Opinion

Merayakan ‘kebodohan’ dalam demokrasi

Isu-isu yang diperdebatkan dalam negara kita akhir-akhir ini lebih banyak tertumpu kepada isu agama dan kaum yang sebenarnya tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana jika berterusan.

Ketika negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia, Vietnam dan Myanmar sedang berkembang maju dari segi ekonomi dan sosial, Malaysia berundur ke belakang memperdebatkan isu agama dan kaum yang tidak akan pernah selesai.

Tetapi inilah keindahan demokrasi. Semakin luas ruang demokrasi itu dibuka, semakin banyak juga pandangan yang bodoh dan tidak masuk akal akan kedengaran.

Di Malaysia, walaupun kita masih belum mempunyai media bebas, Internet merupakan ruang demokrasi yang terbuka itu.

Media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube meluaskan lagi ruang demokrasi itu.

Kalau sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pengguna Internet tertumpu kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) pimpinan Datuk Ibrahim Ali dengan kenyataan kontroversinya, kini kita mempunyai Abdullah Zaik Abdul Rahman daripada Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Nama Abdullah Zaik meningkat naik dengan kenyataan-kenyataannya tentang orang Cina dan hukum hudud sehinggakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tidak tahan dengannya.

Menurut Dr Mahathir, kenyataan yang dikeluarkan Isma tidak membantu mengekalkan keamanan negara.

Isma pula sebagai reaksi kepada Dr Mahathir mengatakan mereka “tidak kisah” dengan teguran bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu.

Mengapa pula pemimpin tertinggi negara seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya mendiamkan diri ketika orang seperti Abdullah Zaik mengeluarkan kenyataan yang merosakkan keharmonian negara?

Menurut ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dari DAP, Isma mempunyai “tuan-tuan politik” yang menggunakan mereka untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu lebih mendesak seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ada juga logiknya kenyataan Lim, kerana Abdullah Zaik berjaya mengalihkan perhatian orang ramai selepas mengatakan kaum Cina “pendatang dan penceroboh” seminggu selepas lebih 20,000 rakyat berhimpun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur untuk membantah GST.

Najib yang digelar sebagai “reformis” oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) semasa lawatannya ke Malaysia baru-baru ini, terus menerus tidak memainkan peranannya sebagai seorang perdana menteri.

Sebaliknya, Dr Mahathir yang sudah tidak berkuasa terpaksa bersuara apabila keharmonian negara tergugat.

Apakah kerana gagal mendapat majoriti besar dalam PRU13 lalu menyebabkan Najib terus menerus berada dalam “kemurungan”?

Jika itu kisahnya, lebih baik Umno lakukan sesuatu.

Najib perlu digantikan dengan orang yang mahu memainkan peranan sebagai seorang perdana menteri kepada rakyat berbilang kaum dan agama.

Jika tidak, Barisan Nasional (BN) akan kehilangan lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Malaysia tidak memerlukan seseorang yang hanya menjadi perdana menteri ketika Obama berada di Malaysia dan melepaskan tanggungjawabnya selepas presiden kuasa besar dunia itu pulang.

Sebaliknya perdana menteri perlu terus memastikan keharmonian dan keamanan negara ini terjaga.

Jika tidak, hanya kerana kenyataan segelintir pihak yang kita rayakan dalam "ruang demokrasi" ini, Malaysia akan musnah. – 11 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments