Opinion

MH17 dan ‘Kiki CDM 25’

Tiada yang lebih menyedihkan bagi negara daripada berita tentang penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 - dikatakan ditembak jatuh di Ukraine pada Khamis.

Apa lagi apabila peristiwa malang itu berlaku pada ketika umat Islam menjalani ibadah Ramadan dan akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Siapa yang dapat menyangka pesawat Malaysia yang membawa 298 penumpang dan anak kapal “dilibatkan” dalam konflik kuasa-kuasa besar dunia.

Pada ketika ini seharusnya, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang politik dan kepercayaan bersatu sebagai rakyat satu negara dalam berdepan dengan tragedi malang menimpa MH17.

Tetapi pada masa sama masih ada sesetengah pihak jahil cuba mengambil kesempatan politik dengan menyalahkan syarikat penerbangan negara dan pihak berkuasa di atas apa yang berlaku.

Kita harus ingat, laluan penerbangan MH17 disahkan selamat di atas 10,000 meter dan pesawat MAS itu tidak terbang di ruang udara yang terlarang sepertimana penilaian awal Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Mencari kesalahan memang mudah berbanding memberi bantuan bagi meringankan beban pihak berkuasa, syarikat penerbangan dan ahli keluarga mangsa.

Siapa pun yang memerintah negara ini sudah tentu tidak menyangka MH17 akan ditembak apabila melalui kawasan udara Ukraine sepertimana tidak menyangka MH370 hilang pada 8 Mac lalu.

Sudah tentu menteri pengangkutan baru seperti Datuk Seri Liow Tiong Lai akan “terkujat” menjawab soalan daripada ratusan wartawan seluruh dunia seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika berdepan dengan krisis kehilangan MH370.

Rabu depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan sidang Parlimen tergempar mengenai tragedi malang MH17 dan inilah peluang bagi ahli politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) menunjukkan mereka mampu bersatu dalam isu melibatkan negara.

Takziah kepada keluarga penumpang dan anak kapal terlibat, semoga solidariti yang diberikan rakyat Malaysia dan rakyat dunia dapat mengubati kesedihan dialami.

Keganasan Kiki

Jika insiden malang tidak menimpa MH17, sudah tentu negara masih membincangkan tentang keganasan seorang wanita bernama Siti Fairrah Ashykin @ Kiki yang memandu kereta Peugeot dengan nombor pendaftaran CDM 25 terhadap seorang pemandu tua apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kuantan, Pahang.

Rakaman video keganasan wanita Melayu yang menggunakan pengunci stereng itu tersebar luas sehingga menerima kutukan luas dan dijadikan bahan lawak pengguna media sosial negara.

Sebagai negara yang mempunyai majoriti penduduk Melayu beragama  Islam kita seharusnya membincangkan bagaimana Kiki boleh bertindak sedemikian pada ketika kebanyakan sistem pendidikan negara dan rancangan televisyen berunsur keislaman dan sering membincangkan mengenai kehidupan selepas mati.

Mengapa wanita bertudung seperti Kiki ganas dan bersikap perkauman dan menghina lelaki tua itu semata-mata kerana beliau berketurunan Cina?

Apakah ini yang diajarkan sistem pendidikan negara? Apakah tindakan Kiki “halal” semata-mata kerana beliau berpuasa?

Sebaliknya Sim Siak Heong - seorang Cina, beragama Katolik, pesara kerajaan yang terlanggar kereta Kiki berjaya “memukau” pengguna media sosial kerana kesabaran dan ketenangannya serta berjiwa besar dengan memaafkan wanita itu selepas diganasi.

Tetapi malangnya, stesen radio dan televisyen memberikan publisiti kepada Kiki dan mengangkatnya sebagai “selebriti” walaupun tindakan wanita itu cukup memalukan.

Apakah yang cuba dibuktikan? Apakah stesen radio dan televisyen kita mahu rakyat Malaysia mencontohi tindakan ganas Kiki itu apabila berdepan dengan kemalangan jalan raya?

Jika dilihat komen di laman Facebook Era FM ramai yang kecewa dengan tindakan stesen radio itu menjemput pembuli jalan raya seperti Kiki.

Seharusnya Uncle Sim yang dipanggil untuk menceritakan pengalaman negeri dilaluinya dan bagaimana beliau begitu berbesar hati memaafkan wanita Melayu-Islam kurang ajar itu.

Semoga lebih ramai rakyat Malaysia mencontohi kebaikan Uncle Sim berbanding keganasan Kiki. – 20 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments