Opinion

Serang Mukhriz umpama pil awet muda Dr Mahathir

Tiada angin dan tiada ribut, tiba-tiba sahaja 14 ketua Umno bahagian di Kedah mengadakan sidang media menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tidak perlu menjadi profesor dalam bidang sains politik, ramai yang mengagak tindakan ini sudah tentu berkaitan dengan serangan ayah Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad, terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ditambah pula dengan pembelaan secara terbuka dilakukan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terhadap 14 ketua bahagian ini.

Kata orang, bila dalam “satu pasukan”, pelbagai cara boleh dilakukan untuk membela, dan pelbagai cara juga boleh dilakukan bagi mengambil tindakan terhadap kumpulan berbeza pandangan.

Tidak hairanlah mengapa Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mahu membakar buku perlembagaan Umno selepas melihat tindakan berat sebelah Tengku Adnan itu.

Melihat kepada respons Mukhriz berdepan dengan penentangan secara terbuka Umno Kedah terhadapnya, tidak mudah bagi Najib menyingkirkannya sebagai menteri besar.

Najib dan Umno Kedah perlu melalui proses yang panjang sebelum dapat menyingkirkan Mukhriz sebagai menteri besar.

Anak bongsu kepada Dr Mahathir itu sudah tentu tidak akan tunduk begitu sahaja dengan meletakkan jawatan seperti didesak.

Ini bermakna, Najib dan Umno Kedah mungkin terpaksa memecat Mukhriz daripada parti, seperti dilakukan PKR terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, atau menggunakan saluran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggerakkan usul undi tidak percaya terhadapnya.

Kedua-dua proses ini akan memakan masa yang panjang dan ini akan menyebabkan Umno “terbarai” lebih teruk.

Dr Mahathir 'semakin muda'

Sekiranya penyokong Najib beranggapan tindakan terhadap Mukhriz akan menyebabkan Dr Mahathir memperlahankan serangannya terhadap perdana menteri, mereka silap besar.

Mengenali Dr Mahathir dan politiknya, serangan terhadap Mukhriz hanya akan menyebabkan bekas perdana menteri itu menjadi “semakin muda”.

Jika tidak percaya, tunggulah, beberapa hari lagi serangan Dr Mahathir terhadap pentadbiran Najib akan menjadi semakin hebat dan “demam-demam” yang melanda bekas presiden Umno itu sejak akhir-akhir ini akan hilang.

Menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri sudah dianggap sebagai perjuangan terakhir Dr Mahathir dalam karier politiknya.

Selain itu, amat sukar bagi Barisan Nasional (BN) mengekalkan kedudukan mereka di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) selepas berjaya menyingkirkan Mukhriz.

Umno tidak boleh lupa, “faktor Mukhriz” di antara sebab mengapa mereka dapat merampas negeri Kedah pimpinan PAS pada PRU13 lalu.

Jika Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang dijadikan calon menteri besar Kedah pada ketika itu, BN mungkin masih pembangkang di negeri jelapang padi itu.

Keputusan terletak di tangan Najib. Sehari dua lagi gambaran akan menjadi semakin jelas.

Akan tetapi, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia sangat yakin Ahmad Bashah akan mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah yang baharu hujung bulan ini.

Jika ini berlaku, pergolakan dalaman Umno akan menjadi semakin parah. Dan ini mendatangkan masalah kepada parti Melayu itu untuk berdepan dengan PRU14. – 24 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments