Selepas lama ditunggu-tunggu kehadirannya, akhirnya Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Hussein Obama tiba di Malaysia semalam.
Buat pertama kali selepas 48 tahun, presiden AS datang ke Malaysia selepas Lyndon Johnson datang ke negara pada tahun 1966 semasa era perang dingin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tersenyum lebar menyaksikan kejayaannya membawa Obama ke Malaysia, sebuah negara yang terlalu “kecil” jika dibandingkan dengan negara-negara lain dalam peta dunia.
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula kecewa kerana Obama tidak akan bertemunya dengannya.
Tetapi itulah realiti hubungan antara kerajaan.
Negara besar seperti AS tidak akan membuang masa untuk menyokong pembangkang di Malaysia jika kerajaan pimpinan Najib boleh memberikan apa sahaja yang mereka mahukan.
Namun, untuk menjaga hati Anwar, beliau diberi ruang bertemu Penasihat Keselamatan AS, Susan Rice.
Takut-takut Anwar mengalihkan kiblatnya ke China selepas sekian lama menjadi sekutu AS.
Ramai bertanya, mengapa Obama sanggup singgah di negara sekecil Malaysia yang tidak begitu kuat suaranya dalam arena politik antarabangsa?
Pengkritik mengatakan ia kerana beliau mahukan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ditandatangani Malaysia.
Mungkin ini salah satu faktornya, tetapi jangan kita lupa lebih besar daripada itu, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai jalan masuk kepada Laut China Selatan, salah satu laluan penting perdagangan dunia.
Tujuh negara yang terlibat dalam pertikaian teritorial di Laut China Selatan termasuk China, Taiwan, Filipina, Vietnam, Indonesia, Brunei dan Malaysia sendiri.
Campurtangan AS dalam pertikaian ini akan mengurangkan pengaruh China yang selama ini menjadi negara paling ‘kuat’ dalam isu ini.
Tiga hari sebelum kehadiran Obama, lima lelaki, dua bersenjatakan pistol seorang lagi parang, menyamun sebuah kapal Jepun dengan memindahkan dua juta liter minyak diesel ke dalam dua kapal tanker berhampiran Pulau Ketam di Pelabuhan Klang.
Tiga kru kapal itu turut diculik.
Kapal bermuatan lima juta liter itu dalam perjalanan ke Myanmar dan berlepas dari Singapura pada 21 April.
Polis mengatakan lima lelaki terbabit mengikat 18 kru, termasuk kapten kapal sebelum memindahkan diesel itu.
Kejadian seperti ini sudah pasti akan menghalalkan kehadiran AS untuk bertapak di negara ini dengan alasan mahu membantu keselamatan kawasan perairan Malaysia.
Apa yang menghairankan, tidak kedengaran penentangan atau demonstrasi menentang Obama daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Isma dan Perkasa walaupun AS merupakan sebuah negara yang menyokong kuat budaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).
Akhbar milik Umno Utusan Malaysia yang selama ini mengatakan Anwar merupakan agen kepada AS juga turut kelihatan ‘seronok’ dengan kehadiran Obama ke Malaysia.
Kolumnis Awang Selamat menulis di Mingguan Malaysia hari ini memuji Najib kerana dikatakan berjaya meneutralkan pengaruh Anwar yang satu ketika dahulu diselar sebagai agen AS dengan negara kuasa besar itu.
“Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Najib sudah banyak meneutralkan pengaruh ketua pembangkang, Anwar Ibrahim ke atas AS.
“Di sebalik gerakan melobi dan memburukkan kerajaan Malaysia selama bertahun-tahun oleh Anwar dan aktivis pro-pembangkang, pentadbiran AS makin menyakini kerajaan pimpinan Najib.
“Keterbukaan beliau dan kebolehannya dalam pentadbiran terutamanya pengurusan ekonomi negara serta dasar luar, menjadikan Malaysia terus disegani dunia,” tulis Awang Selamat hari ini.
Akhbar milik Umno itu sudah tentu melukakan hati mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Ini kerana tulisan Awang Selamat itu secara tidak langsung mengatakan Dr Mahathir tidak mempunyai kebolehan dalam pentadbiran negara, pengurusan ekonomi dan hubungan luar semasa memimpin negara sehingga menyebabkan AS pada ketika itu lebih rapat dengan Anwar pada ketika itu. – 27 April, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments