Seorang ahli akademik dari Jepun yang setiap tahun akan singgah ke Kuala Lumpur kerana minatnya mengkaji politik negara bertanya kepada penulis baru-baru ini, “mengapa segala-galanya di Malaysia adalah tentang Dr Mahathir?”
Katanya, sejak dari tahun 1960-an, politik di Malaysia tidak pernah sunyi daripada nama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hari ini, sekali lagi bekas perdana menteri itu mencipta sejarah apabila berjaya menghimpunkan bekas pemimpin, ahli politik pembangkang dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersatu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
Pensyarah Jepun itu skeptikal gabungan baharu Dr Mahathir akan berjaya menjatuhkan Najib kerana penguasaan perdana menteri terhadap institusi-institusi utama negara.
Katanya, Dr Mahathir sendiri bertanggungjawab menjadikan Najib sebagai seorang perdana menteri yang begitu berkuasa sekali pada hari ini sepanjang 22 tahun memerintah Malaysia.
Penulis memberitahu ahli akademik Jepun itu, politik adalah seni untuk melakukan sesuatu yang mustahil. Dan di dalam politik, tiada kawan dan musuh yang kekal.
Siapa sangka Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang yang pernah menjadi punca ahli Umno dikafirkan di seluruh negara hari ini duduk semeja bersama Najib dan menjadi “talian hayat” kepada parti Melayu itu?
Begitu juga dengan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat Dr Mahathir pada 1998 dan merengkok dalam penjara selama 6 tahun dan kini sekali lagi dipenjarakan, siapa sangka beliau akan menyokong gabungan baharu dipimpin bekas musuh ketatnya?
Keputusan pemimpin pembangkang dan NGO untuk bersama Dr Mahathir turut menerima kritikan dan kemarahan penyokong-penyokong mereka sendiri.
Lihat sahajalah di media sosial seperti Facebook dan Twitter, ramai juga penyokong pembangkang “mengamuk” dengan keputusan bersama Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib.
Bagi penyokong yang marah, mereka merasakan adalah mustahil untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir yang dikatakan sebagai punca kepada keadaan negara pada hari ini.
Tiada pilihan lain
Akan tetapi dalam keadaan politik di Malaysia pada hari ini, memang sudah tiada pilihan lain selain penentang Najib bersatu untuk mencapai matlamat yang lebih besar.
Sudah tentu ada sebabnya mengapa orang seperti Anwar, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu, Datuk Mahfuz Omar, Chua Tian Chang dan Hishamuddin Rais yang pernah dipenjarakan pada zaman pemerintahan Dr Mahathir sanggup melupakan segala dendam peribadi dan bersama-sama di belakang bekas perdana menteri itu untuk melawan Najib yang disokong aparatus negara.
Dan mereka bersatu dalam satu deklarasi untuk menyelamatkan Malaysia.
Deklarasi ini menjadi pengikat dan selain menuntut peletakan jawatan Najib, mereka jelas mahukan reformasi institusi dilakukan di Malaysia.
Dr Mahathir kini tidak lagi boleh mengharapkan Umno untuk menjatuhkan Najib seperti dilakukan ketika menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu.
Parti-parti pembangkang juga kini berpecah belah selepas berkuburnya Pakatan Rakyat tahun lalu.
Masih belum terlihat “harapan” yang mampu diberikan kepada rakyat Malaysia dengan gabungan baharu Pakatan Harapan.
Maka “Deklarasi Rakyat” merupakan wadah baharu yang mungkin dapat memulihkan keadaan Malaysia pada hari ini.
Penulis memberitahu pensyarah Jepun itu, mungkin juga Dr Mahathir sedang memainkan peranan “Darth Vader” seperti dalam filem “Star Wars: Return of the Jedi”.
Walaupun Darth Vader bertanggungjawab mengukuhkan kekuasaan Emperor Palpatine, akhirnya hanya beliau juga yang mampu membunuhnya.
Bukan Luke Skywalker, Obi Wan Kenobi atau Master Yoda. – 6 Mac, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments