Sama ada secara kebetulan atau dirancang, kontroversi pesta minum arak Oktoberfest ditimbulkan seiring atau hampir sama semasa pemotongan subsidi sebanyak 20 sen bagi RON 95 dan diesel yang menyebabkan kenaikan harga bahan bakar itu di seluruh negara.
Selain itu, Putrajaya mahu menyenarai nama mereka yang gagal membayar semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).
Semasa membentangkan Bajet 2015 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mengatakan tindakan tegas akan dikenakan terhadap peminjam PTPTN yang tidak pernah membuat pembayaran.
Dalam erti kata lain, peminjam PTPTN yang tidak pernah membayar pinjaman mereka pasti akan “kena” kali ini.
Tidak cukup dengan beban dirasai majoriti rakyat bawahan akibat kenaikan harga barang keperluan asas selepas subsidi bahan bakar dipotong, 170,000 peminjam PTPTN akan menderita selepas ini kerana tidak boleh lagi membuat pinjaman bank, memohon kad kredit dan urusan sewa beli.
Apakah ini perancangan badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli-ahli Parlimen berhaluan kanan dan disokong media arus perdana untuk “memabukkan” atau melalaikan majoriti orang Melayu-Islam dengan Oktoberfest ini agar tidak marah dengan keperitan akibat kenaikan harga bahan bakar dan peminjam PTPTN yang bakai disenarai hitamkan institusi kewangan, tidak dapat pula disahkan.
Akan tetapi yang nyatanya, kita tidak pernah mendengar organisasi seperti Perkasa atau Isma marah apabila harga bahan bakar seperti RON95 dan diesel dinaikkan yang sudah tentunya akan memberikan kesan terhadap majoriti orang-orang Melayu-Islam miskin di peringkat bawahan.
Kita tidak pernah melihat Perkasa atau Isma berdemonstrasi menentang kerajaan kerana ingin melaksanakan CCRIS terhadap 170,000 peminjam PTPTN yang majoritinya orang-orang Melayu beragama Islam.
Tidak pernah juga dilaporkan media ahli-ahli Parlimen Pantai Timur yang menentang Oktoberfest ini ditahan di lokap polis kerana membantah kenaikan harga bahan bakar atau membantah tindakan tegas kerajaan kepada peminjam PTPTN.
Yang dikecohkan Perkasa, Isma, ahli-ahli Parlimen Pantai Timur ini dan media arus perdana adalah pesta minum arak Oktoberfest yang langsung tidak ada kena mengena dengan kehidupan majoriti rakyat bawahan.
Nak hantar anak ke sekolah pun susah, bagaimana mereka mampu untuk mengikuti pesta meminum arak?
Kalau ada sekalipun papan iklan Oktoberfest terpampang di Shah Alam, kebanyakan warga marhaen ini sudah pasti tidak akan mempedulikannya kerana sibuk untuk mencari wang bagi menanggung keluarga.
Kalau benar majoriti masyarakat Shah Alam marah dengan sesuatu papan iklan, tidak perlu menunggu Perkasa, Isma, ahli-ahli Parlimen Pantai Timur atau Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), mereka sendiri boleh mencabut dan menghumbankan papan iklan tersebut ke dalam longkang atau sungai.
Kadangkala "orang-orang luar" yang sibuk dengan Oktoberfest atau “pesta maksiat” lain itu terlupa, kehidupan di Selangor, Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain amat berbeza dengan Kelantan atau Terengganu.
Kelantan dan Terengganu majoriti penduduknya merupakan orang-orang Melayu berbeza dengan di Selangor, Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain, penduduknya berbilang kaum dan agama.
Jadi sudah tentulah terdapat pelbagai kebudayaan dan pesta. Ini termasuklah pesta minum arak. Bagaimanapun orang-orang Islam di negeri-negeri ini tidak pernah dipaksa untuk menyertai pesta minum arak ini.
Orang-orang Islam diberikan kebebasan untuk bersembahyang, berzikir atau memasang kaset ceramah di masjid-masjid atau di surau-surau dari pagi, malam atau seharian tanpa ada sesiapa yang berani menghalangnya.
Jujurnya, sebelum Perkasa, Isma dan ahli-ahli Parlimen Pantai Timur ini kecoh mengenai Oktoberfest, saya sendiri pun sebagai orang media tidak pernah tahu tentang kewujudan pesta minum arak ini di Malaysia.
Yang saya tahu Oktoberfest ini popular di negara Jerman.
Disebabkan promosi percuma daripada Perkasa, Isma dan ahli-ahli Parlimen Pantai Timur tersebut, diberitakan pesta minum arak Oktoberfest itu mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran yang sangat besar tahun ini.
Kalau benar seperti dilaporkan di media sosial mengenai sambutan luar biasa Oktoberfest tahun ini, penganjur seharusnya memberikan sedikit komisyen kepada Perkasa, Isma dan ahli-ahli Parlimen Pantai Timur itu agar mereka dapat membantu mempromosikan lagi pesta arak ini pada tahun hadapan. – 12 Oktober, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments