Opinion

Sanggupkah Zahid pulangkan jawatan TPM Muhyiddin?

Mesej semasa Perhimpunan Agung Umno ke-69 yang berakhir semalam jelas, ahli mahukan perpaduan dalam parti.

Sebab itu mereka bersorak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur semalam apabila Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, malahan ada yang menitiskan air mata.

Najib sendiri mengatakan beliau memilih “berjiwa besar” untuk berdamai dengan Muhyiddin demi perpaduan Umno. Namun kata-kata perlulah disusuli dengan tindakan.

Langkah pertama yang perlu dilakukan Najib untuk merapatkan kembali saf kepimpinan Umno ialah dengan melantik kembali Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal ke dalam Kabinet.

Muhyhiddin harus diberikan kembali jawatan timbalan perdana menteri dan Shafie bolehlah diberikan tugas mengetuai mana-mana kementerian.

Kerana ini adalah persoalan maruah bagi Muhyiddin dan Shafie. Mana mungkin mereka mahu berdamai jika maruah mereka tidak dikembalikan.

Tidak mungkin Muhyiddin sebagai timbalan presiden dan Shafie sebagai naib presiden Umno sanggup menjadi “tunggul” sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mengenali Najib, tidak mustahil beliau melakukan tindakan drastik seperti ini.

Namun Najib sudah pasti akan berdepan masalah dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sanggupkan naib presiden Umno itu memulangkan jawatan nombor dua dalam kerajaan itu kepada Muhyiddin selepas bersusah-payah menyelamatkan Najib yang diserang dari pelbagai sisi sebelum ini?

Biar Muhyiddin selesaikan kes 1MDB

Selepas melantik kembali Muhyiddin dan Shafie ke dalam Kabinet, Najib bolehlah menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kemelut syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Biarkan Muhyiddin mengetuai suruhanjaya ini. Dan ketika suruhanjaya menjalankan siasatan, Najib perlulah bercuti terlebih dahulu.

Muhyiddin boleh memangku jawatan perdana menteri. Barulah senang siasatan dijalankan tanpa campur tangan Najib. 

Setahun dua kebelakangan ini sudah tentu paling mencabar dalam kehidupan Najib sebagai perdana menteri, sudah tentu percutian panjang akan memberikan waktu rehat yang paling berharga kepada presiden Umno itu.

Najib juga sebelum ini berkali-kali mengatakan beliau tidak bersalah dan tidak menggunakan wang negara untuk kepentingan peribadi, jadi tidak apa yang perlu ditakutkan untuk melakukan perkara ini.

Nama Najib juga dapat dibersihkan. Jika ini dapat dilakukan, sudah pasti penentang nombor satunya, Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali menyokongnya.

Bukan itu sahaja, keyakinan rakyat juga akan dapat dikembalikan terhadap Umno. Silap-silap Umno akan menang besar PRU14 nanti.

Seperti dikatakan Muhyiddin semalam selepas perhimpunan agung Umno tamat: "Baguslah presiden berbesar hati, jadi selepas ini saya hendak lihat langkah yang akan dibuat untuk selesaikan masalah yang saya bangkitkan.”

Shafie pula menyifatkan hubungannya dengan Najib masih terjalin dan tetap utuh seperti sebelum ini.

Shafie berkata tiada pertelingkahan berlaku antara beliau dengan perdana menteri sehingga boleh melupuskan hubungan persahabatan yang terbina sejak sekian lama.

Apakah Najib benar-benar berjiwa besar? Bagaimana pula dengan Zahid?

Atau tindakan Najib menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Muhyiddin semalam hanya “drama dan pertunjukan” semata-mata? – 13 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments