Apabila mendengar berita tentang kemalangan Halim Hamid, ayah kepada aktivis muda Adam Adli pada satu malam sebelum tidur, terdetik hati mahu ke Pulau Pinang untuk menziarahi.
Satu lagi mesej WhatsApp masuk mengatakan Halim yang menggelar dirinya sebagai “ayah” dipindahkan dari satu hospital ke hospital lain, perasaan untuk menziarah semakin kuat.
Apa-apa pun perlu tunggu sehingga esok pagi. Ketika sedang bersiap dan mencari “geng” untuk ke Pulau Pinang, satu mesej WhatsApp masuk mengatakan Halim sudah meninggal dunia.
Terkedu, hiba dan pilu. Itulah perasaan pada ketika itu.
Selepas membuat beberapa panggilan, akhirnya cukup “kaki” untuk ke Kepala Batas, Pulau Pinang – tempat Halim disemadikan.
Walaupun tiba di Kepala Batas, sebaik sahaja jasad Halim ditkebumikan, sekurang-kurangnya dapatlah melihat perjalanan terakhirnya di bumi ini.
Ramai sekali pemimpin politik, aktivis dan anak muda turun untuk mengiringi perjalanan terakhir Halim.
Benar seperti kata The Beatles dalam lagu “The End” daripada album Abbey Road. “And in the end, the love you take is equal to the love you make.”
Berkenalan dengan Halim
Dalam kehidupan sebagai pemberita, ramai watak-watak menarik yang penulis temui. Halim adalah di antara yang paling “style”.
Bayangkanlah, pertemuan pertama dengan Halim pada ketika penulis sedang “menyumbat” rokok ke mulut anaknya, Adam!
Kisahnya begini, satu hari ketika sedang dalam perjalanan untuk mengambil kenderaan di Bangsar, penulis terlihat beberapa anggota polis membawa Adam ke keretanya untuk mencari “bahan bukti”.
Oleh kerana perasaan “menyibuk” terlalu tinggi, penulis pun menghampiri Adam yang sedang bergari dan dipegang beberapa pegawai polis.
Sambil polis menggeledah kereta Adam, air 100 Plus di tangan penulis diberikannya. Nampak haus sungguh anak muda ini.
“Kasihan” dalam hati terdetik. “Sudah pasti dalam lokap makan dan minumnya entah apa-apa.”
Kerana mengetahui Adam seorang perokok, penulis minta kebenaran kepada anggota polis yang menggiringnya untuk diberikan sedikit “oksigen”.
Lampu hijau diberi. Akan tetapi Adam seolah-olah berani tak berani untuk menghisap rokok yang diberi. Secara spontan penulis menyoal pegawai polis yang mengiringi Adam.
“Korang pukul dia kat dalam ke?”
Mereka katakan tidak.
Akhirnya Adam hisap juga rokok yang diberi. Kemudiannya dia dibawa polis kembali ke lokap untuk disiasat mengikut Akta Hasutan.
Adam pun berlalu pergi menaiki van polis. Tiba-tiba seorang lelaki datang memperkenalkan diri kepada penulis.
“Dia takut nak hisap rokok tadi sebab ada saya. Saya Halim Hamid, ayah kepada Adam,” katanya sambil kami berjabat tangan.
Penulis memohon maaf kerana menyebabkan dia terlihat Adam merokok. Halim kata: “Tak mengapa. Saya dulu pun muda juga.”
Menurut Halim, itulah pertama kali dia melihat Adam merokok di depannya walaupun sudah lama mengetahui kegiatan anaknya itu.
Kata Halim: “Saya dulu berhenti merokok sebab Adam dan adik (Amir Amin) dia tak suka bau rokok, tapi sekarang dia orang pulak merokok.”
Kami berdua tertawa. Selepas itu kami menjadi kawan di Facebook.
Kadang-kadang, kami akan minum teh bersama di Bangsar, Kuala Lumpur jika Halim datang untuk memberikan sokongan kepada Adam di mahkamah dari Pulau Pinang.
Belum kira lagi perbualan kami melalui Facebook Messenger.
Memerhatikan kegiatan Halim dari jauh dalam menyokong anaknya, membuatkan penulis berfikir: “Mampukah aku menjadi ayah seperti Halim yang sentiasa menyokong anaknya?”
Maka tak hairanlah mengapa Adam tak peduli keluar masuk lokap, turun naik mahkamah untuk perjuangan yang dipercayainya.
Kerana di belakangnya, terdapat ayah dan ibu yang kuat menyokong.
Tarikh 24 April 2015, hari Halim dijemput pencipta untuk kembali ke tempat asalnya, garis masa di Facebook penuh dengan ratapan terhadap pemergiannya.
Tidak hairan begitu ramai yang meratapi pemergian Halim kerana selama hidupnya, dia bukan sahaja menjadi ayah kepada Adam dan Amin, tetapi kepada semua.
Al-Fatihah buat Halim. “Cerita kita” akan tetap dikenang. – 31 Mei, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments