Opinion

Makin menekan, makin dilawan

Tindakan keras Putrajaya menggantung permit penerbitan akhbar perniagaan berbahasa Inggeris The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily kerana melaporkan tentang syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijawab dengan demonstrasi wartawan dan aktivis di Kuala Lumpur semalam.

Perhimpunan semalam memberikan isyarat kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang baru sahaja melakukan rombakan Kabinet pengamal media tidak akan berdiam diri berdepan dengan tindakan keras seperti penggantungan permit dan penangkapan.

Wartawan tua dan muda bersama-sama aktivis masyarakat berganding bahu berhimpun secara aman untuk menyampaikan mesej kepada pihak berkuasa, organisasi media ditindas tidak akan bersendirian.

Ertinya tindakan keras Putrajaya menekan kebebasan media berjaya menyatukan wartawan dari pelbagai organisasi untuk bersama-sama bangkit mempertahankan profesion mereka.

Tambahan pula, sokongan diberikan aktivis masyarakat dan rakyat Malaysia yang mencintai kebebasan media membangkitkan lagi semangat mereka untuk terus melaksanakan tugas tanpa takut dan gentar.

SPRM jadi wira rakyat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berdepan dengan ujian paling getir pada ketika ini.

Pegawai-pegawai mereka yang terlibat menyiasat dakwaan pemindahan RM2.6 bilion “penderma” ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berdepan pelbagai tindakan seperti disiasat, ditahan polis dan dipindahkan ke jabatan lain.

Akan tetapi mereka disokong rakyat. Selain di media sosial seperti Facebook dan Twitter, ada juga yang datang secara fizikal untuk menyokong mereka.

Seperti sekumpulan anak-anak muda yang akan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini untuk menyatakan solidarity mereka terhadap pihak berkuasa anti rasuah itu.

Selain itu krisis melahirkan kepimpinan. Selepas dua pegawai penyiasat yang tegas menjalankan tugas dipindahkan secara tiba-tiba ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Jumaat, suara-suara membela lantang kedengaran.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada hari sama meminta Putrajaya mengembalikan semula dua pegawai tingginya yang menerima arahan pemindahan ke JPM berkuatkuasa serta merta.

Sebagai balasan, beliau menawarkan dirinya, mengatakan kedua mereka itu – Pengarah Bahagian Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik Datuk Rohaizad Yaakob – hanya bertindak mengikut arahannya.

Khairy Jamaluddin menjadi menteri Kabinet pertama bersuara menentang tindakan memindahkan kedua-dua pengarah SPRM itu hanya kerana mereka menjalankan tugas.

Akibat daripada kenyataannya, Khairy diselar blog pro Umno yang turut menggelarnya sebagai “menteri bingai”.

Bagaimanapun ketika ditemui pemberita malam tadi ketua Pemuda Umno itu berkata beliau tidak takut menerima nasib sama seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal yang digugurkan daripada Kabinet kerana menyatakan pandangannya.

Pemberontakan Umno

Sementara Muhyiddin dan Shafie terus menggunakan platform Umno bahagian untuk menjelaskan mengapa mereka berbeza pendapat dengan Najib dalam isu 1MDB sehingga tersingkir dari Kabinet.

"Yang ini jadi masalah bila kita jadi pemimpin, kadang-kadang kita dikelilingi penyokong kita yang beritahu, 'its ok sir, things are so good', 'don't worry sir, everything is ok sir, yes sir'.

"Kita tidak nampak apa-apa tapi rasa bangga diri. Ini yang saya kata kepada perdana menteri, salahkah saya?" soal Muhyiddin semalam merujuk kepada tindakan Najib menggugurkan dirinya daripada Kabinet baru-baru ini kerana lantang mengkritik 1MDB.

Shafie pula mendedahkan semalam Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak pernah diberitahu tentang “derma” RM2.6 bilion diterimanya seperti didedahkan pertama kali oleh akhbar perniagaan antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ).

Ini memberikan isyarat Najib mungkin selamat di dalam Kabinet akan tetapi “dicubit-cubit” dari dalam Umno. Maka benarlah ramalan Najib boleh terus “dikerjakan” dari dalam Umno.

Kerana 1MDB, ramai yang sudah menjadi mangsa, daripada pengamal media, pegawai kerajaan dan juga menteri. Persoalannya sekarang, berapa ramai lagi yang mahu “dikorbankan” Najib hanya kerana 1MDB?

Bagaimana pula jika mangsa-mangsa yang “ditekan” Najib kerana 1MDB bersatu sebagai satu kumpulan? – 9 Ogos, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments