Opinion

Sudah sampai masanya Dr M bertemu rakyat

Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin baru-baru ini mempersoalkan mengapa media arus perdana tidak melaporkan berita sokongan penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Taruddin kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zainuddin yang pernah menjadi ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu itu amat marah sehingga mengatakan “bodohkah semua ketua pengarang akhbar” sehingga tidak nampak nilai berita sokongan Siti terhadap Dr Mahathir.

Sokongan Siti kepada Dr Mahathir “yang keseorangan” dalam mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sememangnya mempunyai nilai berita dan dilaporkan hampir kesemua portal-portal berita atas talian.

Mungkin Zainuddin tidak sedar atau buat-buat tidak sedar di Malaysia hari ini, apabila sesebuah akhbar atau portal berita melaporkan sesuatu yang mempunyai “nilai berita” sebenar, mereka akan dituduh atau dicap pro-pembangkang.

Begitulah yang dihadapi beberapa portal berita.

Seringkali wartawan mereka dihalang membuat liputan program perdana menteri, menteri dan sesetengah parti politik walaupun kementerian penerangan memberikan mereka kad perakuan media.

Berbalik kepada “fenomena” baru Malaysia pada hari ini, Dr Mahathir. Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu kini diserang media arus perdana tanpa diberi peluang untuk membela diri.

Makcik-pakcik di kampung-kampung yang hanya bergantung kepada Utusan Malaysia dan TV3 sudah pasti terpinga-pinga membaca dan melihat bekas-bekas pemimpin PKR diberikan liputan meluas untuk menyerang Dr Mahathir.

Selama 22 tahun mereka melihat Dr Mahathir sebagai seorang perdana menteri yang berjasa dalam membangunkan negara akan tetapi hari ini, diserang dalam media arus perdana seolah-olah beliau seorang “pemimpin pembangkang”.

Tidak ada masalah sebenarnya jika media arus perdana memberikan liputan besar-besaran kepada bekas pemimpin PKR untuk menyerang Dr Mahathir.

Yang menjadi masalahnya apabila Dr Mahathir tidak diberikan peluang untuk membela diri dan segala jawapan balasnya “digelapkan” media arus perdana.

Bertemu rakyat

Dr Mahathir sudah mengadakan pertemuan tertutup dengan penulis-penulis blog untuk memberikan penjelasan tentang mengapa beliau menyerang Najib.

Selain itu sejak akhir-akhir ini Dr Mahathir juga semakin kerap menulis di blog popularnya www.chedet.cc untuk mengemukakan pandangannya terhadap isu-isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibuu.

Bagaimanapun, kritikan-kritikan Dr Mahathir langsung tidak melemahkan Najib dalam Umno. Najib menerima sokongan tidak berbelah bahagi dari sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.

Najib juga disokong kuat majoriti ketua-ketua Umno bahagian dari seluruh negara.

Terbaru, Umno Kedah pimpinan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan sokongan terhadap Najib walaupun ianya diumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sudah untuk Dr Mahathir mengharapkan pemimpin-pemimpin Umno untuk bersamanya kerana sukar bagi mereka untuk kehilangan "kuasa" dan "kemewahan".

Sedangkan di kalangan rakyat bawahan di luar sana Dr Mahathir sudah menjadi topik hangat di kedai-kedai kopi.

Pelekat kereta seperti “Respect” dengan latar belakang wajah Dr Mahathir sudah mula ditampal ramai orang.

Orang-orang ini penulis jamin langsung tidak pernah mendapat apa-apa projek, kontrak dan kemewahan semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun dahulu.

Cuma mereka tertanya-tanya, mengapa negarawan seperti Dr Mahathir meminta Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Bagi mereka, sudah tentu ada yang tidak kena apatah lagi pada hari ini, selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, semakin perit hidup di bumi Malaysia ini.

Sudah sampai masanya Dr Mahathir bertemu dengan rakyat secara langsung untuk menerangkan mengapa beliau menentang pentadbiran Najib.

Makcik dan pakcik di kampung-kampung sudah pasti mahu mendengar sendiri jawapan dari mulut orang yang mereka hormati terhadap serangan bertali arus media arus perdana.

Selepas menjelajah ke seluruh negara dan bertemu rakyat, barulah Dr Mahathir akan tahu sama ada beliau benar-benar keseorangan atau tidak. – 19 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments