Opinion

Pengkalan Kubor cerminan PAS tanpa Pakatan

Kekalahan calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor dengan majoriti lebih besar iaitu 2,635 undi berbanding 1,736 undi semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu memberikan isyarat parti Islam itu tidak mustahil akan hilang Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengapa selepas lebih 20 tahun memerintah Kelantan PAS masih gagal merampas Pengkalan Kubor? Mengapa rakyat Pengkalan Kubor tidak terpengaruh dengan Islam yang dibawa kerajaan negeri? Apakah rakyat Kelantan tidak mahu royalti minyak diberikan kepada mereka?

Ini juga merupakan gambaran yang bakal berlaku jika PAS mengikut perjuangan “mullah-mullah muda” untuk menamatkan kerjasama politik dengan PKR dan DAP serta keluar dari Pakatan Rakyat (PR).

Pemimpin-pemimpin utama PR seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mohamed Azmin Ali, Lim Guan Eng dan ramai lagi tidak kelihatan untuk membantu PAS di Pengkalan Kubor.

Mungkin terlalu sibuk untuk menyelesaikan kemelut menteri besar Selangor ataupun mereka sengaja tidak turun memberikan sokongan untuk mengajar beberapa pemimpin PAS yang bersungguh-sungguh mahu menamatkan kerjasama dengan PR semasa muktamar baru-baru ini.

Ini menyebabkan PAS terpaksa membawa bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sudah uzur untuk membantu kempen mereka.

Sampai bila PAS mahu bergantung kepada Nik Aziz? Apakah kerajaan Kelantan yang sedia ada begitu lemah di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Yakob?

Sebelum PRK Pengkalan Kubor, PAS begitu yakin mampu memenangi kerusi tersebut dengan “sifir” oleh kerana kerusi Parlimen Tumpat dikuasai mereka, tidak mustahil mereka mampu memenanginya berbanding PKR yang sudah kalah pada 2013 dan 2008.

Namun apabila keputusan PRK Pengkalan Kubor diumumkan, majoriti calon BN lebih besar terhadap calon PAS berbanding pada PRU13 apabila melawan calon PKR.

Maka kebimbangan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat Kelantan akan jatuh jika masalah dalaman partinya tidak diuruskan dengan baik semasa Muktamar ke-60 baru-baru ini ada kebenarannya.

"Sejarah membuktikan mereka (rakyat Kelantan) boleh saja menolak PAS jika mereka tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri pimpinan kita.

“Faktor ketokohan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sangat berpengaruh dalam membantu kemenangan PAS di Kelantan sebelum ini," kata ketua pemuda PAS penggal pertama itu.

Faktor Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai “rekod cemerlang” daripada segi menyebabkan parti Islam itu hilang negeri yang mereka perintah.

Lihat apa yang terjadi kepada Terengganu semasa beliau menjadi menteri besar? Selepas sepenggal, negeri itu kembali di tangan Barisan Nasional (BN).

Begitu juga dengan Kedah. Kedegilan Hadi untuk mempertahankan Tan Sri Azizan Abdul Razak menyebabkan negeri jelapang padi itu kembali ke tangan BN selepas PRU13.

Jika Hadi terus menjadi presiden PAS, tidak mustahil kerajaan negeri Kelantan yang bergolak selepas tersingkirnya golongan profesional dalam kepimpinan Ahmad akan menerima nasib sama pada pilihan raya umum akan datang.

Hadi tidak melakukan apa-apa semasa Ahmad dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah menyingkirkan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa daripada kerajaan negeri.

Jika Selangor Hadi boleh campur tangan, mengapa tidak Kelantan selepas PRU13 lalu? Sedangkan Hadi tahu bagaimana Husam membantu pentadbiran Nik Aziz sebelum ini.

Kelantan di bawah Ahmad dikatakan gagal memerintah negeri dengan baik dan tidak mensejahterakan kehidupan rakyat di negeri tersebut.

Disebabkan itulah beliau bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hudud di Kelantan. Sedangkan umum mengetahui hudud tidak akan dapat dilaksanakan di Kelantan, Nik Aziz sudah mencuba pelbagai cara selama 20 tahun ketika menjadi menteri besar.

Akhirnya Ahmad akan dilihat tidak berbuat apa-apa jika tidak mengambil langkah drastik secepat mungkin untuk melakukan perubahan dalam pentadbirannya.

Seperti dikatakan anak kepada Nik Aziz, Nik Mohamad Abduh di Facebook hari ini:

“PAS tak akan mati sebab nyawanya Islam. Islam bukan bermula 1951. Ia bermula lebih 1400 tahun lepas.

“Masa tu ideologi yang diperjuang DAP masih berada dilapis bumi yang ke-5, kalau pun tidak yang ke-7. Takde orang lagi masa tu yang nak gali dan berjuang untuk ideologi itu.”

Mungkin boleh ditanya kepada ahli Parlimen Pasir Mas itu, mengapa selepas lebih 50 tahun usia PAS, parti itu masih gagal mengalahkan Umno untuk memerintah Malaysia?

Islam yang tidak betul atau Islam cara PAS yang tidak betul? – 28 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments