Khamis lalu Mahkamah Rayuan Putrajaya menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM4.55 juta termasuk faedah kepada lima bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ditahan pada April 2001 – ketika gerakan reformasi menentang pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad masih memuncak.
Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang, aktivis dan penulis Hishamuddin Rais, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang Saari Sungib, aktivis Badaruddin Ismail (Pak Din) dan Ahli Majlis Tertinggi PKR Badrulamin Baharom masing-masing akan dibayar ganti rugi kerana mahkamah mendapati penahanan mereka tidak sah.
Tahniah diucapkan kepada kelima-lima aktivis ini. Akhirnya mereka berjaya membuktikan penahanan ISA beberapa hari sebelum perhimpunan aman Black 14 pada 14 April 2001 merupakan penahanan politik dan salah guna kepada akta drakonian itu.
Kelima-lima aktivis ini juga berjaya membuktikan tuduhan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai yang mereka memiliki "rocket launcher", "molotov cocktail" dan "ball bearing" sebagai justifikasi untuk menggunakan ISA merupakan penipuan semata-mata.
Akan tetapi, dalam kegembiraan merayakan kemenangan, diharapkan kelima-lima aktivis ini tidak melupakan golongan yang "terkorban" kerana bangkit mempertahankan mereka.
ISA7
13 tahun lalu, tidak berapa lama selepas lima aktivis di atas termasuk Ezam Mohd Noor (kini menyertai Umno kembali dan bekerja di Kementerian Kewangan), Lokman Noor Adam (kini menyertai Umno kembali dan merupakan panel pemikir JASA), Raja Petra Kamaruddin (kini menetap di Manchester, UK dan pengarang Malaysia Today), N Gobalakrishnan (bekas ahli Parlimen Padang Serai) dan Ghani Haron (kini kembali menyertai Umno) ditahan ISA, sekumpulan mahasiswa bangkit mempertahankan mereka.
Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Universiti Bangsar Utama (UBU), Pergerakan Demokrasi Pelajar dan Pemuda Malaysia (Dema), Front Anak Muda Untuk Demokrasi (Fraksi), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) dan Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) menubuhkan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).
Selepas pentadbiran Dr Mahathir menggunakan ISA terhadap aktivis-aktivis reformasi ini, gerakan penentangan terhadap perdana menteri paling lama berkhidmat itu semakin mengendur dan tidak ramai yang berani untuk keluar berhimpun.
Akan tetapi GMMI membuat keputusan mengadakan demonstrasi di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 8 Jun 2001 bagi membantah tindakan pentadbiran Dr Mahathir mengekang kebebasan bersuara dengan menggunakan ISA.
Demonstrasi aman yang dihadiri lebih 500 mahasiswa itu berakhir dengan keganasan polis.
Tujuh mahasiswa: Rafzan Ramli (Universiti Teknologi Mara), Helman Sanuddin (Universiti Teknologi Mara), Wan Sanusi Wan Mohd Noor (Universiti Malaya), Khairul Amal Mahmud (Universiti Malaya), Nik Noorhafizi Nik Ibrahim (Universiti Kebangsaan Malaysia), Ahmad Kamal Abdul Hamid (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Zulkefle Idris (Universiti Teknologi Malaysia) ditahan polis dan merengkok di dalam lokap.
Selepas semalaman "didera" secara mental, ditampar dan ada yang diterajang di perut, ketujuh-tujuh aktivis mahasiswa dibebaskan pada petang keesokan harinya.
Ketujuh-tujuh mahasiswa yang kemudiannya digelar ISA7 itu dibuang daripada universiti masing-masing.
Oleh kerana teguh dengan pendirian tidak bersalah dan kebebasan bersuara dijamin Perlembagaan Persekutuan, ISA 7 tidak merayu di atas hukuman dibuang universiti dan berdepan dengan perbicaraan mahkamah.
Mereka dituduh mengikut Sekyen 27, Akta Polis dan mengalami perbicaraan mahkamah yang panjang selama 13 tahun.
Dalam tempoh panjang turun dan naik mahkamah, susah dan payah dilalui sendiri tanpa menerima bantuan mana-mana pihak selain beberapa rakan dekat dan kumpulan peguam yang memberikan khidmat secara percuma.
Contohnya Wan Sanusi dan Nik Noorhafizi pernah membuat dan menjual t-shirt yang mereka cetak sendiri untuk menyara hidup sepanjang tempoh perbicaraan panjang itu.
Sepanjang tempoh perbicaraan, mereka pernah menang di Mahkamah Majistret, kemudian kalah di Mahkamah Tinggi, kalah perbicaraan semula di Mahkamah Majistret, kalah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Akhirnya Mahkamah Rayuan pada 2013 mendenda lima daripada mereka RM3,900 setiap seorang (Helman dibebaskan dalam salah satu perbicaraan dan Wan Sanusi tidak dapat dikesan sehingga hari ini).
Selain daripada ISA7, tidak berapa lama selepas demonstrasi di Masjid Negara pada 8 Jun itu, dua aktivis mahasiswa Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (UBU) dan Mohd Fuad Ikhwan (Gamis) ditahan mengikut ISA dan dibebaskan selepas hampir sebulan.
Begitulah cara pentadbiran Dr Mahathir berdepan dengan kebangkitan mahasiswa.
Aktivisme mahasiswa pasca 2008
Hari ini, mahasiswa berdepan dengan cabaran sama akan tetapi keadaannya sudah berbeza.
Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 mengubah segalanya. Masyarakat bukan Melayu yang selama ini menyokong kuat Barisan Nasional (BN) sudah mengalihkan sokongannya kepada Pakatan Rakyat (PR).
PRU 2013 memeritkan lagi BN, selain gagal merampas kembali majoriti tradisi dua pertiga yang hilang semasa 2008, mereka turut kehilangan undi popular.
Walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sudah longgar, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah dimansuhkan, dan gerakan sivil semakin kuat, kebebasan bersuara mahasiswa masih dinafikan.
Baru-baru ini lapan mahasiswa Universiti Malaya (UM8) dibicarakan pentadbiran universiti kerana membawa masuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berpidato di kampus.
Daripada lapan mahasiswa ini, ada yang digantung dua semester, digantung satu semester, didenda, diberikan amaran dan ada juga dibebaskan.
Salah seorang pemimpin mahasiswa digantung pengajiannya baru-baru ini pernah mencabar agar UM memecatnya kerana percaya melakukan perkara benar dalam satu temubual bersama portal berita.
Pemimpin mahasiswa itu turut mengatakan dalam wawancara tersebut bersedia untuk dipenjarakan demi menegakkan kebenaran.
Akan tetapi selepas digantung UM, pemimpin mahasiswa itu mengeluarkan kenyataan berbeza dan merintih kerana "kekejaman" dilakukan terhadapnya di media sosial.
Seharusnya beliau tidak mengalah, apa lagi merayu jika percaya apa yang dilakukannya benar.
Keadaan hari ini pun sudah berbeza dengan aktivisme mahasiswa di zaman Dr Mahathir.
Hari ini jika digantung atau dibuang universiti, pasti ramai akan tampil memberikan bantuan atau menanggung pengajian mahasiswa yang "dianiayai" itu di kolej swasta.
Di zaman kepesatan media sosial ini, apa sahaja yang kita cakap atau tulis, akan cepat dikongsikan di Facebook dan Twitter.
Selepas keluar di Facebook dan Twitter, ada saja yang gatal tangan untuk "screen shot".
Oleh itu, berfikirlah terlebih dahulu sebelum berkata-kata atau menulis. – 14 Disember, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments