“Siapa agaknya yang membenarkan kebodohan, tidur terlentang dalam kehidupan, menjerit-jerit tentang kematian, pekik lolongnya kosong…”
Begitulah petikan lirik lagu ditulis Abdullah Jones dalam album Meor Yusof Aziddin yang bertajuk “Dari Rakyat Untuk Rakyat”.
Lagu ini amat sesuai dengan keadaan Malaysia dewasa ini.
Semakin hari “kebodohan” berleluasa di depan mata kita dan seolah-olah ianya “dihalalkan” begitu sahaja.
Tidak dapat dinafikan “ramai” yang cuba menidakkan “kebodohan” itu akan tetapi ianya tidak begitu kuat kerana “suaranya” tidak digabungkan.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa rakyat agar tidak menyalahkan kerajaan semata-mata di atas kemerosotan nilai ringgit.
Ringgit merupakan matawang Asia paling lemah sejak beberapa bulan lalu, paling rendah sejak 17 tahun dan sudah pun mencecah melebihi RM4 berbanding AS$1.
Sudah pasti ianya memberikan kesan besar kepada rakyat Malaysia yang semakin hari “ditekan” dengan pelbagai kenaikan kos kehidupan sedangkan tahap gaji masih sama.
“Apa-apa pun yang berlaku, termasuklah kejatuhan mata wang, faktor-faktor besarnya berada di luar kawalan kita.
“Kita tak boleh salahkan kerajaan kerana lebih daripada 120 negara di dunia ini, nilai mata wang mereka juga jatuh.
“Ada yang lebih ketara kejatuhan nilai mata wang mereka,” kata Najib yang juga menteri kewangan ketika berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-36 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Kuala Lumpur, malam tadi.
Memang benar kejatuhan matawang berlaku di mana-mana. Baht Thailand jatuh, begitu juga dengan Rupiah Indonesia.
Tetapi kita jangan lupa, nilai ringgit pada hari ini lebih rendah berbanding Baht. Mengapa ini berlaku?
Nilai ringgit tidak akan menjadi lebih lemah berbanding Baht jika kepimpinan Najib diyakini rakyat dan masyarakat antarabangsa.
Dengan pelbagai skandal seperti syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib, tidak akan ada sesiapa yang waras akan yakin kepada kepimpinannya.
Anwar bela Dr Mahathir
Seperti dikatakan bekas setiausaha agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid baru-baru ini, satu-satunya kebaikan 1MDB ialah kesemua penentang-penentang Najib berjaya disatukan.
Semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan "negarawan" apabila membela bekas musuh nombor satunya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini disiasat polis kerana lantang mengkritik Najib dan 1MDB.
"Saya amat bimbang dengan berita yang bekas perdana menteri Malaysia Dr Mahathir menjadi subjek penyiasatan polis dalam kes fitnah jenayah dan disoal pihak polis pada 6 November.
"Beliau tidak melakukan sebarang jenayah apabila bertanya soalan dan menyuarakan kritikan terhadap perdana menteri mengenai krisis 1MDB," kata Anwar dalam satu kenyataan dari penjara.
Kenyataan Anwar ini dianggap sebagai “negarawan” kerana Dr Mahathir orang yang memecatnya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 1998 sekaligus melenyapkan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri.
Jika Anwar mampu mengenepikan “dendam peribadinya” dan bersama-sama Dr Mahathir menentang Najib, ini alamat tidak baik kepada perdana menteri.
Mungkin ini yang tidak pernah difikirkan penasihat-penasihat Najib termasuklah tindakan Dr Mahathir turun menyokong perhimpunan Bersih 4 tidak lama dahulu.
Dalam keadaan Najib tidak mungkin akan dapat dijatuhkan dari dalam Umno dan proses undi tidak percaya di Parlimen, penentang-penentangnya perlu bersatu dan memikirkan cara “di luar kotak”.
Jika tidak ianya akan mudah dihancurkan dan Najib akan terus berkuasa hingga akhirnya... – 8 November, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments