Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad membuat kejutan apabila mengatakan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi LPM, Dr Wan Ilias Wan Salleh tidak pernah digantung tugas mereka akibat kebocoran kertas peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Kenyataan Madinah ini bercanggah dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 September yang mengatakan Na’imah dan Wan Alias digantung serta merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 selesai.
Bercanggah dengan kenyataan Muhyiddin yang merupakan Menteri Pendidikan I, Madinah mengatakan kedua-dua Na’imah dan Wan Alias hanya diberi tugas yang tidak berkaitan dengan Lembaga Peperiksaan.
Kebocoran kertas peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 menyebabkan pembatalannya, sementara kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan.
Peperiksaan bagi kedua-dua kertas itu akan diadakan pada tarikh baharu 30 September.
Muhyiddin sebelum ini berkata, keputusan penggantungan tugas dibuat kerana mereka perlu bertanggungjawab dalam perkara ini, dan menurutnya kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atas kebocoran soalan itu.
Kebocoran kertas peperiksaan UPSR menyebabkan kebimbangan ibu bapa di seluruh negara apatah lagi kejadian ini menyebabkan anak-anak yang menduduki peperiksaan itu merasa tertekan dan terganggu emosi mereka.
Semenjak isu kebocoran kertas peperiksaan heboh, setiap hari kita mendengar tangkapan polis terhadap pihak bertanggungjawab dengan kebocoran itu.
Memang baik kerajaan bertindak tegas dengan pelaku tidak bertanggungjawab itu. Akan tetapi kenyataan Madinah semalam menyebabkan kita rasa tertipu dengan apa yang dikatakan Muhyiddin sebelum ini.
Apakah Muhyiddin hanya mahu menyedapkan hati ibu bapa dan menunjukkan kerajaan tegas dalam isu ini sehingga terpaksa menipu?
Eloklah timbalan perdana menteri berikan penjelasan berhubung isu ini kerana ibu bapa di seluruh negara pasti merasa tertipu dengan kenyataannya sebelum ini.
Berhubung kebocoran kertas UPSR, elok juga diadakan penilaian semula terhadap sistem peperiksaan di negara ini.
Apakah sistem pendidikan negara berjaya melahirkan insan yang berguna kepada negara atau melahirkan manusia rakus dan sanggup menipu semata-mata untuk lulus peperiksaan?
Isu kebocoran kertas peperiksaan ini bukan isu baharu. Ianya sudah berlaku puluhan tahun lalu, ketika penulis masih lagi bersekolah.
Kertas soalan peperiksaan biasanya dibocorkan pusat-pusat tuisyen “popular”.
Ini menyebabkan perniagaan mereka “laku” kerana kononnya berjaya meramalkan dengan tepat soalan peperiksaan.
Kebocoran kertas UPSR baru-baru ini menyebabkan ada yang tertanya, mengapa terlalu rakus sehingga kertas peperiksaan sekolah rendah pun boleh bocor?
Ribuan pelajar sekolah rendah bersaing untuk masuk ke sekolah menengah yang terbaik seperti sekolah berasrama penuh berprestij dan sebagainya.
Sistem pendidikan kita sendiri menyebabkan pelajar menjadi rakus dan ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja untuk anak mereka berjaya, termasuk membeli kertas peperiksaan bocor.
Kertas peperiksaan tidak akan bocor jika tiada “permintaan.” Semua ini mempunyai harga yang perlu dibayar.
Sudah sampai masanya kita melakukan perubahan terhadap sistem pendidikan kita.
Selagi kita terus menekankan peperiksaan semata-mata, isu kebocoran ini tidak akan selesai.
Kita harus ingat, yang menguruskan kertas peperiksaan ini adalah manusia.
Setiap manusia ada harganya.
Tidak kira bagaimana tegas tindakan kerajaan, jika harga yang tepat dibayar, soalan peperiksaan akan pasti terbocor jua. – 21 September, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments