Beberapa tahun lalu, penulis menemani seorang teman bertemu penyewa rumahnya yang mahu berpindah walaupun baru menetap kurang sebulan di pangsapuri tersebut.
Penyewa berkenaan berasal dari Britain dan pernah menetap di beberapa negara Timur Tengah sebelum berhijrah ke Malaysia untuk mengembangkan perniagaannya.
Apabila ditanya mengapa mahu berpindah sedangkan kontrak penyewaannya selama 2 tahun, beliau berterus terang kerana tidak tahan dengan penggunaan pembesar suara secara melampau dari masjid berdekatan.
“Saya tiada masalah dengan azan. Saya sudah menetap di beberapa negara Arab dan saya faham dengan agama Islam.
“Cuma di Malaysia saya tidak faham, mengapa selepas azan Subuh, ceramah atau kaset dipasang menggunakan pembesar suara menyebabkan saya tidak dapat tidur, terutamanya pada hujung minggu,” katanya kepada kami dengan penuh kesal.
Teman penulis akur dengan aduan penyewanya dan memahami kesukaran dihadapi warga Britain itu dan merelakannya berpindah.
Fatwa Mufti Pulau Pinang
Minggu ini heboh apabila Jabatan Mufti Pulau Pinang berkata akan mewartakan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali azan dan iqamah di negeri tersebut.
Penggunaan pembesar suara dalaman sahaja dibenarkan bagi program dan aktiviti masjid dan surau di Pulau Pinang. Keputusan itu dibuat selepas perbincangan beberapa isu penting, antaranya tiada kompromi bagi laungan azan di masjid dan surau.
Walaupun keputusan tersebut dikeluarkan jabatan mufti, tetapi oleh kerana Pulau Pinang ditadbir DAP, negeri itu menjadi “punching bag” bagi penentangnya.
Seperti biasa, yang disalahkan adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Dan jika tidak dibendung, kumpulan tertentu mungkin akan mengambil kesempatan mengapi-apikan kebencian kaum.
Nasib baik Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin cepat mengeluarkan kenyataan mempertahankan keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang itu.
Katanya, keputusan mufti Pulau Pinang itu selaras dengan ajaran Islam di mana tiada keperluan menguatkan bacaan Al-Quran kecuali azan, malah perkara itu dilarang Nabi Muhammad.
"Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain daripada itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.
"Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi. Apatah lagi dalam Islam, ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak," kata Asri di laman Facebook rasminya.
Maka tidak hairanlah perhimpunan “baju merah” yang dijadualkan diadakan di Pulau Pinang Jumaat lalu gagal.
Keislaman atau 'kesakitan'
Penulis menetap di kawasan di mana majoriti penduduknya merupakan Melayu-Islam.
Maka penggunaan pembesar suara di kawasan seperti ini “lebih maksimum” berbanding kawasan mempunyai penduduk campuran.
Setiap hari bermula 5.00 pagi akan kedengaran aktiviti dari masjid.
Selain daripada masjid, kedengaran juga pembesar suara dari surau berdekatan. Kadangkala masjid dan surau seperti berlawan-lawan menggunakan pembesar suara. Termasuk ketika azan.
Sehinggakan tidak perlu ke masjid jika mahu mendengar ceramah atau kuliah agama. Semuanya jelas kedengaran dari rumah.
Secara peribadinya penulis tidak kisah dengan keadaan ini. Jika inilah yang diperlukan masyarakat untuk menunjukkan “keislaman” mereka, kita raikanlah.
Akan tetapi pada pandangan penulis, gejala seperti ini lebih kepada “kesakitan” dan “ketidakyakinan diri” majoriti orang Melayu di Malaysia terhadap kepercayaan mereka. – 4 Oktober, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments