Opinion

Hari-hari akhir seorang Najib

Apabila Datuk Seri Najib Razak bersetuju diwawancara Hamdan Ahmir dalam Soal Jawab TV3 Edisi Khas untuk menjawab kritikan terhadapnya termasuk daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri sendiri sudah tahu, hari-hari akhirnya sudah semakin hampir.

Ketika Najib sebagai seorang perdana menteri terpaksa pergi sendiri untuk menjawab persoalan-persoalan ditimbulkan terhadap pentadbirannya di media arus perdana milik partinya, ini bermakna, sudah tiada lagi hulubalang-hulubalang dalam Umno yang sanggup atau mampu mempertahankannya.

Di manakah timbalannya? Di manakah naib presiden? Di manakah ketua Wanita? Di manakah ketua Pemuda? Apakah semuanya sudah meninggalkan Najib?

Ditambah pula sesi rakaman tersebut digandingkan dengan soalan-soalan “membodek” dan bukannya bersifat kritikal gaya media perdana Malaysia seperti dikatakan Asia Sentinel, jawapan-jawapan Najib menimbulkan lebih banyak persoalan.

Bayangkanlah pada masa kritikal Najib berdepan dengan serangan dari dalam dan luar Umno, soalan begini ditanya kepadanya: “Saya nak tanya Datuk Seri, bagaimana Datuk Seri membahagikan masa dari segi weightage, wajaran antara hal-hal keluarga, dengan hal-hal negara. Bagaimana Datuk Seri mengimbangi perkara ini?”

Ini menyebabkan ada pihak menganggap sesi soal jawab bersama TV3 itu merupakan “sabotaj” yang cuba dilakukan pihak-pihak tertentu terhadap Najib untuk mempercepatkan anak kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein itu meninggalkan Putrajaya.

Selain itu Najib juga tidak menggunakan sesi rakaman itu untuk menjawab persoalan mudah ditimbulkan Dr Mahathir seperti mengapa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai aset RM52 bilion meminjam RM42 bilion?

Mengapa wang berbilion ringgit 1MDB yang dibawa balik dari Pulau Cayman disimpan di bank di Singapura?

Siapa beri arahan kepada Koperal Sirul Azhar Umar dan Ketua Inspektor Azilah Hadri untuk membunuh warga Mongolia Altantuya Shariibuu? Dan yang paling penting sekali apa motif pembunuhan Altantuya?

Sembilan tahun lalu pada 2006, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah melakukan perkara sama menggunakan TV3 dan disiarkan ke seluruh negara untuk menjawab kritikan Dr Mahathir.

Tidak beberapa lama selepas wawancara Abdullah bersama TV3, Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya hilang majoriti tradisi dua pertiga di Dewan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Setahun selepas itu, Abdullah yang mesra dengan panggilan Pak Lah akhirnya meninggalkan Putrajaya bagi memberikan laluan kepada Najib untuk menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir tak akan berhenti selagi Najib tak berundur

Berita tentang kematian Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias menenggelamkan berita kehadiran Dr Mahathir ke majlis pengebumian bapa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun Dr Mahathir dikatakan berkawan baik dengan bapa Anwar Datuk Ibrahim Abd Rahman, kehadirannya ke majlis pengebumian tersebut memberikan makna besar dan isyaratnya sudah tersebar.

Dalam politik, tidak ada yang tidak sengaja. Semuanya mempunyai perkiraan dan penyusunan. Selain Dr Mahathir, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut hadir untuk menyatakan takziah kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga.

Dr Mahathir memberikan isyarat beliau sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk Anwar untuk menjatuhkan Najib. Persoalan yang ditanya ramai pihak ialah apakah mekanisme untuk menjatuhkan Najib?

Dalam Umno, Najib disokong kuat majoriti ketua bahagian di seluruh negara sehingga tidak memungkinkan beliau dicabar dalam pemilihan Umno akan datang.

Tambahan pula, pemilihan Umno boleh ditangguhkan seperti dilakukan sebelum ini dengan alasan untuk menghadapi PRU ke-14.

Menteri-menteri Kabinet majoritinya sudah menyatakan ikrar taat setia kepada Najib. Begitu juga dengan parti komponen BN, kesemuanya sudah menyatakan mereka bersama Najib.

Usul undi tidak percaya terhadap Najib di Parlimen? Ramai meragui kaedah ini kerana untuk usul tersebut diluluskan Yang Dipertua Dewan Rakyat sudah dilihat sukar.

Sekalipun Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Najib dilakukan, apakah Dr Mahathir mempunyai cukup angka untuk menewaskannya?

Melainkan Dr Mahathir berfikir di luar kotak menggunakan kaedah-kaedah lain seperti pilihan jalan raya untuk menjatuhkan Najib.

Akan tetapi pada usia hampir 90 tahun, masih mampukah Dr Mahathir untuk melakukan perkara radikal sebegini?

Sanggupkah Dr Mahathir muncul dalam demonstrasi untuk menuntut Najib letak jawatan? – 12 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments