Opinion

Tidak salah ‘golf diplomacy’, cuma waktu tidak kena

Selepas dikritik hebat di media sosial seperti Facebook dan Twitter apabila tersebarnya gambar bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama di Hawaii sementara angka mangsa banjir melebihi 100,000 orang, Datuk Seri Najib Razak bergegas pulang ke Malaysia.

Najib sedar, antara punca salah seorang bekas perdana menteri tersungkur satu ketika dahulu adalah kerana bercuti ke luar negara ketika rakyat Malaysia menderita akibat bencana banjir.

Nasi sudah menjadi bubur, gambar Najib bermain golf bersama Obama yang disiarkan media antarabangsa sudah menjadi "modal" kepada parti pembangkang dan musuh politiknya dalam Umno untuk menyerangnya.

Gambar itu akan digunakan, termasuk dalam kempen pilihan raya umum akan datang.‎

Bagaimanapun Najib tetap pulang segera untuk melakukan "damage control".‎

Pada satu sidang media di Kota Baru, Kelantan semalam, Najib berkata aktiviti golf bersama Obama adalah demi hubungan diplomasi negara.

Selain itu, Najib menjelaskan aktiviti bermain golf bersama presiden negara "polis dunia" itu juga tidak bermakna beliau sengaja mengabaikan bencana banjir di negara ini seperti yang dipolemikkan sesetengah pihak.

"Main golf ini bukanlah satu perkara aneh atau luar biasa... sebab zaman Tun Abdul Razak Hussein (perdana menteri kedua Malaysia), Tun Dr Ismail Abdul Rahman (timbalan perdana menteri kedua) bermain golf dengan pemimpin dunia merupakan perkara yang boleh dikatakan sebagai 'golf diplomacy'," kata Najib yang terdesak sehingga terpaksa "menjual" nama ayahnya serta Dr Ismail untuk menyelamatkan diri.

Banjir di Malaysia ini bukanlah perkara pelik dan sekali-sekala berlaku. Ia merupakan bencana tahunan yang melanda negara.

Setiap hujung tahun negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang pasti akan dilanda banjir.

Begitu juga dengan negeri-negeri lain seperti Perlis, Kedah dan Perak. Negeri di selatan seperti Johor juga pernah banjir teruk.

‎Alasan mengatakan Najib "kebetulan" berada di Hawaii untuk bermain golf ketika rakyat menderita banjir sudah pasti tidak akan diterima.

‎Seharusnya pemimpin negara membatalkan percutian akhir tahun dan menggantikannya pada waktu lain jika mereka benar-benar prihatin kepada nasib rakyat yang dilanda banjir.

Apa yang Najib beri pada Obama‎?

Gambar Najib bermain golf bersama Obama mempunyai makna yang tersirat dalam politik‎.

Ia memberikan isyarat‎ Najib merupakan sekutu rapat Obama kerana presiden Amerika Syarikat tidak akan bermain golf dengan sesiapa sahaja.

Jika tiada kepentingan besar, Obama tidak akan melayan Najib dan Malaysia.

Najib juga merupakan perdana menteri Malaysia pertama yang mempunyai hubungan rapat dengan presiden Amerika Syarikat‎ seperti ini.

Cuma yang menjadi persoalan di media sosial: apa yang sudah "diberikan" Najib kepada Obama sehin‎gga dilayan dengan begitu "mesra" sekali?

Menjual nama Razak dan Dr Ismail sebenarnya merupakan bahaya besar kepada Najib.

Ia akan mengingatkan kembali rakyat Malaysia tentang bagaimana kedua-dua tokoh‎ ini berkorban untuk negara.

Jika Razak dan Dr Ismail masih memimpin Malaysia, sudah pasti "golf diplomacy" ketika negara dilanda banjir tidak akan berlaku.

Ia juga akan menunjukkan perbezaan antara pemimpin Umno yang dahulu dan sekarang.

Razak dan Dr Ismail akan terus dikenang kerana berkhidmat untuk Malaysia‎ sehingga akhir hayat mereka.

Apakah Najib mahu dikenang sebagai seorang pemimpin yang bermain golf dengan presiden Amerika Syarikat ketika rakyat Malaysia dilanda banjir? – 28 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments