Opinion

‎Retorik Melayu jalan akhir Najib selamatkan diri

Bagi pemimpin Umno yang berhadapan krisis kehilangan sokongan, retorik Melayu akan kembali bergema, "selagi ada bulan dan bintang, Melayu akan terus dipertahankan".

‎Begitulah juga dengan presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang berjanji semalam akan terus memastikan Melayu dipertahankan selagi "darah Melayunya mengalir dalam badan".

Ironinya Najib juga yang memperkenalkan konsep 1Malaysia ketika mula-mula menggantikan Tun Abdullah Badawi sebagai perdana menteri pada 2009 dahulu.‎

Ketika itu, Najib berjanji mempertahankan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama kerana beliau adalah perdana menteri untuk semua.

Menjelang kempen Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), apa sahaja yang dimahukan Melayu dan bukan Melayu, semuanya akan diberikan.

Pendek kata, "you help me, I help you". Bagaimanapun, apabila keputusan PRU13 tidak memihak kepadanya yang seharusnya memperbaiki kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum, konsep 1Malaysia dilupakan.

Kedudukan anak kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein yang disanjung ramai rakyat Malaysia kini dalam bahaya.

Popularitinya menurun walaupun lebih baik daripada BN sendiri mengikut tinjauan terkini Merdeka Center.

The Malaysian Insider melaporkan beberapa hari lalu Kabinet menolak cadangan Najib menyuntik RM3bilion kepada syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebagai seorang‎ perdana menteri dan menteri kewangan, apabila sesuatu usul dilakukan ditolak Kabinet, ini memberikan satu alamat yang tidak baik.

Apabila usul Najib ditolak Kabinet, ia umpama undi tidak percaya jemaah menteri kepadanya.

Apatah lagi Najib kini berdepan dengan cabaran hebat dari dalam Umno. Bukan lagi dari luar Umno.

Pakatan Rakyat (PR) bukan lagi penghalang. Apatah lagi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah terpenjara.

Hanya masa ‎bakal menentukan PR bakal menjadi sejarah seperti mana Barisan Alternatif, Angkatan Perpaduan Ummah dan sebagainya.

Kalau tiada angin dan ribut, tidak mungkin secara tiba-tiba ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al Habshee, menganjurkan perhimpunan menyokong Najib pada 8 Mac akan datang di Kuala Lumpur.

Mungkin ada sesuatu yang berlaku dalam Umno yang ramai di luar tidak tahu.

Mungkin juga "bulan dan bintang" bakal menyaksikan seorang perdana menteri bertukar ganti sebelum hujung tahun ini. – 1 Mac, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments