Opinion

Rakyat harus mulakan perpaduan nasional

Penulis masih belum ada kesempatan menonton filem “Ola Bola”, akan tetapi rata-rata teman yang sudah ke pawagam memberikan pujian terhadap filem itu.

Filem berdasarkan kisah benar mengenai pasukan bola sepak negara mengalahkan pasukan bola sepak Korea Selatan dalam perlawanan kelayakan pra-Olimpik pada 1980 mengangkat mesej besar iaitu perpaduan.

Filem ini mengimbas kembali bagaimana pasukan bola sepak negara yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, Sikh dan lain-lain mengangkat martabat Malaysia di mata dunia.

Ternyata ramai rakyat Malaysia masih merindukan perpaduan kaum yang menjadi salah satu keunikan negara satu ketika dahulu.

Bagi yang masih belum sempat lahir ketika rakyat Malaysia tidak begitu dibezakan mengikut kaum, menjadi satu harapan untuk menggembalikan zaman kegemilangan itu.

Penulis beruntung kerana berkesempatan melihat rakyat pelbagai kaum hidup sebagai orang Malaysia. Pada ketika itu, perbezaan masih lagi dirayakan.

Bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur memberikan peluang penulis berkenalan dan bercampur gaul dengan teman-teman daripada pelbagai kaum dan agama.

Cerita tentang budak Melayu pergi beraya di rumah kawannya ketika sambutan Tahun Baru Cina merupakan perkara biasa. Begitu juga sebaliknya.

Hari ini, sesetengah ahli politik daripada kaum berlainan terpaksa menggunakan bahasa Mandarin mengucapkan Selamat Tahun Baru bagi membuktikan mereka menghormati kaum Cina.

Ini tidak diperlukan satu ketika dahulu. Ucapan Selamat Tahun Baru atau “Happy New Year” sudah cukup kerana yang paling penting ialah keikhlasan.

Akan tetapi sekiranya ramai yang mahu bersatu kembali sebagai rakyat Malaysia, tidak mustahil ianya boleh dilakukan.

Tidak perlu tunggu ianya dimulakan pemimpin negara atau ahli politik, kita sendiri boleh mulakan.

Memang benar, terdapat polisi kerajaan mendiskriminasikan sesetengah kaum.

Dan sebagai reaksi, sektor korporat yang dikuasai kaum tertentu melakukan pembalasan.

Pada masa sama, sesetengah parti politik, baik dari kerajaan mahupun pembangkang mahukan “dasar pecah dan perintah” warisan penjajah British diteruskan agar mereka terus berkuasa.

Lebih parah lagi yang menggunakan agama untuk terus memecah belahkan rakyat Malaysia.

Sampai bila kita mahu terperangkap dengan permainan mereka?

Persoalan yang harus ditanya kepada diri kita sendiri ialah, sebagai rakyat, apakah kita tidak boleh melakukan apa-apa? Siapakah kerajaan kalau tiada rakyat?

Sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, kita boleh mulakan sesuatu.

Bagi yang bukan Cina, kita mulakan dengan menziarahi rumah teman-teman terdekat kita.

Belajar tentang kebudayaan mereka untuk lebih memahami.

Kita tidak perlu menunggu sehingga revolusi berlaku untuk memulakan perkara sekecil ini.

Sebab itu konsep rumah terbuka ini adalah di antara yang terbaik dipunyai Malaysia. Konsep ini boleh membawa kepada perpaduan.

Untuk lebih ke depan dan mendepani cabaran global, rakyat Malaysia tidak mempunyai pilihan selain bersatu.

Kepada rakyat Malaysia yang berketurunan Tionghua, penulis ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru.

Rayakanlah perbezaan kerana itulah kekuatan kita. – 7 Februari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments