Opinion

Selepas Bible berbahasa Melayu dan Iban, Mais perlu haramkan Internet

Kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menolak keputusan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam isu rampasan lebih 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban menunjukkan kesombongan golongan elit Islam di Malaysia.

Walaupun Malaysia menjamin kebebasan beragama di kalangan rakyatnya, sikap sesetengah penguatkuasa Islam terutama di Selangor menunjukkan sebaliknya.

Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata mesyuarat khas majlis itu pada Jumaat menganggap masih ada ruang dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Mais juga berkata keputusan peguam negara untuk tidak mendakwa mereka yang terlibat dalam pengedaran Bible berbahasa Melayu dan Iban akan menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Apakah Mais tidak sedar Selangor merupakan salah satu negeri Malaysia? Malaysia pula merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama.

Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan Malaysia. Jadi apa yang peliknya jika Bible, kitab Hindu, kitab Buddha dan agama lain menggunakan bahasa Melayu?

Jika kitab suci agama bukan Islam diharamkan menggunakan bahasa Melayu, mengapa tidak Malaysia memansuhkan sahaja bahasa kebangsaan?

Atau menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan agar bahasa Melayu boleh menjadi bahasa eksklusif umat Islam di Malaysia.

Jika bahasa Melayu terus menjadi bahasa kebangsaan, adalah salah untuk menghalang penganut agama selain Islam untuk menggunakannya di kitab-kitab suci mereka.

Sepatutnya kita galakkan penganut agama bukan Islam untuk menterjemahkan kitab-kitab suci mereka ke dalam bahasa Melayu agar umat Islam di Malaysia akan menjadi lebih memahami tentang agama lain.

Apabila pengetahuan mereka lebih luas, sudah tentu keimanan umat Islam di Malaysia akan menjadi lebih teguh.

Jika umat Islam terlalu lemah dan mudah terpesong akidahnya, saya nasihatkan agar Mais terlebih dahulu mengharamkan penggunaan Internet di kalangan umat Islam di Selangor.

Mengapa harus penggunaan Internet diharamkan di kalangan umat Islam Selangor?

Kerana melalui internet, umat Islam Selangor bukan sahaja boleh mempelajari tentang agama Kristian, mereka turut boleh mempelajari tentang agama Yahudi, Hindu, Buddha, Sikh dan banyak lagi agama di dunia ini.

Internet juga akan memberikan pendedahan kepada umat Islam Selangor terdapat sejumlah besar masyarakat dunia yang tidak mempunyai agama.

Selain itu melalui Internet, umat Islam Selangor juga akan mengetahui agama Yahudi, Kristian dan Islam semuanya berakar kepada Nabi Ibrahim.

Lebih teruk lagi, umat Islam Selangor juga akan mengetahui sebenarnya mereka banyak mengikut tradisi Yahudi yang diajar untuk membenci sejak kecil lagi.

Apakah tradisi Yahudi yang dilakukan oleh kebanyakan umat Islam Selangor? Paling mudah adalah tradisi bersunat dan tidak makan babi.

Ini akan menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam Selangor kerana bukankah Yahudi itu diajar sebagai musuh utama agama?

Kebodohan ini harus dihentikan segera. Malaysia sudah tertinggal jauh di belakang negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura, Vietnam dan Thailand.

Tidak mustahil Myanmar juga akan menjadi lebih maju daripada Malaysia tidak lama lagi sekiranya perdebatan tentang isu bodoh sebegini tidak dihentikan.

Sudah cukuplah dengan ahli-ahli politik yang bodoh di negara ini, Malaysia tidak boleh menampung kebodohan sama daripada elit agama. – 15 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments