Ketika ramai rakyat dunia sudah berputus asa dan pesimis melihat bagaimana kuasa-kuasa besar seumpama “mengatur bidak di atas papan catur” dalam merencanakan krisis demi kepentingan mereka, Presiden Russia Vladimir Putin memberikan harapan baharu.
Pada 30 September, Russia memulakan serangan udara terhadap kubu kuat Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) di Syria di atas permintaan presiden yang dipilih secara demokratik, Bashar Al Assad selepas konflik berterusan di negara Timur Tengah itu selama hampir 5 tahun.
Sebelum serangan udara dilancarkan, Parlimen Russia secara sebulat suara memberikan mandat kepada Putin membantu Bashar menggunakan tindakan ketenteraan bagi memerangi kumpulan pengganas Isis yang sudah banyak mendatangkan kemudaratan kepada Syria dan negara sekeliling.
Di kala negara Arab - Islam sekeliling yang bukan saja tidak membantu malah ibarat “mencurahkan petrol ke api marak” dalam krisis Syria, sudah tentu kehadiran Putin dianggap seperti “bantuan dari langit”.
Mark Glenn, seorang penulis dan pengasas bersama Crescent and Cross Solidarity Movement – sebuah forum antara agama untuk menyatukan umat Islam dan Kristian bagi menentang Zionisme berkata, Russia berjaya memerangi kumpulan pengganas Isis dalam masa 2 minggu, sesuatu yang gagal dilakukan Amerika Syarikat (AS) selama 2 tahun.
Menurut Glenn, sebenarnya, AS mahu Isis terus bertapak di negara itu supaya ketidakstabilan dapat diwujudkan bagi menghalalkan mereka menceroboh dan menyerang Syria untuk menggulingkan Bashar.
Afghanistan alu-alukan bantuan Russia
Kejayaan Putin membantu Syria memerangi kumpulan pengganas Isis, menarik minat Afghanistan, yang berterusan kacau bilau sejak diceroboh AS dan sekutu pada 2001 di atas nama “perang melawan keganasan”.
Kita perlu ingat, AS juga membiarkan kumpulan pengganas Al-Qaeda untuk terus menerus hidup agar ketidakstabilan berterusan di Afghanistan bagi menghalalkan mereka terus bertapak di sana.
Ketua Pegawai Eksekutif Afghanistan Dr Abdullah Abdullah berkata, Kabul mengalu-alukan sekiranya Moscow mahu membantu memerangi kumpulan pengganas di negara mereka.
“Jika mana-mana negara mahu membantu Afghanistan dalam perang memerangi keganasan, Afghanistan mengalu-alukannya,” kata bekas calon presiden Afghanistan itu pada 18 Oktober.
Selepas 14 tahun Afghanistan tidak pernah stabil walaupun AS dan sekutu “kononnya” membantu memerangi keganasan, sudah pasti perkembangan di Syria menarik minat negara itu.
Populariti Putin melonjak
Maka tidak hairanlah mengapa populariti Putin kini naik mendadak selepas serangan udara terhadap kumpulan pengganas Isis di Syria.
Dalam satu tinjauan dilakukan Russia’s Public Opinion Research Center (VTsIOM) pada 17 dan 18 Oktober terhadap 1,600 orang di 130 kawasan berbeza di Russia, kadar sokongan terhadap Putin meningkat kepada 89.9%, rekod tertinggi berbanding 89.1% pada Jun 2015.
Menurut VTsIOM, faktor utama peningkatan kadar sokongan rakyat Russia terhadap Putin adalah kerana bantuan ketenteraan Moscow memerangi kumpulan pengganas di Syria di atas permintaan Damascus.
AS dan sekutu selama ini “mentadbir dunia” dengan sesuka hati mereka.
Maka kemunculan Putin dalam membantu menyelesaikan krisis di Syria memberikan harapan baharu kepada dunia.
Mungkin selepas ini jika terdapat permintaan, Putin dan Russia boleh membantu menyelesaikan masalah pembulian Israel terhadap Palestin.
Sudah terlalu lama konflik ini berlarutan dan dunia seperti tidak mampu berbuat apa-apa melihat mayat rakyat Palestin bergelimpangan setiap kali dibunuh tentera Israel.
Sebelum menjadi presiden AS dulu, Barack Obama diharapkan untuk menyelesaikan krisis berlarutan Palestin-Israel ini, tetapi selepas 2 penggal dan hampir bersara, tidak ada apa yang boleh dibanggakan.
Maka tidak salah juga sekiranya harapan kini diletakkan ke atas bahu Putin. – 25 Oktober, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments