Masih belum terlambat untuk mengucapkan tahniah atas keberanian mahasiswa Universiti Malaya (UM) merempuh pintu pagar universiti yang dikunci pentadbir untuk menghalang program dianjurkan Isnin lalu.
Itu sahaja cara untuk “mengajar” pihak pentadbir universiti yang melayan mahasiswa seperti kanak-kanak sekolah rendah belum "akil baligh".
Jika pemimpin kerajaan dibenarkan bercakap di universiti, tidak salah sekiranya mahasiswa mahu menjemput pemimpin pembangkang untuk melakukan perkara sama.
Di negara-negara jiran kita seperti Indonesia, Thailand dan Filipina, kehadiran pemimpin pembangkang ke universiti bukanlah satu masalah besar seperti di Malaysia.
Di United Kingdom, tempat “kegilaan” menteri-menteri Malaysia menghantar anak mereka untuk melanjutkan pelajaran sama juga keadaannya.
Tidak ada halangan untuk mahasiswa menganjurkan program-program melibatkan pemimpin pembangkang. Cuma di Malaysia ianya dianggap satu jenayah besar dan perlu dihalang.
Mungkin juga inilah sebab mengapa menteri-menteri Malaysia tidak percaya dengan universiti tempatan dan menghantar anak mereka belajar di luar negara.
Di Malaysia juga, parti memerintah negara menganggap universiti hanya seperti “kilang” untuk melahirkan graduan-graduan bagi memenuhi sektor pekerjaan.
Marah dengan kejayaan mahasiswa “mengambil alih” universiti untuk meneruskan program bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, UM bakal mendakwa Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dengan sembilan pertuduhan pada 7 November ini.
Selain itu, lapan rakan-rakannya yang terlibat menganjurkan program tersebut akan turut didakwa di hadapan Lembaga Disiplin universiti pada hari sama.
UM yang ditertawakan orang ramai kerana sikap “keanak-anakan” pentadbir universiti Isnin lalu dalam berdepan dengan kedatangan ketua pembangkang nampaknya masih belum belajar daripada kesilapan, malahan bertindak dengan “kuku besi.”
Program solidariti untuk menyokong sembilan pemimpin mahasiswa yang bakal didakwa ini perlu diadakan di UM pada 7 November untuk menunjukkan mereka tidak bersendirian.
Pihak pentadibiran UM perlu disedarkan, mereka bukannya mentadbir pusat asuhan kanak-kanak, tadika atau sekolah rendah, yang mereka tadbir adalah universiti.
Mengimbas kembali Isnin lalu sebelum mahasiswa berjaya merempuh pagar untuk meneruskan program mereka, sejak awal pagi pihak keselamatan UM sudah menyaring kenderaan yang keluar masuk ke universiti berkenaan.
Ini menyebabkan kesesakan di pintu-pintu masuk UM baik di sebelah Kuala Lumpur atau Petaling Jaya.
Tidak cukup dengan itu, melalui emel yang diedarkan kepada semua kakitangan, UM mengarahkan semua kakitangan dan mahasiswa pulang bermula pukul 4 petang kerana “gangguan elektrik” akibat hujan lebat di ibu kota akhir-akhir ini.
Ini menyebabkan banyak kelas di sebelah petang terpaksa dibatalkan hanya kerana UM begitu takut dengan kedatangan Anwar yang juga bekas mahasiswa universiti itu.
Jika ahli Parlimen Permatang Pauh itu masih lagi seorang menteri atau timbalan perdana menteri, “penjilat-penjilat” ini juga yang akan berada di barisan hadapan untuk mencium tangannya.
Ketegasan mahasiswa UM untuk meneruskan program bersama Anwar bukanlah kerana mereka ahli PKR, Pakatan Rakyat (PR) atau penyokong ketua pembangkang itu.
Mereka hanya mahu menghidupkan kembali budaya aktivisme mahasiswa berdasarkan kepercayaan yang mereka juga boleh mempengaruhi perbahasan mengenai isu-isu semasa.
Penulis percaya suatu hari nanti jika Datuk Seri Najib Razak menjadi ketua pembangkang dan dihalang masuk ke UM oleh pentadbir universiti, mahasiswa akan melakukan perkara sama. – 2 November, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments