Opinion

Manusia dan kebebasan membuat pilihan

Sebagai manusia, setiap hari kita membuat pilihan dalam hidup. Kita membuat pilihan tentang pakaian, makanan, minuman dan macam-macam lagi.

Daripada hal kecil sehinggalah yang besar, kita dituntut untuk membuat pilihan.

Sudah tentu pilihan yang kita lakukan akan memberikan kesan dalam kehidupan.

Contohnya, jika kita memilih untuk menggunakan banyak gula dalam kehidupan seharian, kita berdepan dengan risiko menghidapi penyakit kencing manis.

Jika kita memilih untuk menjadi perokok, bersedialah untuk berdepan dengan penyakit-penyakitnya apabila masa tiba.

Sebagai murid sekolah, kita bebas memilih untuk belajar bersungguh-sungguh atau dengan sambil lewa.

Jika rajin belajar akan lulus cemerlang sehingga menara gading, jika tidak minat belajar, banyak lagi bidang untuk diterokai seperti sektor kemahiran.

Dalam kehidupan spiritual juga manusia diberikan kebebasan untuk memilih. Manusia bebas memilih untuk percaya Tuhan atau tidak.

Manusia bebas memilih agama yang mereka percayai. Manusia bebas memilih untuk mengikut jalan syurga atau neraka.

Tiada siapa yang boleh menghalang manusia dalam kehidupan spiritual mereka kerana semuanya berlaku secara “dalaman” dan bukannya "luaran".

Negara atau undang-undang hanya boleh mengawal "luaran" tetapi tidak "dalaman".

Boleh saja Tuhan atau pencipta menjadikan semua manusia tunduk dan sujud setiap waktu.

Tetapi Tuhan atau pencipta memberikan “hak demokratik” kepada manusia untuk membuat pilihan dalam hidupnya.

Maka kita terfikir mengapa hari ini ramai manusia bertindak lebih daripada Tuhan dan menghalang manusia lain untuk melaksanakan hak demokratik mereka?

Kesilapan membuat pilihan

Apabila hidup secara bermasyarakat, manusia perlu membuat pilihan secara kolektif bagi menyelesaikan sesuatu masalah bersama.

Pilihan dilakukan sudah tentu yang dipercayai akan memberikan keuntungan kepada semua.

Dan apabila majoriti sudah bersetuju dengan sesuatu pilihan itu, mereka juga perlu bersedia menanggung kesan daripada pilihan yang mereka lakukan.

Bagaimanapun, manusia tidak selalunya diberikan kesempatan untuk membuat pilihan dengan baik oleh manusia sendiri dan bukannya Tuhan atau pencipta.

Contohnya dalam pilihan raya yang media tidak begitu bebas, rakyat tidak dapat membuat pilihan tepat kerana kurangnya maklumat seimbang.

Jika kita lihat sejarah kemerdekaan negara dulu, walaupun penjajah Inggeris memberikan peluang kepada rakyat Malaya untuk memilih dalam pilihan raya, ia dilakukan selepas golongan kiri “dikerjakan” secara habis-habisan.

Begitu juga dengan sistem pilihan raya di negara ini. Memang Malaysia mempunyai pilihan raya dan ia sudah dilaksanakan sebanyak 13 kali sejak negara merdeka.

Persoalannya apakah sistem pilihan raya di Malaysia benar-benar memberikan peluang kepada semua rakyat untuk membuat pilihan dengan baik?

Apakah rakyat diberikan peluang untuk mengenali semua parti politik dan calon yang bertanding dalam pilihan raya?

Apakah media arus perdana yang mempunyai akses ke kawasan pedalaman memberikan ruang kepada semua parti politik untuk menerangkan visi dan misi mereka?

Di kawasan luar bandar seperti di Rompin, Pahang di mana kebanyakan orang hanya mempunyai akses kepada akhbar arus perdana, radio dan televisyen, apakah adil kepada mereka ketika mempunyai keputusan dalam pilihan raya?

Di Rompin, bukan semua tempat kita mempunyai akses “data” untuk telefon pintar, apa lagi selepas meninggalkan pekan.

Maka tidak hairanlah mengapa di Malaysia hanya diperintah satu gabungan politik sejak negara mula merdeka sehingga hari ini.

Tetapi kita masih lagi mempunyai pilihan sama ada untuk terus mengekalkan sistem pilihan raya sama atau melakukan sesuatu tentangnya.

Dan pilihan yang kita lakukan ini akan memberikan kesan kepada negara dan kehidupan anak cucu kita dalam satu jangka masa panjang.

Terpulanglah kerana kita mempunyai hak untuk membuat pilihan. – 27 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments