Opinion

Selangor ‘akhirnya’ mempunyai seorang MB

Keputusan kerajaan negeri Selangor untuk menggembalikan Bible bahasa Melayu dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM) merupakan satu tindakan positif bagi mengembalikan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri terkaya Malaysia itu.

Walaupun tindakan itu tidak disenangi kumpulan berhaluan kanan Melayu seperti Perkasa dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali bertegas untuk memulangkannya kerana Bible tersebut merupakan milik penganut Kristian.

Seperti titah Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa pelantikan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor September lalu: “Rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum dan berbilang agama serta mempunyai pelbagai adat resam mahukan Negeri Selangor ini aman dan makmur, bebas mengamalkan agama masing-masing serta dapat hidup dalam tenteram dan harmoni.”

Rampasan Bible bahasa Melayu dan Iban dilakukan Jais pada Januari itu, jika kita kaji, bukanlah kerana kebimbangan ianya akan merosakkan akidah umat Islam.

Tanpa Bible bahasa Melayu dan Iban itu juga akidah umat Islam boleh rosak “dengan mudah” melalui telefon pintar yang begitu popular di kalangan mereka sekarang.

Apa yang dilakukan Jais satu “tindakan politik” didorong golongan berhaluan kanan yang bersarang dalam badan penguatkuasa agama di negeri Selangor.

Ketika zaman Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor, kita tidak pernah dengar masalah-masalah seperti ini berlaku kerana pada ketika itu majoriti masyakat bukan Melayu masih bersama parti pemerintah itu.

Namun selepas 2008, disebabkan majoriti besar pengundi bukan Melayu bertindak memilih Pakatan Rakyat (PR), maka “hukuman” mesti dijatuhkan kepada mereka.

Pada Ogos 2011, Jais menyerbu gereja di Damansara Kim kerana didakwa sedang memurtadkan 12 umat Islam.

Sehingga hari ini tidak didedahkan kepada umum apakah benar terdapat 12 umat Islam cuba dimurtadkan gereja berkenaan.

Identiti 12 umat Islam yang “hampir” murtad itu juga tidak pernah kita dengari sehingga hari ini.

Jelaslah tindakan serbuan Jais terhadap gereja berkenaan merupakan tindakan politik semata-mata untuk menghukum masyakat bukan Islam kerana mengundi PR dalam pilihan raya umum.

Begitu juga dengan rampasan Bible bahasa Melayu dan Iban dilakukan Jais pada Januari, ia hanya tindakan politik semata-mata.

Maka hanya seorang menteri besar yang faham politik sahaja mampu menyelesaikan kes-kes seperti ini.

Difahamkan, Bible bahasa Melayu dan Iban yang dirampas akan dipulangkan kepada PBM minggu hadapan. Jika tiada apa-apa halangan, Azmin berjaya menyelesaikan isu ini sebelum 100 hari menjadi menteri besar Selangor.

Ini penting agar keharmonian Selangor sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum dan agama dapat dikembalikan.

Jika tidak dipulangkan dengan segera, Islam akan terus dilihat sebagai agama yang menindas agama-agama minoriti di negeri Selangor.

Lagipun banyak lagi masalah-masalah besar bakal kita hadapi seperti kenaikan kos kehidupan dan harga barang yang pasti akan menghimpit, kerana kenaikan gaji tidak berlaku selari dengannya.

Kelompok berhaluan kanan yang tidak gembira dengan perkembangan ini hanyalah minoriti dan tidak faham dengan “roh” negeri Selangor itu sendiri.

Mereka mungkin tidak sedar yang mereka ini menetap di Selangor dan bukannya hutan atau gua.

Biarkanlah si luncai terjun dengan labu-labunya di Sungai Klang. Tidak ada sesiapa yang akan menghalangnya.

Selangor kaya dengan pelbagai budaya dan agama.

Lebih baik merayakan kepelbagaian itu daripada terus bersengketa. – 9 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments