Esok genap setahun selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) dan kehangatan perlawanan di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) masih lagi sama seperti sebelum pilihan raya.
Isu agama dan kaum masih terus dimainkan memperlihatkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar sederhana berubah kepada ekstrimisme.
Isu hudud kembali bergema cuma kali ini sedikit berbeza kerana Putrajaya yang dikuasai Umno dilihat bersungguh-sungguh membantu PAS melaksanakannya di Kelantan.
Akan tetapi isu hudud ini serampang dua mata yang mungkin menyebabkan PR yang ditubuhkan pada 2008 kehilangan DAP.
Sama ada Umno benar-benar menyokong hudud atau hanya untuk memecah-belahkan PR menjadi persoalan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menolak usul dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS untuk memperkenalkan hukum Islam di negeri itu.
Tidak kelihatan pula negeri majoriti Melayu dikuasai Umno seperti Kedah cuba untuk melaksanakan hudud.
Akan tetapi ini tidak menghalang kerajaan PAS Kelantan pimpinan Datuk Ahmad Yakub dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah untuk bersama-sama dalam jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan Putrajaya bagi mengkaji pelaksanaan hudud di negeri tersebut.
1 Mei lalu lebih 20,000 rakyat Malaysia berhimpun di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Buruh sedunia bagi membantah tindakan kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada April 2015.
Pihak berkuasa dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menukar strategi daripada bertindak keras dan membazirkan wang pembayar cukai dengan menggunakan sebanyak mungkin gas pemedih mata ke arah peserta perhimpunan kepada berlembut dan membiarkan sahaja perhimpunan yang berakhir tanpa insiden-insiden tidak diingini seperti sebelum ini.
Apa yang dapat dirasakan adalah kurangnya kehadiran daripada kaum bukan Melayu terutamanya masyarakat Cina seperti perhimpunan Black 505 dan Bersih 3 sebelum ini.
Apakah masyarakat Cina merasa tertipu dengan tindakan PAS yang mahu melaksanakan hudud di Kelantan?
Pada pagi hari perhimpunan, media melaporkan Ahli Parlimen Teluk Intan daripada DAP, Seah Leong Peng meninggal dunia akibat penyakit barah dihadapinya.
Ini bermakna, dua Pilihan Raya Kecil (PRK) akan berlaku dalam jangkamasa terdekat selepas kerusi Parlimen Bukit Gelugor kosong akibat kematian mendiang Karpal Singh bulan lalu.
Kedua-dua kerusi ini merupakan kerusi DAP. Isu hudud akan terus dimainkan “dengan ganas” oleh media arus perdana dan akhbar Cina.
Jika DAP kehilangan majoriti besar di kedua-dua kerusi Parlimen Bukit Gelugor dan Teluk Intan, sudah pasti mereka akan kaji kedudukan mereka dalam PR.
Sejarah Barisan Alternatif (BA) akan berulang jika DAP, PKR dan PAS tidak duduk semeja.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini menjadi penyatu kepada ketiga-tiga parti itu kelihatan gagal untuk mengawal keadaan.
PAS mahu tetap melaksanakan hudud di Kelantan dan DAP akan tetap menentang.
Titik. Perbezaan ideologi memang ketara.
Yang paling untung jika PR berpecah sudah pasti BN. Mereka tidak perlu tunggu begitu lama. Hanya setahun selepas PRU13. – 4 Mei, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments