya seperti tidak menjadi untuk Najib. Sudah macam-macam dilakukannya akhir-akhir ini untuk kekal berkuasa termasuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam rombakan Kabinet.

Skandal syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) benar-benar menyusahkannya.

Lebih parah lagi isu “derma” RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun peribadinya kini sudah menjadi lawak utama di kalangan rakyat di media sosial.

Masalah utama Najib ialah beliau tidak mampu mencengkam Umno. Walaupun sudah menyingkirkan Muhyiddin dan Shafie daripada Kabinet, kedua-duanya masih memegang jawatan tinggi parti.

Sebagai timbalan presiden dan naib presiden, Muhyiddin dan Shafie terus-menerus mendapat platform untuk bercakap di mesyuarat bahagian Umno dan menyuarakan kritikan terhadap Najib dan 1MDB.

Nada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin terhadapnya juga semakin berbeza.

Kenyataan dikeluarkan menteri belia dan sukan itu akhir-akhir ini lebih mirip kepada kenyataan Muhyiddin dan Shafie berbanding Najib.

Suara Najib dalam kerajaan juga sudah tidak begitu “kuat” apabila terpaksa memulangkan kembali dua pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memindahkan mereka ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Usaha gulingkan BN

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula mendedahkan, terdapat pemimpin Umno yang bekerjasama dengan pembangkang untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Zahid berkata, akaun bersumpah (SD) sudah diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang bagi menyokong gerakan ini.

Zahid memberitahu perkara sama apabila merasmikan ketiga-tiga mesyuarat Umno bahagian Ampang, Klang dan Kapar sebagai naib presiden parti Melayu itu.

Tidak berapa lama selepas Zahid mendedahkan “konspirasi ini”, pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengatakan beliau masih lagi bersama Najib.

Begitu juga Muhyiddin yang mengatakan di Semporna, Sabah, “bodohlah” jika beliau mahu terlibat dengan gerakan menjatuhkan BN.

Jadi siapakah yang dimaksudkan menteri dalam negeri itu, Razaleigh atau Muhyiddin?

Sementara di luar Umno, BN dan kerajaan, perhimpunan Bersih 4 sedang disusun di ibu negara. Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah mengatakan perhimpunan ini merupakan “undi tidak percaya terhadap Najib”.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, rakyat Malaysia kini tidak lagi berminat untuk menyertai demonstrasi berbanding dulu.

Sementara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula terus menerus mengkritik Najib. Sehingga menulis panjang baru-baru ini.

Begitu hebat tekanan yang dihadapi Najib kini. Bukan saja dari luar, tetapi juga dari dalam Umno. Maka tidak hairanlah mengapa Puad menganjurkan program “Doa Untuk Malaysia (Najib)” semalam. – 16 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments