Opinion

Dyana Sofya dan keberanian politik DAP

Sejak Dyana Sofya Mohd Daud dinamakan DAP sebagai calon mereka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, nama gadis itu terus melonjak naik dan menjadi “darling” kepada media.

Sebagai pengamal media atas talian, saya sendiri dapat menyaksikan apa sahaja berita yang mempunyai nama Dyana Sofya tidak kira yang menyanjung atau menghinanya, pasti akan “laku terjual”.

Di media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube, Dyana Sofya begitu laku sekali.

Teluk Intan yang bersedih di atas kematian bekas Ahli Parlimen Seah Leong Peng kerana penyakit barah kini mempunyai fenomena baru dengan kehadiran Dyana Sofya.

Gambar palsu Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP untuk Teluk Intan berbikini dijumpai di kampung Melayu di Teluk Intan semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Mei, 2014. Gambar palsu Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP untuk Teluk Intan berbikini dijumpai di kampung Melayu di Teluk Intan semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Mei, 2014. Dengan gaya kempen ala pilihan raya presiden di Amerika Syarikat (AS), imej Dyana Sofya membanjiri Teluk Intan dan media sosial dengan penuh bergaya.

Umno sebagai parti tunjang kepada Barisan Nasional (BN) kelihatan tergoncang dengan tindakan berani DAP sebagai sebuah parti majoriti kaum Cina untuk meletakkan seorang gadis Melayu sebagai calon di kerusi yang secara tradisinya ditandingi kaum Cina.

Tetapi BN sebagai sebuah gabungan politik konservatif, tidak berani “menongkah arus” apabila meletakkan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong, sebagai calon mereka.

Mah merupakan bekas ahli Parlimen yang pernah berkhidmat selama dua penggal dan merupakan anak jati Teluk Intan.

Kepimpinan DAP sendiri tidak pasti apakah langkah meletakkan Dyana Sofya itu akan berjaya apabila Lim Kit Siang menghantar mesej kecemasan (SOS) kepada pengguna Internet Malaysia agar turun padang untuk membantu parti itu di Teluk Intan.

Ketua Parlimen DAP itu juga turut mengatakan, jika PRK Teluk Intan itu diadakan di Internet, Dyana Sofya sudah pun memenanginya, tetapi belum pasti pada PRK 31 Mei ini.

Walaupun DAP mahu mengubah imej mereka untuk menjadi “benar-benar Malaysia”, apakah penduduk Teluk Intan yang mempunyai pengundi majoriti Cina (41.9%) sudah bersedia untuk mengundi seorang calon Melayu?

Bagaimanapun, jika dilihat daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, ramai calon-calon Melayu Pakatan Rakyat (PR) menang dengan sokongan pengundi bukan Melayu terutamanya di kerusi bandar.

Dengan majoriti lebih 7,000 dimenangi DAP dalam PRU13 lalu, kemungkinan besar Dyana Sofya tidak mempunyai masalah untuk menjadi ahli Parlimen Teluk Intan yang baru.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa gadis Melayu seperti Dyana Sofya yang merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak menyertai Umno?

Semasa lepak di kedai kopi semalam, seorang aktivis Umno dari Selatan tanah air memberitahu saya: “Macam mana orang muda hendak masuk Umno, sebab awal-awal lagi sudah kena pancung!”.

Beliau begitu marah dengan tindakan pembesar-pembesar Umno yang menyekat golongan muda dalam parti itu sehinggakan gadis Melayu seperti Dyana Sofya menyertai DAP.

Katanya, pembesar-pembesar Umno terlalu tamak kerana mahu berkuasa selamanya sehingga ramai anak-anak muda profesional menyertai pembangkang.

Lewat petang semalam, media melaporkan gambar palsu Dyana Sofya “berbikini” ditemui di masjid dan kampung-kampung Melayu di Teluk Intan.

Membaca berita tentang ini menyebabkan saya berfikir, mengapa sampai begini sekali takutnya mereka terhadap Dyana Sofya?

Mungkin juga kerana jika Dyana Sofya menang, lebih ramai anak-anak muda Melayu akan menyertai DAP.

Jika ini berlaku, Umno sebagai parti Melayu terbesar di Malaysia akan menemui ajal dengan lebih cepat kerana gagal melahirkan kepimpinan muda untuk mengambil alih parti itu.

Beberapa hari lalu di Teluk Intan, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengatakan Dyana Sofya bukanlah ancaman BN kerana hanya segelintir Melayu yang menyertai DAP.

Khairy tentu sedar betapa sukarnya golongan muda sepertinya untuk memperjuangkan idea-idea baru dalam parti yang dikuasai golongan tua itu.

Lagipun, umum mengetahui Khairy bersendirian dalam banyak perkara dan pandangannya “terlalu kehadapan”, bukan sahaja bagi golongan tua Umno, tetapi majoriti anggota Pemuda parti itu. – 25 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments