Opinion

Ketika Umno berperang, Pakatan Rakyat ‘karam’

Suka atau tidak, Pakatan Rakyat (PR) yang ditubuhkan selepas tsunami politik 2008 oleh PKR, DAP dan PAS boleh dikatakan sudah berakhir.

PR yang menjadi ancaman besar kepada Barisan Nasional (BN) dan mendapat sokongan 51% undi popular semasa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu mungkin tidak bersama lagi pada pilihan raya umum akan datang.

Ketika itu, gabungan politik yang ada dalam negara ini juga mungkin sudah berbeza.

Hari ini pemimpin PAS dan DAP berbalah secara terbuka hampir setiap hari dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menjadi “pengikat” kepada dua-dua parti itu sudah tidak memainkan peranannya lagi.

Mungkin Anwar sudah putus asa dan bosan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas kemelut menteri besar Selangor tahun lalu.

Sekutu Anwar di dalam PAS tidak boleh melakukan apa-apa dan kerjasama di antara kelompok Hadi dan kumpulan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak dapat dihentikan lagi.

Apabila pada Jumaat lepas Hadi memberi amaran pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mencetuskan tragedi 13 Mei, jelaslah presiden PAS itu sudah mengambil peranan Perkasa dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), dan DAP sudah pasti tidak akan memaafkannya.

Perang Umno

Sebagai seorang bekas pemimpin tertinggi Umno dan menteri Kabinet, Anwar sudah tentu arif dan faham tentang daulah dan kuasa selain dikenali sebagai seorang yang licik berpolitik.

Maka tindakan Anwar membantu Datuk Seri Najib Razak berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya merupakan satu tindakan politik yang sudah dapat dijangkakan.

Apabila media arus perdana seperti TV3 memberi liputan meluas tentang dakwaan rasuah terhadap bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dan kesediaan Anwar membantu siasatan, jelaslah Najib juga mengamalkan konsep “tiada kawan dan musuh yang kekal dalam politik”.

Manakala sekutu rapat Dr Mahathir yang sebelum ini bersama-sama meyerang kepimpinan Najib secara terbuka, Tan Sri Zainuddin Maidin, tiba-tiba mengumumkan “bersara” daripada menulis politik di blognya “Zamkata” minggu ini.

Menulis di blognya, Zainuddin menegaskan beliau bukanlah sekutu Dr Mahathir, Daim dan tidak terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Najib.

Mungkin ada sesuatu yang datang “menggangu” bekas menteri yang mesra dengan panggilan Zam itu.

Sebagai seorang bekas menteri dan bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia, Zainuddin faham apa yang mampu dilakukan Najib sebagai perdana menteri.

Mampukah Najib bertahan?

Usaha menggulingkan Najib dari dalam Umno sedang berlaku dan kabinetnya sudah berpecah.

Muhyiddin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah tidak bersamanya. Ini dapat dilihat dengan jelas semasa bencana banjir yang melanda negara hujung tahun lalu.

Pemergian Sirul Azhar Umar, yang didapati bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, ke Australia bukanlah sesuatu yang tidak disengajakan.

Tanpa bantuan dan dorongan, tidak mungkin Sirul yang terlibat dengan kes sebesar itu dapat meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Keberadaan Sirul di Australia amat menyusahkan Najib apatah lagi Australia mempunyai dasar tidak mengkekstradisi seseorang yang berdepan dengan hukuman mati.

Lebih membimbangkan lagi wartawan Australia dan antarabangsa sedang “memburu” Sirul di negara tersebut bagi mendapatkan “cerita sebenar” pembunuhan Altantuya.

Apakah yang bakal dilakukan Najib? Mampukah rakan-rakan Najib di peringkat antarabangsa seperti Presiden Amerika Syarikat Barack Obama membantu menyelamatkannya? – 25 Januari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments