Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun sudah berusia masih lagi kuat kerana semangat perlawanannya yang tinggi. Sejak awal penglibatannya dalam politik, bekas perdana menteri itu tidak pernah sunyi daripada krisis dan kontroversi.
Lebih 10 tahun selepas bersara daripada politik, suaranya masih lagi berpengaruh dan didengari, mungkin kerana beliau terlalu lama memerintah satu ketika dahulu, mungkin juga kerana pendiriannya yang konsisten dalam pelbagai isu.
Dr Mahathir tidak perlu menunggu mimpi sebelum membuat keputusan. Keputusannya jelas, disokong dengan fakta dan boleh menghujahkannya kembali untuk memberikan penjelasan.
Walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan pandangan atau tindakan politiknya, tetapi kita harus akui beliau konsisten dengan pandangan dan kepercayaannya dan tidak akan berhenti daripada terus melawan musuhnya.
Musuh nombor satu beliau adalah bekas anak didiknya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selagi Anwar bebas bergerak ke sana sini, Dr Mahathir tidak akan senang duduk.
Anwar merupakan satu-satunya lawan Dr Mahathir yang masih belum terkubur selepas dipecat dari Kabinet dan Umno pada tahun 1998.
Sehingga hari ini Dr Mahathir masih melawan Anwar, walaupun tidak secara langsung.
Menumbangkan Tunku dan Abdullah
Sebelum ini lawan Dr Mahathir juga bukan calang-calang orang. Pada awal penglibatan politiknya dan sebelum berkuasa, perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman tersungkur kerananya.
Gerakan pemimpin muda seperti Dr Mahathir dan Tun Musa Hitam berjaya memaksa bapa kemerdekaan negara itu memberikan laluan kepada Tun Abdul Razak untuk mengambil alih kepimpinan negara.
Selepas meletakkan jawatan, tanpa menguasai media dan kerajaan Dr Mahathir berjaya menumbangkan seorang lagi perdana menteri dan presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pada ketika itu, Dr Mahathir dibantu oleh penulis-penulis blog yang menyebabkan Abdullah mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 walaupun Barisan Nasional (BN) masih lagi berkuasa.
Setahun selepas BN kehilangan majoriti dua pertiga dan 5 negeri ke tangan Pakatan Rakyat (PR) yang dipimpin Anwar, Abdullah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri.
Sokongan terhadap Najib ditarik balik
Menulis di blognya www.chedet.cc, Dr Mahathir mengumumkan beliau menarik kembali sokongannya terhadap Najib untuk menyedarkan perdana menteri di atas kelemahan polisi dan pentadbirannya.
Dr Mahathir mengatakan beliau tidak menyangka prestasi Najib lebih buruk dalam PRU13 berbanding Abdullah pada 2008.
Pemimpin Umno dalam menjawab kritikan Dr Mahathir terhadap Najib mengambil sikap berhati-hati.
Walaupun mempertahankan Najib, kebanyakan daripada mereka mengatakan menghormati pandangan bekas perdana menteri dan presiden Umno itu.
Terbaru Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan semalam yang mahu Dr Mahathir tidak lagi mengkritik pentadbiran Najib secara terbuka kerana dikatakan akan memberikan peluru kepada pembangkang.
Ahmad Maslan, sama seperti Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya masih lagi tidak menjawab kritikan Dr Mahathir terhadap pentadbiran Najib.
Mereka hanya mengelak seperti Hishammuddin yang menjadikan contoh krisis Penerbangan Malaysia Airlines MH17 sebagai contoh kejayaan pentadbiran Najib.
Zahid pula mahu Dr Mahathir turut menghormati Najib kerana beliau kini memimpin pada zaman yang berbeza.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum menyatakan pendiriannya.
Dikhabarkan timbalan presiden Umno itu tidak akan mengadakan sidang akhbar dalam jangka masa terdekat untuk mengelak ditanya pemberita berhubung kritikan Dr Mahathir.
Media arus perdana “boikot” Dr Mahathir
Kritikan Dr Mahathir kali ini juga tidak “dilayan” media-media arus perdana. Hanya portal-portal atas talian dan media sosial yang menyambutnya.
Akhbar penyokong kuat Dr Mahathir Utusan Malaysia juga mengambil pendirian mempertahankan Najib.
“Kini Najib menerajui negara dalam landskap politik yang jauh lebih mencabar berbanding era-era sebelum ini.
“Maka beliau perlu disokong atas banyak faktor. Antaranya prestasi pentadbiran beliau setakat ini tidak mengecewakan termasuk mengurus krisis seperti MH17,” tulis Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini mengulas kritikan Dr Mahathir terhadap Najib.
Nampaknya Dr Mahathir mungkin terpaksa menarik balik cadangannya agar kerajaan menyekat Internet. Jika tidak suaranya juga tidak didengari.
Masalah utama Dr Mahathir kali ini adalah masih belum ada pemimpin kanan Umno bersamanya untuk menurunkan Najib. Apakah situasi ini akan terus kekal? – 24 Ogos, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments