Opinion

Menjelang hari Malaysia, Putrajaya ulangi keganasan penjajah British

Perayaan Hari Malaysia ke-51 tahun ini disambut dengan pendakwaan mengikut Akta Hasutan 1948 secara besar-besaran terhadap ahli politik pembangkang, pensyarah, wartawan, pendakwah Islam, aktivis dan terbaru, seorang peguam.

Berdolak-dalik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini berjanji secara terbuka untuk memansuhkan akta berkenaan menjawab mengenai siri pendakwaan terbaru menggunakan akta warisan penjajah British itu.

Kepada yang masih belum tahu atau tidak perasan, Akta Hasutan yang digunapakai di Malaysia pada hari ini diperkenalkan penjajah British pada 1948 untuk memerangi pejuang kemerdekaan tanah air.

British memperkenalkan akta ini pada ketika itu untuk tujuan menghalang perbincangan yang dianggap sebagai “menghasut”. Pada 1948, membincangkan kemerdekaan Malaya dianggap sebagai hasutan.

Sesiapa sahaja yang menulis, berceramah atau menyampaikan idea-idea tentang kemerdekaan dianggap sebagai penghasut dan boleh didakwa mengikut Akta Hasutan.

Lima puluh tujuh tahun selepas Malaya merdeka dan 51 tahun selepas Malaysia ditubuhkan, akta yang sama digunapakai secara besar-besaran.

Kali ini, perbincangan yang dianggap menghasut adalah tentang kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pentadbiran Najib.

Sesiapa sahaja yang membincangkan kelemahan BN dan pentadbiran Najib akan didakwa mengikut akta ini.

Maka tidak hairanlah mengapa ramai ahli politik pembangkang Malaysia didakwa mengikut akta ini kerana sudah tentulah tugas seseorang ahli politik pembangkang akan mengkritik kelemahan kerajaan!

Apabila Dr Azmi Sharom dari Universiti Malaya (UM) turut didakwa mengikut akta ini, kita akhirnya memahami mengapa ranking universiti Malaysia terus berada pada kedudukan yang tercorot di peringkat dunia, mahupun Asia.

Pensyarah yang seharusnya bertugas menyampaikan ilmu dan memberikan komen terhadap situasi semasa turut menjadi mangsa jika pendiriannya berbeza dengan kerajaan.

Jadi tidak perlulah Putrajaya membelanjakan berbilion ringgit untuk “mencantikkan” imej Malaysia di mata dunia.

Jika tiada kebebasan akademik, belanjalah berapa banyak duit sekalipun, ranking Malaysia tidak akan naik.

Selepas wartawan sebuah portal berita turut didakwa, sisi buruk pentadbiran Najib semakin terserlah. Reformasi atau perubahan yang dicanangkan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) merupakan penipuan semata-mata.

Tidak mengejutkan walaupun Najib turut mewarisi tindakan “kuku besi” perdana menteri sebelumnya, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama tetap mengatakan beliau seorang reformis.

Lihatlah pemerintah-pemerintah negara mana yang disokong AS, semuanya “syaitan-syaitan” besar belaka.

Untuk menghentikan kegilaan penggunaan akta warisan penjajah British ini, hanya ada satu jalan.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan Najib pada hari-hari awal beliau menjadi perdana menteri terpaksa dilakukan selepas perlawanan panjang rakyat Malaysia.

Pemansuhan ISA tidak diberikan dengan percuma. ISA dimansuhkan selepas beribu-ribu rakyat Malaysia menjadi mangsa.

ISA dimansuhkan selepas kempen dilakukan secara agresif dari dalam dan luar negara.

Begitu juga dengan Akta Hasutan. Ia tidak akan dimansuhkan secara percuma.

Perlawanan yang kuat akan mempercepatkan pemansuhannya dan perlawanan lemah akan memperlahankan kemusnahannya.

Pada ketika ini, pentadbiran Najib tidak lagi menggunakan “otak” untuk menjawab segala kritikan dan sebab itulah mereka kini menggunakan “otot” atau kuasa terhadap pengkritiknya.

Selagi ada Akta Hasutan 1948, ramai lagi yang akan didakwa dan tidak mustahil akan mencecah angka ribuan.

Terpulang kepada rakyat Malaysia untuk memperlahankan atau mempercepatkan pemansuhannya.

Keputusan di tangan kita. – 14 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments