Opinion

Semoga 2016 lebih bermakna untuk Malaysia

Pada 25 Disember yang lalu, saya bersama umat Kristian di seluruh dunia menyambut perayaan Krismas. Bagi kami, hari Krismas sangat istimewa dan merupakan hari untuk kami saling bermaafan antara satu sama lain dan mengingatkan kami kepada kelahiran Tuhan Yesus.

​Tatkala seluruh umat Kristian berasa gembira menyambut Krismas, saya pasti di sebalik kegembiraan itu, ada rasa terkilan. Saya terkilan apabila membaca berita yang tersebar luas di media sosial di mana orang Islam tidak boleh mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada kami.

Saya berasa sedih melihat komen-komen yang mendakwa orang Kristian ingin menyebarkan agama Kristian kepada orang ramai. Lebih menyedihkan apabila orang Kristian dilihat sebagai ancaman kepada orang Islam.

Selama 3 tahun, saya mengajar di sebuah sekolah luar bandar di Kedah. Kebanyakan pelajar saya beragama Islam.  Selama 3 tahun, saya meninggalkan keluarga saya untuk tinggal di Kedah. Dalam masa 3 tahun ini, saya telah menjalinkan hubungan silaturahim yang amat erat bersama pelajar saya.

Kami menghabiskan banyak masa bersama dan saya menganggap mereka sebagai adik saya. Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menyebarkan ajaran agama saya kepada mereka. Malah, saya sentiasa mengingatkan mereka untuk menjadi orang Islam yang baik.

Pada pandangan saya, sebagai orang luar, Islam itu agama yang indah dan sentiasa menitik beratkan keadilan dan keamanan. Saya juga amat kagum dengan orang Islam yang begitu berdisiplin untuk bersolat 5 kali sehari.

Dalam 3 tahun berada di sana, saya telah mempelajari banyak aspek mengenai agama Islam. Saya sentiasa mengingatkan pelajar saya akan perkataan pertama di Al-Quran iaitu ‘Iqra’. Dalam 3 tahun ini, saya juga memakai baju kurung setiap hari ke sekolah kerana ingin menghormati pelajar dan guru lain yang menutup aurat.

Bagi saya, tanggungjawab saya sebagai seorang guru haruslah dilaksanakan, tanpa mengira agama atau bangsa. Saya melihat 3 tahun ini sebagai satu peluang untuk saya mempelajari agama dan cara hidup orang lain.  Saya berasa gembira kerana tinggal di negara ini yang dapat mengajar saya untuk bersikap toleransi kepada agama dan kaum lain.

Bagi saya, agama itu boleh diibaratkan seperti hubungan erat antara kita dan Tuhan. Nama yang kita gunakan untuk memuja Tuhan memang berbeza tetapi yang penting adalah nawaitu kita untuk berbuat baik antara satu sama lain. Saya memang tidak arif untuk bercakap mengenai agama tetapi sedikit sebanyak, saya tahu bahawa akhirnya, kita akan dinilai berdasarkan kelakuan kita di bumi ini.

Kepada kawan-kawan saya yang beragama Islam, janganlah rasa tergugat ataupun takut dengan orang Kristian. Rata-rata daripada kami tidak mempunyai niat untuk berdakwah atau menyebarkan ajaran Kristian kepada orang Islam. Percayalah, anda tidak boleh menjadi orang Kristian dengan hanya melihat salib atau huruf ‘t’ di bumbung rumah. Anda tidak boleh menjadi orang Kristian dengan menyebut “Merry Christmas”. Kami ingin hidup dalam keadaan yang aman damai di negara ini dan saling menolong antara satu sama lain untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Di negara kita ini, banyak lagi masalah yang kita perlu berganding bahu untuk menyelesaikannya. Yang pertama adalah pendidikan. Ramai pelajar kita masih belum belajar menulis dan membaca dengan lancar dalam Bahasa Melayu, mahupun Bahasa Inggeris.

Di sekolah yang saya mengajar, ramai pelajar miskin dan keluarga mereka bersusah payah untuk menghantar anak mereka ke sekolah. Banyak juga pelajar yang terpaksa berhenti bersekolah kerana terjebak ke dalam kancah yang negatif dan terlibat dalam gejala sosial.

Saya percaya, masa dan tenaga yang kita gunakan untuk mendebatkan isu agama boleh kita gunakan untuk mendidik anak muda kita, terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar.

Saya tahu, perjalanan kita untuk menjadi sebuah negara maju masih jauh lagi. Saya tahu, dalam pergelutan politik dan isu agama yang semakin menjadi-jadi, kita sering tertanya jikalau masih ada harapan untuk Malaysia. Perjalanan kita tidak senang dan tidak akan senang.

Namun, tanggungjawab untuk membangkitkan Malaysia kini terletak di bahu kita. Kita boleh membuat keputusan untuk bersikap terbuka, toleransi dan tidak bersangka buruk antara satu sama lain. Sebagai rakyat, kita mempuyai hak dan suara dan ayuhlah, kita menggunakan suara ini untuk melahirkan sebuah negara yang maju.

Saya mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf jikalau artikel ini menyinggung perasaan sesiapa. Percayalah, saya mahu yang terbaik untuk negara ini dan saya pasti, anda juga sama seperti saya. Selamat Tahun Baru wahai warganegara Malaysia! Semoga 2016 akan lebih bermakna untuk kita semua. – 31 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments