Barisan Nasional (BN) hampir pasti mempertahankan kerusi Parlimen Rompin walaupun cukai barangan dan perkhidmatan (GST) memberikan kesan besar terhadap kehidupan orang ramai terutamanya rakyat bawahan.
Begitu juga di Permatang Pauh, Pakatan Rakyat (PR) hampir pasti mengekalkan kerusi tersebut walaupun apa sahaja isu dimainkan seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail calon "boneka" dan sebagainya kerana ianya merupakan kawasan tradisi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di Rompin, oleh kerana ianya merupakan kawasan tradisi arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang merupakan orang kanan kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, PR juga tidak kelihatan bersungguh-sungguh kerana tidak yakin mampu merampas kerusi tersebut daripada BN.
Teman-teman wartawan memberitahu, agak sukar untuk mendapatkan jadual program calon PAS yang bertanding di Rompin dan beliau seolah-olah bertanding "main-main" sahaja.
Yang menjadi persoalan ialah bagaimana keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh memberi kesan terhadap pentadbiran Najib yang kini diserang hebat bukan sahaja daripada PR akan tetapi termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengekalan harga petrol RON95, RON97 dan diesel dilihat dipengaruhi oleh PRK Rompin dan Permatang Pauh.
Jika harga bahan bakar dinaikkan, sudah pasti ianya akan memberikan kesan kepada undi BN baik di Rompin mahupun di Permatang Pauh.
Jadi rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada Rompin dan Permatang Pauh kerana PRK di kedua kawasan Parlimen tersebut tetap memberikan kesan kepada kehidupan seharian mereka walaupun keputusannya sudah hampir pasti diketahui.
Apakah Melayu tak terjejas dengan GST?
Disebabkan GST, kebanyakan harga barangan keperluan naik. Akan tetapi mengapa orang-orang Melayu di kawasan pendalaman seperti Rompin tetap kuat bersama Umno dan BN?
Apakah sentimen politik semata-mata mampu mengekalkan sokongan Melayu dan tidak akan menjejaskan langsung undi BN di kubu kuat mereka?
Bayangkanlah, kedai bundle di Rompin yang tidak kelihatan seperti termasuk dalam kategori layak GST tetap mengenakan GST sebanyak 6% terhadap barangan mereka.
Belum dikira barangan harian lain seperti lampin pakai buang, susu, sabun, ubat gigi dan sebagainya.
Semuanya naik akibat GST. Tapi mengapa orang Melayu yang kebanyakannya miskin masih tidak marah?
Menurut bekas naib presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, orang Melayu luar bandar seperti di Rompin lebih berminat kepada ganjaran jangka pendek seperti imbuhan yang diberikan semasa kempen PRK.
Sudah pasti BN yang mentadbir Putrajaya dan negeri Pahang mampu memberikan ganjaran jangka pendek seperti bantuan kilat dan sebagainya.
Muhammad yang pernah menjadi ketua penerangan Umno dan mengetuai banyak PRK bagi BN juga berkata, kebanyakan orang Melayu luar bandar tidak terdedah kepada maklumat mencukupi berbanding di bandar dan separuh bandar.
"Kawasan luar bandar lebih luas. Unifi, WiFi dan di sesetangah kawasan, line handphone pun tak ada.
"Jadi kawasan seperti Rompin memberikan kelebihan kepada BN," kata Muhammad kepada penulis apabila dihubungi.
Bagaimanapun keputusan PRK Rompin dan Permatang Pauh bukanlah gambaran kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 kerana pada ketika itu keadaannya pasti berbeza.
Pada waktu ini, kesan GST masih belum begitu terasa kerana baru sebulan dilaksanakan.
Apabila lebih banyak urusan kehidupan dilakukan, makin perit kehidupan dirasakan akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Tambahan lagi jika Putrajaya gagal membuktikan hasil kutipan cukai yang lebih menyeluruh mampu memberikan kehidupan lebih baik kepada orang ramai. – 3 Mei, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments