Opinion

Pentadbiran Najib makin singkat lepas Dr Mahathir desak batal GST

Tun Dr Mahathir Mohamad sudah memulakan jelajah bertemu rakyat semalam untuk mendapatkan sokongan bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur.

Kelab K yang dahulunya dikenali sebagai Kelab Century Paradise dipilih menjadi lokasi pertama dan merupakan tempat sama ketika Dr Mahathir mula melancarkan serangannya kepada pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2006.

Walaupun sudah hampir 90 tahun, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu masih bijak mengeluarkan kata-kata dan mempunyai pengaruh besar di kalangan rakyat.

Selain isu seperti seperti skandal kewangan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dan mengapa beliau kini menolak Najib, isu baharu yang diulasnya termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Walaupun tidak bercakap panjang tentang GST, kenyataan Dr Mahathir yang mendesak Putrajaya membatalkan sistem cukai baharu itu mampu memendekkan lagi usia pentadbiran Najib.

Ini kerana cukai GST lebih menyeluruh dan membebankan rakyat bawahan kerana terpaksa berdepan dengan kenaikan pelbagai harga barang keperluan berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang hanya terhad kepada sesetengah barangan dan perkhidmatan.

Pendek kata, GST turut membebankan penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) walaupun Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan mengatakan sebaliknya.

Ini belum ditambah dengan peniaga-peniaga yang menipu dan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan alasan GST walaupun Putrajaya mengatakan mampu mengawalnya.

Sudah pasti kemarahan orang ramai meningkat kerana terbeban dengan kos kehidupan makin tinggi sedangkan pendapatan isi rumah mereka kekal di tampuk lama.

"Dulu ada cukai jualan. Kalau tambah sikit cukai jualan, itu ok. Tetapi perkenalkan satu sistem yang pegawai sendiri pun tidak faham," katanya Dr Mahathir semalam.

"Saya fikir batal sajalah," katanya disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh kira-kira 1000 hadirin merujuk kepada GST.

PRK Rompin dan Permatang Pauh

Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh boleh dijadikan ukuran populariti Najib selepas pelaksanaan GST.

Walaupun BN hampir pasti memenang Rompin kerana ianya merupakan kawasan tradisi mereka, sejauh manakah mereka mampu mengekalkan atau meningkatkan majoriti diperolehi arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis semasa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu?

Sebab itulah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan agensi penguatkuasaan supaya mengambil tindakan segera menangani masalah dalam pelaksanaan GST.

Muhyiddin tahu apa yang berlaku di bawah selepas GST dilaksanakan dan ianya tidak popular dan mampu memendekkan usia BN.

"Saya dapat aduan ada sesetengah pihak kenakan 'over the path sales tax' (melebihi kadar cukai jualan yang tidak sepatutnya). Ini tak betul. Rakyat patut bayar kurang tetapi kena bayar lebih daripada sepatutnya," katanya di Pulau Pinang semalam.

"Kalau lama sangat orang tidak lihat orang yang langgar undang-undang dikenakan hukuman yang setimpal.”

Pentadbiran Najib terus bergantung kepada orang seperti Ahmad Maslan untuk mempertahankan GST dan ianya dilihat tidak membantu kerana cukai itu sememangnya membebankan.

Jelaskanlah apa sahaja GST tidak akan popular kerana rakyat terpaksa membayar pelbagai barang dan perkhidmatan dengan lebih mahal.

Bagaimana pula dengan hasil selepas GST dilaksanakan? Apakah ianya akan dikembalikan kepada rakyat atau akan terus dibazirkan untuk membeli jet rasmi baharu?

Najib perlu membuktikan hasil kutipan GST dibelanjakan dengan bijak dan tidak dibazirkan dengan sewenang-wenangnya.

Jika tidak, pertembungannya dengan Dr Mahathir akan menjadi lebih perit kerana bekas perdana menteri itu seorang yang bijak berlawan dan mempunyai sejarah menggulingkan dua pemimpin negara ketika tidak mempunyai apa-apa kuasa. – 26 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments